YANA melangkah ke bilik Guru Disiplin.
Namanya disebut ketika di perhimpunan sebentar tadi. Mungkin kerana dia datang lewat dan seperti
kata Ketua Pengawas sebentar tadi, masuk kali ini, sudah kali kelima Yana
datang lewat ke sekolah! Atau, mungkin juga ada salah lain yang Yana lakukan.
Sepanjang
langkahannya untuk bertemu dengan Cikgu Jelani, Yana berkira-kira sendiri
tentang sebab dia dipanggil. Dia juga
berfikir tentang jenis hukuman yang akan diterimanya nanti. Yana mengeluh sendiri.
Pintu
bilik diketuk perlahan.
“Masuk.” Sayup-sayup suara Cikgu Jelani kedengaran
dari dalam.
“Assalamualaikum,
cikgu.”
“Waalaikumussalam. Haa, awak Ilyana. Duduk.”
Yana menarik sedikit kerusi di hadapan Cikgu Jelani untuk duduk.
“Awak
tahu kenapa awak dipanggil?” Yana menggeleng.
Cikgu Jelani mengeluarkan sepucuk surat daripada failnya. Yana hanya memerhati.
“Awak
ada terima surat ini minggu lepas, kan?” Yana mengangguk kali ini.
“Jadi,
kenapa awak tak hadir?”
“Saya
ada hallah cikgu. Lagipun, bukan saya
seorang yang tak datang.” Acuh tak acuh Yana memberikan jawapan. Guru Disiplin dihadapan dianggap seperti
rakan sebaya, langsung tiada rasa hormat!
“Ya. Memang bukan awak seorang yang tak
hadir. Ada tiga orang yang tak
hadir. Dan, saya rasa awak tahu siapa
mereka.” Yana memandang terus ke mata Cikgu Jelani.
“Dah
tu cikgu nak apa?”
“Saya
nak jumpa ibu bapa awak.” Yana mula kalut apabila perkataan ‘ibu bapa’ keluar
daripada mulut Cikgu Jelani.
“Eh,
cikgu. Denda saya je lah. Saya terima apa sahaja hukuman daripada
cikgu. Tak payahlah jumpa mak ayah
saya.”
“Kenapa
pula tak boleh?”
“Kan
saya yang buat salah. Bukan mak ayah
saya. Jadi cikgu dendalah saya.” Cikgu Jelani menggeleng. Yana sudah berada di tingkatan lima, tetapi
cara dia memberi jawapan seperti baru melangkah masuk ke alam persekolahan.
“Ilyana,
saya kena jumpa dengan ibu bapa kamu. Sebab ...,”
“Saya
janji saya tak buat lagi!” Yana memotong
kata-kata Cikgu Jelani. Dia mengangguk
berkali-kali apabila melihat Cikgu Jelani sedang memandangnya.
“Baiklah. Saya takkan jumpa ibu bapa awak.” Yana tersenyum
mendengar bicara Cikgu Jelani.
“Tapi
dengan syarat ...,” Yana memandang Cikgu Jelani. Menunggu apa yang akan keluar daripada mulut
lelaki itu.
“Awak
kena buat kerja amal sikit. Boleh?”
“Kerja
amal?”
“Ya. Awak perasan tak pasu-pasu di tapak perhimpunan
tadi?” Yana mengangguk.
“Banyak
rumput, kan? Pergi jumpa tukang kebun,
minta peralatan untuk awak bersihkan rumput-rumput tu.”
“Saya? Rumput?” Cikgu Jelani mengangguk.
‘Aduh,
jatuhlah standard aku!’

No comments:
Post a Comment