Yang Banyak Orang Reach..

Showing posts with label Promo. Show all posts
Showing posts with label Promo. Show all posts

Promo: Dingin Itu Cool!

No comments:



FAHRI duduk di tepi tingkap.  Pandangan matanya dicampak ke arah laman nan kosong.  Otaknya ligat memikirkan tentang seseorang.  Ah, letih benar melayan karenahnya!

“Kenapa?”  Fahri sedikit tersentak apabila bahunya disentuh oleh seseorang.  Farhan.  Abang kembarnya.  Fahri menggeleng.  Farhan tersenyum sinis.

“Dari dalam perut aku hidup dengan kau, nak tipu aku?”

“Entahlah.  Dia dingin lagi.”

“Sebab?”  Fahri mengangkat bahu sedikit.  Bibir dijuihkan.  Tampak kebosanan dalam melayani karenah Zakiah, kekasih hatinya.

“Perempuan kalau marah, takkan lama.  Lagi pula kalau dia sayang betul dengan kau.  Tak payah pening kepalalah.”

Farhan melepaskan baris ayat terakhir sebelum melangkah ke pintu bilik Fahri.

By the way, ibu ajak turun makan sekali.”  Fahri mengangguk.  Mereka hanya tiga beradik.  Farhan, Fahri dan Fauzan.  Farhan sudah lama hampir dua tahun mendirikan rumahtangga.  Fauzan masih di sekolah menengah dalam tingkatan dua.

Menurut katanya, isterinya juga kerap merajuk dan kadang-kala dia sendiri bingung hendak menurut segala kehendak wanita itu.  Lagi pula isterinya itu hanya dikenali selepas mereka sah bergelar suami isteri.  Perkahwinan mereka diatur oleh keluarga.

Farhan jenis yang mudah belajar dan mudah faham situasi orang di sekelilingnya berbanding dengan Fahri yang mudah bosan.  Fahri amat jarang memberi peluang untuk dirinya mengenali dan memahami orang sekeliling.  Memiliki teman rapat juga Fahri tidak pernah.  Hanya Farhan tempat dia berkongsi cerita selain daripada diari kecil pemberian abangnya itu.

Fahri menatap gambar Zakiah.  Perlahan-lahan senyuman gadis itu tergambar di kotak fikirannya.

+++

DUA MINGGU SEBELUM.

“Bila you nak datang jumpa family I?”

“I sibuk sikit kebelakangan ni.  Banyak benda I nak kena uruskan.  Kelmarin I kena pergi ke sekolah adik I.  Dia buat hal lagi.”

“Alah, alasan you je.  I bukan nak suruh you datang meminang sekarang.  Datang jumpa je dengan family I, susah ke?”

“Bukan I tak nak, sayang.  I memang tak sempat.  I risau kat adik I tu.”

“Abang you kan ada.”  Zakiah membentak.

“Isteri dia kan tengah pregnant.  Alahan kuat.  Abang I kena jaga dia.  Nanti bila you dah kahwin dengan I, pregnant nanti macam tulah I jaga you.”  Fahri masih cuba memujuk.

“Kalau lambat sangat, jangan beranganlah nak kahwin dengan I.  Dah hantar I balik.  Malas nak layan you.  Hilang mood I.”  Fahri terpempan.  Ah, merajuk lagi!  Kenapalah dia tak faham?

Fahri menghirup air yang masih bersisa dalam gelas.  Matanya dikerling ke arah Zakiah yang semakin cemberut wajahnya.  Fahri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk dia terus bertahan dengan gadis ini.

Zakiah mencuri pandang ke arah Fahri.  Minta dipujuk namun hampa.  Fahri langsung tidak pernah memujuknya setiap kali dia merajuk.  Selalunya dia yang akan pulih sendiri.  Mungkin kerana terlalu sayang dengan lelaki di hadapannya itu.

Promo: Kalau Betul Kau Cinta Aku...

No comments:


SUARA penyanyi yang menerobos ke ruang pendengarannya langsung tidak diterjemah.  Dibiarkan laluan deras muzik itu ke dalam ruangan sempit dan terus berkubur di situ.  Jam di dinding perlahan-lahan menginjak ke waktu 12 tengahari.  Menungannya masih diteruskan walaupun keroncong di perut sehebat muzik yang dipasang.

Buku yang terbuka langsung tidak dibaca isinya.  Huruf-huruf yang tersusun pada helaian itu dilihat seperti berterbangan satu per satu.  Perlahan-lahan pandangannya menjadi kabur seperti ada sesuatu yang menghalang.  Dia berkelip berkali-kali dan akhirnya dia tersedar dari lamunannya apabila air jernih yang tadi menghalang penglihatan mula membasahi pipi yang gebu.

Tisu yang terletak di hujung meja dicapai sehelai.  Air mata itu diseka.  Dia memandang lagi ke arah dada buku yang masih terbuka.  Huruf-huruf yang tadi berterbangan kini teratur kembali.  Tetapi langsung dia tidak faham dengan apa yang tertulis!  Ah, fed-uplah!

Buku di hadapannya ditutup.  Deraian air matanya semakin deras persis aliran air terjun di kolam ikan papa.  Buku-buku yang bersusun di atas meja dikerling.  Wajah pensyarah itu mula terbayang di mata.  Seperti permainan jig-saw puzzle.  Perlahan-lahan cebisan kecil itu bercantum dan akhirnya membentuk sebuah wajah.  Wajah yang langsung tidak menjadi pilihan pelajar untuk mengingatinya.

“Eei, seram sejuk aku bila terbayang muka dia tu.  Dah jangan ingatkan aku lagi pasal dia!”

Kenyataan itu yang seringkali keluar daripada mulut rakan sekelasnya apabila ditanya apa sahaja berkaitan pensyarah itu.  Entah, pensyarah itu tidaklah terlalu tegas, pun tidak terlalu bengis untuk menjadi ‘mimpi ngeri’ buat semua pelajar, tetapi, itulah kenyataan yang tak mampu disangkal lagi.  Dia sendiri bingung.

+++

“CIK Nita nak makan apa?”  Mak Tijah menyoal.

“Nasi.”

“Lauk?”

“Ayam.”

“Lagi?”

“Sambal sotong.”

“Telur?”

“Tak.”

“Ada apa-apa lagi?”

“Tak.”

Dato’ Umar memandang anaknya dengan pandangan yang redup.  Isterinya turut begitu.  Anita yang perasan dengan tingkah kedua-dua orang tuanya mengangkat kening tanda menyoal.  Dato’ Umar dan Datin Marlina turut mengangkat kening tanda menyoal kembali kepada Anita.  Senyum orang tuanya membuatkan dia melepaskan desahan kuat.

“Kenapa ni sayang?  Sepatah orang tanya, sepatah Adik jawab.  Tak macam selalu.”  Datin Marlina akhirnya meluahkan soalan yang berkurung di fikirannya sejak tadi.

Nothing.”

See!

What?

Nothing.”

Mum!

Lagak selamba Datin Marlina memecahkan tawa mereka sekeluarga.  Ibu kepada empat orang anak itu memang suka menyakat, terutamanya Anita, anak perempuan bongsu.  Anita mencemberutkan wajahnya.

“Dah, dah.  Makan.  Depan rezeki tak elok masam-masam muka.  Nanti lauk tu pun jadi masam.”  Dato’ Umar mengusik dalam pujuknya.  Anita menyuap perlahan makan yang dihidang untuknya sebentar tadi.

“Lepas makan Abang Long nak cakap dengan Adik sekejap.  Jangan naik dulu.”  Azren serius.  Wajahnya memang tak pernah tidak serius walaupun ketika dia bergurau.  Anita hanya mengangguk.  Suapan demi suapan sampai ke mulutnya.  Dia mengunyah seperti orang yang sakit rahang mengunyah.

Nasi yang lumat dikunyah melalui kerongkong terus menyusup ke esofagus untuk ke destinasi seterusnya.

“Adik kira nasi tu ada berapa biji?”  Azli menggonjak adiknya.  Serentak itu pandangan Anita terus jatuh ke pinggan ahli keluarganya.  Semuanya sudah kosong!  Nasi di pinggannya masih bersisa.

“Adik tak selera.”

“Makan sikit lagi.”  Anita menggeleng.  Azren yang sejak tadi duduk di sebelah Anita menarik perlahan pinggan Anita.  Diambilnya sedikit lauk untuk disatukan dengan nasi dan terus menyuakan ke mulut adiknya.  Anita seperti robot, hanya menurut.

+++

SELIPAR buruk yang dibeli beberapa tahun lalu masih elok.  Sengaja ditinggalkan di belakang rumah supaya mudah untuk ke gazebo.  Azren sudah menunggu di situ.  Anita berlari-lari anak mendapatkan abangnya.

“Lambat!”

“Adik naik solat kejap.  Abang Long senanglah, bilik tak tinggi.  Bilik Adik?  Nun melangit!  Penat tau.”

“Haa, dah ada suara pun adik abang ni.  Mari sini.”  Anita senyum kelat.  Dia merapati Azren.  Azren mendakap tubuh adiknya.

“Adik ada masalah?”

“Tak pun.”

“Dah tu?  Senyap je.”  Anita menjuihkan bibirnya tanda mahu menyimpan rasa hatinya.

“Belum ready nak cerita?”  Anita mendakap erat tubuh sasa abangnya.  Air matanya bertakung lagi.  Dia sendiri tidak faham dengan gelora hatinya ini.  Ah, kenapa begitu rumit?

+++

TELEFON bimbit berdering berkali-kali.  Satu per satu nama rakan sekelasnya terpapar di skrin kecil itu.  Langsung dia tidak tergerak hati mahu menjawab panggilan mereka.  Anita diam sahaja.  Dia membiarkan angin yang sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut tubuhnya.  Hampir satu jam dia berdiri di balkoni biliknya.  Kereta yang lalu lalang di hadapan banglo mewah itu menjadi hiasan pandangannya.

Di sebelah kanan rumah, sebuah gelanggang tenis terbentang luas.  Di situ tempat Dato’ Umar mengeluarkan peluh.  Dia akan mengajak sama ada isteri atau anak-anaknya untuk bermain sekali.  Selalunya, Datin Marlina menjadi teman sedang si anak sibuk dengan urusan kehidupan mereka.

Jam di tangan menunjukkan waktu hampir 4 petang.  Sekejap lagi azan Asar akan berkumandang dari masjid yang tidak jauh dari banglo mereka.  Papa, Abang Long dan Abang Chik selalunya lebih memilih untuk berjemaah di masjid.  Beramah mesra dengan penduduk setempat, bercerita perihal masalah mereka.  Mana tahu kalau-kalau mereka memerlukan bantuan.

Mama, Kak Ngah, Mak Tijah, Kak Senah dan Anita sendiri akan berjemaah di rumah.  Lazimnya Kak Ngah yang akan mengimamkan jemaah.  Kak Ngah lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir dalam jurusan Tahfiz Al-Quran wal Qiraat.  Belum berkahwin.  Mungkin kerana belum bertemu dengan pemilik tulang rusuk yang dicurinya dahulu. 

Abang Long juga masih belum bertemu dengan jodohnya.  Apabila disoal perihal cinta dan berumahtangga, pasti jawapannya, dia mahu melihat adik-adiknya berjaya sepertinya dahulu, baharulah dia akan memikirkan tentang dirinya.

+++

AZAN Asar sayup-sayup kedengaran, dibawa oleh sang angin yang tidak jemu bertiup, membelai setiap kehidupan yang pinta dibelai.  Anita bingkas masuk ke dalam rumah untuk menyiapkan dirinya.  Sudah menjadi kebiasaan bagi Anita untuk membersihkan dirinya sebelum merendahkan diri terhadap Pencipta.

Selesai membersihkan diri, Anita terus menuju ke bilik solat untuk menyiapkan keperluan solat mereka sekeluarga.  Sejadah dan telekung disediakan untuk setiap jemaah.  Itu sudah menjadi rutin untuknya.  Kadang-kadang, jika Anita tidak berkesempatan untuk berjemaah di rumah, Mak Tijah atau Kak Senah yang akan mengambil alih tugas tersebut.

“Assalamualaikum.”  Azlina menegur.  Anita menoleh ke arah Azlina dia menghadiahkan senyum buat gadis awal 30-an itu.

“Waalaikumussalam.”

“Tak perlu bentang banyak kut, Dik.  Asar ni kita berdua je.  Kak Senah dan Mak Tijah pergi beli barang dapur.  Mama ikut sekali.”  Anita terkejut.  Selalunya jika hendak keluar, pasti Datin Marlina akan mengajaknya, tetapi tidak hari ini.

“Mama tak mahu ganggu Adik tadi.  Jadi mama tak panggil.  Lagipun Adik senyap je dalam bilik tu.  Mama ingat Adik study.  Next week ada test, kan?”  Anita mengangguk.  Azlina senyum.  Benar kata Abang Long, Anita tidak seperti biasa.  Tidak banyak bercakap.  Lebih dengan mengangguk, senyum dan kalau bercakap pun hanya sepatah dua yang perlu.

Promo: Mungkin ini Takdir Cintaku

No comments:


PROLOG

SUPRA yang dihiasi dengan warna merah bercalit sedikit warna hitam disarung lekas-lekas.  Jam sudah menunjukkan hampir tiga petang.  Dia sudah terlewat.  Janjinya bersama untuk bersama kawan-kawannya ialah pada jam 3.30 petang.  Perjalanan dari rumahnya ke tempat yang dijanjikan memakan masa lebih 45 minit.  Huh! Dia mengeluh.  Kalau bukan kerana bebelan abang, pasti dia sudah sampai!

Poket seluar jeans diseluk dalam-dalam.  Kunci kereta dicapai.  Langkah kakinya dideraskan ke kereta.  Langsung tidak menoleh ke belakang lagi.  Fikirannya kini hanyalah pada kawan-kawan barunya yang sedang menunggu.

Sejak pulang ke Malaysia, dia jarang melekat di rumah.  Masanya lebih banyak dihabiskan bersama-sama kawan baru.  Rasanya, bukan perkataan pulang yang sesuai untuknya, tetapi sejak datang ke Malaysia untuk bersama keluarga.  Masakan tidak, dia dilahirkan di Ohio, Amerika Syarikat.  Sejak dilahirkan, tidak pernah sekali pun dia dibawa pulang ke Malaysia, hinggalah beberapa bulan yang lalu, itulah kali pertama dia menjejakkan kakinya di negara kelahiran kedua-dua ibu dan bapanya.

“Jangan balik lewat ya, Fiq.”  Puan Sri Saihah melaungkan sedikit suaranya.

“Alah, tak payah balik pun tak apa.  Balik pun menyusahkan orang! Nak buat apa?” Sameer bersuara, juga sedikit lantang hingga menusuk masuk ke dalam pendengaran Syafiq.  Syafiq menoleh.  Mukanya bengis.  Langsung tidak berpuas hati dengan abangnya.  Kalau bukan kerana sudah terlewat, sudah pasti dia akan kembali ke arah lelaki yang mencari masalah dengannya itu.  Mahu sahaja ditumbuk wajah yang mirip dirinya itu bertalu-talu.

Puan Sri Saihah menyentuh bahu anak lelaki sulungnya.  Dia menggeleng perlahan.  Sameer menatap wajah ibunya.  Reda sedikit rasa marah terhadap remaja berusia 20 tahun yang baru sahaja memandu keluar Lotus Exige GT3 daripada halaman rumah mereka.

“Sudahlah tu.  Biarkan dia.”

“Mama manjakan sangat budak tu!”  Api kemarahannya yang hampir padam sebentar tadi bagai disimbah minyak semula.  Panas hatinya apabila mendengar kata-kata ibunya sebentar tadi.

“Dia muda lagi, Meer.  Biarkan.  Sampai masa dia dah cukup matang nanti, dia akan berubah.”  Sameer membuang pandangnya jauh-jauh.  Rasa seperti tidak mahu bercakap lagi dengan wanita di hadapannya kini.  Hanya kerana seorang budak lelaki yang masih mentah tetapi berlagak seperti tahu segalanya itu!

Trust me!” Puan Sri Saihah menekan sedikit nada suaranya.

“Ikut suka mama lah!  Meer dah penat.  3 bulan dia kat sini, tapi masih macam tu.  Meer tak tahu apa yang Aunty Zehra ajar dia kat sana.  Entah apa jenis didikan yang dia beri agaknya.”  Suara Sameer mula hambar.  Wajah Aunty Zehra menerawang di kotak fikirannya.  Segala kenangan sewaktu dia turut tinggal bersama Aunty Zehra juga berasak-asak masuk ke dalam kotak yang kian sempit itu.

“Meer, my dear, Meer kena faham ...,”

“Faham apa, ma?” Sameer memintas kata-kata ibunya.  Tidak berpuas hati kerana ibunya masih membela Syafiq.

“Tak apalah.  Meer akan faham nanti.  Tak guna rasanya mama bercakap dengan api yang sedang marak.  Silap-silap, dengan mama sekali yang rentung nanti.” Ada sedikit seloroh dalam nada Puan Sri Saihah.  Dia menghadiahkan senyumannya yang manis buat anak terunanya itu.  Sameer terkebil-kebil sendiri.  Entah apa agaknya yang mama hendak aku faham?

Promo: Surat Layang Untuk Yana

No comments:

YANA melangkah ke bilik Guru Disiplin.  Namanya disebut ketika di perhimpunan sebentar tadi.  Mungkin kerana dia datang lewat dan seperti kata Ketua Pengawas sebentar tadi, masuk kali ini, sudah kali kelima Yana datang lewat ke sekolah! Atau, mungkin juga ada salah lain yang Yana lakukan.

Sepanjang langkahannya untuk bertemu dengan Cikgu Jelani, Yana berkira-kira sendiri tentang sebab dia dipanggil.  Dia juga berfikir tentang jenis hukuman yang akan diterimanya nanti.  Yana mengeluh sendiri.

Pintu bilik diketuk perlahan.

“Masuk.”  Sayup-sayup suara Cikgu Jelani kedengaran dari dalam.

“Assalamualaikum, cikgu.”

“Waalaikumussalam.  Haa, awak Ilyana.  Duduk.”  Yana menarik sedikit kerusi di hadapan Cikgu Jelani untuk duduk.

“Awak tahu kenapa awak dipanggil?” Yana menggeleng.  Cikgu Jelani mengeluarkan sepucuk surat daripada failnya.  Yana hanya memerhati.

“Awak ada terima surat ini minggu lepas, kan?” Yana mengangguk kali ini.

“Jadi, kenapa awak tak hadir?”

“Saya ada hallah cikgu.  Lagipun, bukan saya seorang yang tak datang.” Acuh tak acuh Yana memberikan jawapan.  Guru Disiplin dihadapan dianggap seperti rakan sebaya, langsung tiada rasa hormat!

“Ya.  Memang bukan awak seorang yang tak hadir.  Ada tiga orang yang tak hadir.  Dan, saya rasa awak tahu siapa mereka.” Yana memandang terus ke mata Cikgu Jelani.

“Dah tu cikgu nak apa?”

“Saya nak jumpa ibu bapa awak.” Yana mula kalut apabila perkataan ‘ibu bapa’ keluar daripada mulut Cikgu Jelani.

“Eh, cikgu.  Denda saya je lah.  Saya terima apa sahaja hukuman daripada cikgu.  Tak payahlah jumpa mak ayah saya.”

“Kenapa pula tak boleh?”

“Kan saya yang buat salah.  Bukan mak ayah saya.  Jadi cikgu dendalah saya.”  Cikgu Jelani menggeleng.  Yana sudah berada di tingkatan lima, tetapi cara dia memberi jawapan seperti baru melangkah masuk ke alam persekolahan.

“Ilyana, saya kena jumpa dengan ibu bapa kamu. Sebab ...,”

“Saya janji saya tak buat lagi!”  Yana memotong kata-kata Cikgu Jelani.  Dia mengangguk berkali-kali apabila melihat Cikgu Jelani sedang memandangnya.

“Baiklah.  Saya takkan jumpa ibu bapa awak.” Yana tersenyum mendengar bicara Cikgu Jelani.

“Tapi dengan syarat ...,” Yana memandang Cikgu Jelani.  Menunggu apa yang akan keluar daripada mulut lelaki itu.

“Awak kena buat kerja amal sikit.  Boleh?”

“Kerja amal?”

“Ya.  Awak perasan tak pasu-pasu di tapak perhimpunan tadi?”  Yana mengangguk.

“Banyak rumput, kan?  Pergi jumpa tukang kebun, minta peralatan untuk awak bersihkan rumput-rumput tu.”

“Saya?  Rumput?” Cikgu Jelani mengangguk. 

‘Aduh, jatuhlah standard aku!’

Promo: Blurb Kemuncak Kasih Syamira (Sesuci Cinta Syamira)

No comments:

Syamira merupakan anak tunggal kepada pemilik Syamira’s Corporation.  Sejak kehilangan kedua-dua ibu dan bapanya, Puan Sri Ayuni dan Tan Sri Madiah, Syamira dibesarkan oleh keluarga Dato’ Suhaimi yang juga merupakan rakan kongsi papanya.  Namun, Syamira langsung tidak mengetahui perihal dirinya.  Keluarga Dato’ Suhaimi melayannya dengan baik.  Amanah yang diberikan oleh Tan Sri Madiah kepada Dato’ Suhaimi disimpan utuh.  Dato’ Suhaimi langsung tidak mahu mengkhianati janjinya kepada sahabat karibnya itu.

Perasaan cemburu bergelut di hati Muhtazah, anak bongsu Dato’ Suhaimi.  Dia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dia miliki.  Dia mahukan lebih daripada itu.  Dia cuba merampas segala harta yang bakal diserahkan kepada Syamira.  Lakonan demi lakonan ditayangkan.  Syamira yang sangat mempercayai dan menyayangi Muhatazah langsung tidak melahirkan sedikit syak wasangka terhadap lelaki itu.

Muhtazah mengatur rancangan gila dengan meminta Bazli berkomplot dengannya.  Muhtazah meminta Bazli mengahwini Syamira.  Bazli yang ketika itu berselimut dengan perlbagai masalah kewangan menerima tawaran Muhtazah yang berjanji akan membayarnya dengan sejumlah wang yang besar.

Hati Muhtazah bertambah sakit tatkala dia mengetahui perihal ayahnya yang mengambil anak angkat daripada Rumah Anak-anak Yatim Al-Farabi.  Muhtazah terpaksa menambahbaikan lakonannya supaya tidak dihidu oleh keluarganya.  Dia merancang sesuatu untuk menyingkirkan Fareeq dan Fadlan.

Promo: Cinta Di Sebalik Purdah

4 comments:



“MAAF ... adik, boleh abang bertanya?” lembut suara Izz menyapa sekumpulan kanak-kanak yang sedang leka bermain konda-kondi.  Salah seorang daripada mereka sedang memegang sebatang kayu yang sehasta panjangnya.  Mungkin giliran dia untuk bermain, telah hati Izz.

“Ya, ada apa yang boleh saya tolong abang?” sahut seorang daripada mereka.  Yang lain hanya membatukan diri.  Izz membongkokkan sedikit badannya.  Dia memegang bahu budak itu.

“Abang cari rumah Tok Ketua.  Adik boleh tunjukkan tak?”

“Oh, kerja senang aje tu, bang! Jom!”

Si Gempal tadi melangkah ke arah basikal yang disandarkan pada bangsal buruk berdekatan tempat mereka bermain.  Rakan-rakannya turut serta mengikut tingkahnya.  Masing-masing menarik basikal mereka yang terbaring tanpa ditongkatkan. 

“Jauh ke rumah Tok Ketua tu, dik?”

Izz bertanya, umum.  Tanpa mengajukan soalan itu untuk siapa.

“Tak jauh, bang.  Abang nampak tak kat hujung sana ada simpang tiga?”

Izz mengangguk.

“Kat sana ada satu kedai.  Sebelah tu rumah Mak Temah.  Rumah Tok Ketua selang tiga buah rumah je daripada rumah Mak Temah,” sekali lagi Izz mengangguk.

“Haa, asyik abang je yang tanya kita orang macam-macam.  Saya pula nak tanya abang.”

Si Gempal yang tadi memperkenalkan diri sebagai Fakree, bersuara.

“Fakree nak tanya apa?”

Kening Izz diangkat sedikit.  Tanda teruja mahu mendengar soalan yang bakal dilontarkan.

“Abang datang dari mana? Tengok gaya macam datang dari jauh je,”

Izz tersenyum dengan soalan itu.  Dia mengusap kepala Fakree, sebelah tangannya memeluk bahu Adri.

“Abang datang dari Kuala Lumpur.  Datang sekejap sahaja.  Ada kerja di sini.”

“Ooooo ....” serentak suara kanak-kanak lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun itu menyahut.

+++

KAKI mereka dijejakkan di halaman Tok Ketua.  Adri melangkah menghampiri pintu serambi rumah itu. 

“Assalamualaikum ... tok, oh atok ... .”

Adri memanggil.  Matanya mencari-cari kelibat Tok Ketua.  Manalah tahu kut orang tua itu sudah menunjukkan dirinya.

“Waalaikumussalam.  Tok kat sini.  Marilah sini,” suara Tok Ketua kedengaran dari arah pangkin yang agak terselindung di belakang rumah.

Adri memberi isyarat kepada kawan-kawannya, juga Izz yang sedang menanti.  Mereka semua menuju ke arah suara Tok Ketua sebaik mendapat isyarat daripada Adri.

Dari jauh, mereka dapat lihat dua susuk tubuh di pangkin.  Tok Ketua dan Nek Tijah, isterinya.  Selalunya, petang-petang begitu, memang pasangan ini akan menghabiskan masa bersama di pangkin ini.

Tok Ketua tidak seperti suami-suami lain di kampung ini.  Mereka lebih gemar menghabiskan waktu petang mereka di Warung Pak Ramli.  Berbual kosong dan bermain dam.  Hanya sesekali sahaja Tok Ketua menyertai mereka.  Sekadar untuk menjenguk orang kampung, seraya beramah mesra dengan mereka.

“Assalamualaikum ....”

Izz menyapa kedua-dua orang tua itu.  Tangannya dihulurkan ke arah Tok Ketua.  Tangan tua itu dikucup.  Senyuman tanda menyapa dihulurkan buat Nek Tijah.  Hanya kumpulan kanak-kanak itu sahaja yang mengucupi tangan kedua-dua mereka, Tok Ketua dan Nek Tijah.

“Waalaikumussalam.  Kamu ni ...,” kata-kata Tok Ketua terhenti.  Riaknya seperti sedang mengingatkan sesuatu.

“Izz Rizqin.  Anak kepada Rahimi.”

Izz memperkenalkan dirinya.  Tidak mahu orang tua itu pecah kepala memikirkan siapa dirinya.

“Haaa ... Anak Dato’ Rahimi!”

Izz tersenyum.  Mujur Tok Ketua kenal dengan ayahnya.  Mudah untuk dia meminta bantuan Tok Ketua sepanjang dia di sini nanti.

“Dia ni datang bawa hajat besar, Jah.”

Tok Ketua memberitahu isterinya.  Izz tersengih melihat senyum Nek Tijah yang seolah-olah mahu mengusik.

“Eloklah tu.  Haa, pergi masuk dulu.  Mandi siap-siap.  Maghrib nanti ikut tok ke surau.  Sekejap lagi nek siapkan bilik tidur untuk kamu.”

Nek Tijah memberi arahan.  Mungkin mengerti lelah Izz setelah menempuh perjalanan.  Bukanlah jauh mana pun, daripada Kuala Lumpur ke Melaka.  Hanya mengambil masa dua jam.  Cuma, mungkin kerana mengerti yang Izz tidak pernah menggunakan pengangkutan awam.  Maklum sahajalah, anak orang berada.  Punya pemandu sendiri untuk ke mana sahaja.  Tetapi berbeza untuk kali ini.

“Kamu semua balik dulu ya?  Nanti Maghrib jangan lupa datang solat di surau.  Sama-sama kita meramaikan jemaah ya?”

Tok Ketua pula memberi arahan, untuk kumpulan kanak-kanak tadi.  Mereka hanya mengangguk.  Mereka memang selalu muncul di surau.  Selalunya, usai solat berjemaah, mereka akan mengaji Al-Quran.  Ustaz Dahlan yang mengajar mereka.

“Abang, nah ambil beg abang.  Nanti kita jumpa di surau ya?”

Adri menghulurkan beg Izz yang ditumpangkan di dalam bakul pada basikalnya.  Izz menyambut huluran itu.

“Okey.  Malam nanti kita jumpa di surau ya?”

“Abang, kita kan orang Islam.  Lagi elok kalau kita gunakan perkataan InsyaAllah.  Sebab kalau Allah tak izinkan, sesuatu perkara itu takkan berlaku,” lancar penjelasan keluar daripada mulut Firas.  Izz tersenyum.

“InsyaAllah.  Kalau Allah izinkan, nanti kita jumpa di surau ya.  Haa, nah.  Ini ada sikit bahagian untuk adik-adik.  Terima kasih sebab tolong tunjukkan abang jalan ya,” helaian not berwarna merah dihulurkan kepada kanak-kanak itu.

“Eh, tak apalah abang.  Kami ikhlas nak bantu abang.  Lagipun, kalau bukan kami, siapa lagi yang nak tolong?”

“Tak apa.  Ambillah.  Kata orang, rezeki jangan ditolak.”

Mendengar kata-kata Izz, Fakree mengambil helaian not itu.  Mewakili teman-temannya.

“Terima kasih abang,” serentak mereka mengucapkan terima kasih kepada Izz.  Izz mengangguk, tanda menyahut.

“Tok, kami balik dulu ya.  Assalamualaikum Tok, abang.”

Izz mengekori langkah Tok Ketua menuju ke arah pintu dapur rumah sebaik sahaja kelibat kanak-kanak itu hilang dari pandangan mereka.

+++

IZZ duduk di tangga serambi.  Betul kata ayah, tangga rumah Melaka memang menarik binaannya.  Kata Tok Ketua, sekarang sudah tidak banyak tangga seperti itu.  Maklumlah, umur semakin meningkat, tenaga semakin kurang.  Susah jika rumah terlalu banyak tangga.

Fakree, Adri, Firas dan tiga orang lagi rakan mereka leka bermain di halaman rumah Tok Ketua.  Sebentar tadi Izz menyertai mereka.

“Kamu tak mahu jalan-jalan keliling kampung ni, Izz?”

Nek Tijah menegur Izz yang sedang ralit memerhati pemandangan di sekeliling rumah itu, dulang yang berisi secawan kopi diletakkan di atas tangga.  Di hadapannya terdapat beberapa batang pokok kelapa yang tinggi menggapai langit.  Pelbagai jenis pokok bunga yang hampir menjadi pagar, menceriakan lagi laman itu.  Kelopak-kelopak bunga yang mekar sesekali bergoyang bersama daun-daunnya apabila ditiup angin.  Merah, kuning, oren, merah jambu disatukan pula dengan warna daunnya.  Kombinasi warna yang cukup menarik!

“Petang sikit kut, nek.  Saya jalan dengan budak-budak ni nanti.  Tok tak balik lagi ke, nek?”

“Dah balik.  Ada kat dalam tu.  Solat Zohor.  Tadi tak sempat agaknya.”

Izz memandang ke arah muka jam pada pergelangan kanannya.  Jam 3.45 petang, Asar hampir menjenguk.  Kopi yang dihidang, dihirup perlahan.  Sekejap-sekejap, angin bertiup lembut.  Rambut Izz yang sedikit panjang pada bahagian jambul bergoyang-goyang angkara sang angin.

+++

DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Izz.  Dia terlelap di atas kerusi rotan sebaik sahaja pulang daripada kebun getah.  Sengaja Tok Ketua mengajaknya untuk pergi menoreh bersama.  Biar dia rasa bagaimana kehidupan orang di kampung.

“Hello ...,” serak basah suara Izz menyahut panggilan.

“Hei, tidurlah tu! Izz Rizqin, wake up!”

Suara Datin Faridah lantang menerjah masuk ke ruangan telinga Izz.  Izz berdehem membetulkan suaranya.  Memang pantang ibunya jika dia mahupun adik-adiknya tidur ketika matahari mulai tegak.

“Ehem ... mum.  Sorry mum.  Izz tertidur sekejap tadi.  Tak sengaja.”

Izz memperlahankan suara.  Cukup untuk didengari mereka berdua sahaja.

“Mum hantar kamu ke sana untuk cari jodoh, bukan suruh tidur!  Dah jumpa calonnya?”

Izz menggaru kepala yang tidak gatal.  Mukanya dicemberutkan.  Baru dua hari dia tiba di kampung ini, berjalan di sekeliling kampung pun belum sempat, masakan hendak mencari calon isteri.  Cari isteri bukan macam cari ikan di pasar!

“Izz Rizqin, are you hear me?”

“Yes mum.  Izz dengar.  Nantilah mum.  Izz tak sempat nak keluar rumah lagilah.  Bagi Izz masa lebih sikit ya?”

“Mum dah beri kamu tempoh tiga bulan, kelmarin.  Dua bulan dah berlalu.  Tinggal lebih kurang 30 hari sahaja lagi.  Kalau kamu lambat, kamu pergi cari rumah sendiri.  Mum tak mahu tinggal sebumbung dengan bujang terlajak!”

Izz tergelak mendengar ugutan daripada ibunya itu.  Kedengaran juga tawa halus Datin Faridah di hujung talian.  ‘Mum, memang suka mendesak.  Tapi, mum tetap memahami anak-anaknya,’ hati Izz berbisik.

Talian ditamatkan oleh Datin Faridah.  Izz menatap skrin telefon bimbitnya.  Gambar seorang gadis menghiasi skrin kecil itu.  Izz tersenyum sendiri.  Dulu dia pernah bawa gadis itu pulang untuk bertemu dengan ibu dan ayah.  Tetapi sayangnya, gadis itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas kemewahan keluarga Izz.

+++

“AKU beri amaran pada kau, jauhi tunang aku,” tiba-tiba seorang lelaki memberi amaran pada Izz yang sedang menikmati hidangan tengaharinya.  Izz terkesima.  Namun, dia cuba untuk berlagak tenang.  Dia juga berusaha untuk tidak menegangkan keadaan.

Izz bangkit dari duduknya.  Berdiri di hadapan lelaki yang tubuhnya sedikit sasa berbanding Izz.  Belakang lelaki tersebut kelihatan dua orang lagi yang agak sasa juga.  Izz menghulurkan tangan untuk bersalam.  Lelaki itu terkejut.

“Saya Izz Rizqin.  Ini Saufi, kawan baik saya.”

Izz menghalakan tangannya ke arah Saufi yang tadi duduk bertentangan dengannya.  Lelaki yang berbadan sasa tadi memandang Saufi yang tersenyum mesra.

“Duduk dulu.  Kita bincang elok-elok. Saya sendiri belum kenal saudara, tapi saudara mungkin mengenali saya.  Saudara ni, tunang kepada siapa ya?”

Izz menarik tangan lelaki itu untuk duduk di sebelahnya.  Dua lelaki yang mengiringi tadi hanya berdiri.

“Saya Nazri.  Tunang kepada Herlina,” mendatar suara lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nazri itu.  Izz terpaku.  Antara percaya dengan tidak.  Tidak mungkin Herlina sudah bertunang.  Kata Herlina, cintanya hanya untuk Izz.  Izz menggeleng berkali-kali.  Sukar untuknya menerima apa yang disampaikan oleh Nazri.  Saufi memegang bahunya.

“Beginilah.  Kita bersua enam mata nanti.  Saya nak dengar sendiri daripada mulut Lina.”

Nazri mengangguk setuju.  Dia menghulurkan tangan menyalami Izz dan Saufi.  Begitu juga dua orang lelaki yang tidak diketahui namanya it.  Saufi menepuk bahu Izz perlahan dan berkali-kali.  Dia tahu apa yang bermain di fikiran Izz sekarang.  Dia juga tahu, cinta Izz terhadap Herlina sangat mendalam.  Izz berupaya mengukir senyuman.

“Izz ... Izz ...,” suara Tok Ketua menyedarkan Izz daripada lamunannya.  Dia tersenyum ke arah Tok Ketua.

“Kamu ada masalah ke?”  Izz tersenyum lagi.  Tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Tok Ketua.  Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Mum baru sekejap telefon ...,” kata-katanya terputus di situ.  Tok ketua menepuk bahunya.  Dia mengerti perasaan anak muda ini.

“InsyaAllah.  Kalau jodoh kamu dengan gadis yang ayah kamu maksudkan, kamu akan jumpa dia nanti.”




EDISI PENUH AKAN DI'POST' DI LAMAN PENULISAN2U... TERIMA KASIH ;)


http://www.penulisan2u.my/tag/syacha-abdullah/

~Jangan Lupe Komen Ye~