“ADUH...” Emran menarik kakinya
yang terjulur keluar kereta. Ketingnya
digosok berkali-kali. Kemudian dia
menoleh ke arah dua gadis yang terpacak di sebelah pintu Hyundai Genesisnya. Riak bersalah jelas terpampang pada wajah
gadis itu. Terutamanya yang seorang itu.
“Tengok je?” Emran menyoal mereka.
“Errkkkkk...”
“Maaf, encik. Kawan saya tak sengaja tadi.”
Fitriah membela temannya. Padahal salahnya juga!
“Kawan awak ni, bisu kah?” sedikit bentakkan dalam nada suara lelaki
itu.
“Errkkkk...”
“Sekolah tak habis agaknya. Sebab tu tak pandai bercakap,” Sinis.
“Heh, jaga sikit mulut awak tu ya! Ingat awak tu bijak sangat ke bercakap? Tak ada budi bahasa langsung!” Humaira’
memarahi Emran. Emran tergelak. Humaira’ memandang Fitriah yang sedang
memandangnya.
“Gila ek?” Humaira’ menyoal
perlahan. Tapi cukup jelas di
pendengaran Emran.
“Kelakarlah bila awak marah!” tawanya
masih bersisa.
“Ah, sudahlah! Saya minta maaf pasal tadi. Dah, saya dah lambat ni. Gelaklah sorang-sorang.”
Humaira’ menarik lengan Fitriah. Cuba untuk meninggalkan lelaki yang dianggap tidak
siuman itu.
“Kalau saya tak mahu maafkan macam
mana?” duga Emran.
“Errkkkk... Janganlah macam tu. Nanti kat akhirat, saya kena cari awak untuk
minta maaf. Aduh, susahlah nanti.”
Humaira’ sedikit merayu. Emran gelak lagi.
“Hish, cepatlah maafkan!”
“Ek eh, nak paksa-paksa orang
pulak. Cik adik, maaf tu lahir dari hati
okey.”
Emran masuk ke dalam perut
keretanya.
Humaira’ kalut. Ibu pernah pesan, ‘Kalau ada buat salah
dengan orang, minta maaf cepat-cepat dan pastikan orang tu maafkan kita. Kalau tak, kita kena cari orang tu kat Padang
Mahsyar nanti. Kalau dia dah masuk Syurga macam mana?’. Sebaris pesan ibu yang sentiasa
terngiang-ngiang di telinga Humaira’.
Tingkap kereta diketuk
bertalu-talu. Airmata sudah bertakung di
kolam mata. Emran buat tidak endah. Humaira’ cuba meraih simpati Fitriah. Fitriah tidak tahu apa yang patut dilakukan.
“Encik...”
Emran membuka tingkap kereta.
“Encik, tolonglah. Maafkan saya,” sedikit merayu. Fitriah menggeleng. Cepat benar Humaira’ menunjukkan
kelemahannya. Merayu pada lelaki yang
tidak dikenali.
“Saya maafkan awak.”
Humaira’ hampir melonjak kegembiraan.
“Tapi dengan syarat.”
Emran menyambung.
“Syarat?”
“Ya, syarat. Awak kena jadi kawan saya.”
Emran mengangkat sedikit keningnya.
“Kawan?” Humaira’ mengerutkan dahinya.
“Ya.
Saya Emran. Awak?”
“Humaira’. Faqehah Humaira’,” dia tersenyum. Terpana Emran melihat lesung pipit pada
kedua-dua belah pipi gadis itu. Emran
membalas senyuman itu.
+++
TIMBUNAN kertas ditenung. Menanti untuk dibuat salinan. Ramai pula yang menghantar bahan untuk dibuat
salinan hari ini. Musim peperiksaan
agaknya. Macam soalan periksa saja ni.
“Assalamualaikum,” satu suara menegur.
“Waalaikumussalam.”
Humaira’ menoleh. “Erkkk, awak?”
“Ya saya. Kenapa?”
“Mana awak tahu saya ker...” belum
sempat Humaira’ menghabiskan ayat, lengannya sudah ditarik oleh Emran.
“Aunty, saya bawa makcik ni pergi lunch sekejap.”
Emran mengenyitkan matanya ke arah tauke
kedai tempat Humaira’ bekerja. Aunty Mei
Li hanya mengangguk. Dia kenal benar
dengan Emran, pelanggan tetapnya. Namun
beberapa bulan kebelakangan ini Emran jarang menghantar bahan untuk
dicetak. Mungkin sudah memiliki mesin
pencetak sendiri di rumah.
+++
“HAA, order. Awak nak makan apa
hari ni?”
Emran mengetuk jemarinya ke atas
meja. Bunyi ketukan halus terhasil. Jelas di pendengaran Humaira’ yang duduk
setentang dengan tempat duduk Emran.
Humaira’ memandang suasana sekitar
restoran itu. Kerusi dan mejanya
diperbuat daripada kayu jati. Lantai
dihiasi marmar yang bagai diketuk oleh adik bongsunya, tidak serupa
lantai! Tetapi Humaira’ tahu, semakin
teruk rupa marmar itu, semakin tinggi nilainya.
Mata dikalihkan pula ke arah kaunter
pembayaran. Ada dua mesin kira di
situ. Dua orang juruwang berdiri di
sebalik mesin tersebut. Pelanggan yang
sudah siap menjamu selera beratur di kaunter untuk melangsaikan bayaran.
Pelayan restoran juga berpakaian
kemas. Berkemeja putih. Seluar slack hitam disarungkan. Topi di kepala, mengikut etika penyediaan
makanan, supaya rambut tidak gugur dan masuk ke dalam hidangan pelanggan. Apron juga siap dililit pada pinggang
masing-masing.
Humaira’ terpana. Sepanjang 23 tahun hidupnya, belum sekali pun
dia menjejakkan kakinya ke dalam restoran semewah ini. Lampu malap di siling ditenung. Cermin yang menampakkan permandangan luar
restoran juga diperhati tanpa sebarang kedipan mata.
“Awak!”
Emran mematikan lamunan Humaira’.
“Nak makan apa?” Kening diangkat
sedikit.
“Errrr...” Humaira’ memandang menu di
tangannya. “Saya tak pandai nak pilih.”
Humaira’ menghulurkan menu kepada Emran.
Pelayan yang sedari tadi berdiri di sisi meja tersenyum ke arah
Humaira’.
“Cik, selalunya, kami cadangkan kepada
pelanggan untuk makanan yang bertanda thumbs up ni.”
Perlahan gadis itu bersuara, cukup untuk pendengaran mereka
bertiga. Humaira’ mengangguk. ‘Hish, macam mana boleh tak perasan tanda
ni!’
“Yang tanda cili kat hujung nama makanan
tu pula, selalunya masakan pedas. Awak
tak makan pedas, kan?” Emran menyambung.
“Bukan tak makan pedaslah. Tapi kurang sikit dengan masakan pedas,” balas Humaira’ tersenyum. Cepat sungguh Emran mengenalinya. ‘Mamat ni stalk
aku ke?’ senyuman mengulum manis di bibir tatkala bisikan nakal itu melintasi
hatinya.
+++
EMRAN meletakkan sudu dan garfu
bersebelahan, rapat-rapat. Nasi Goreng
Tom Yam, hidangan istimewa di restoran itu menjadi pilihannya tengahari
itu. Humaira’ juga memilih makanan yang
sama. Sebenarnya, restoran itu tidaklah
semewah PappaRich, tidak juga se‘eksklusif’ OldTown Cafe, tapi cukup mewah pada
pandangan Humaira’.
Tisu yang tersedia diambil dan disapu ke
mulut. Banyak perkara yang mereka
bualkan sepanjang menikmati makanan tengahari.
+++
WAKTU hampir menunjukkan jam 2
petang. Humaira’ gelisah. Kewajipannya sebagai seorang muslim belum
dilaksanakan. Emran pula ralit menikmati
keindahan tasik di hadapan mereka.
‘Aduh, dia tak mahu hantar aku balik
ke?’ kepala yang tidak gatal digaru.
Mukanya cemberut. Timbunan kerja
di kedai menerjah ruang fikirannya. Satu
persatu. Sebahagiannya perlu
diselesaikan sebelum malam ini supaya esok tidak terkejar-kejar semasa
pelanggan mahu mengambilnya. Belum
dikira dengan salinan yang perlu disiapkan pada hari yang sama.
Ligat otaknya memikirkan cara untuk
mengajak Emran pulang. Hendak berterus–terang,
dia malu. Humaira’ sangat menjaga hati
mereka yang berkawan dengannya.
“Kenapa ni? Gelisah je. Sepatutnya duduk di sini, tenangkan kepala
otak yang serabut dengan kertas-kertas di kedai tu,” Emran hanya memerhati
gelagat Humaira’ sejak tadi lagi, cuma Humaira’ tidak perasan.
Humaira’ mengangkat tangan kirinya. Jam di pergelangan ditatap seketika, sesekali
dia mengetuk muka jam itu. Emran
mengerutkan dahi.
“Awak, jam dah pukul berapa ya? Jam saya mati pula.”
“1.55 tengahari. Kenapa?”
“Erkkkkk...”
“Kenapa?” kening Emran diangkat sedikit.
“Dah hampir jam 2. Kita belum solat. Lunch
hour pun dah habis. Kerja kat kedai
berlambak lagi. Awak hantar saya balik
ke kedai ya?”
Mendengar bicara Humaira’, Emran menepuk
dahi. “Maaf! Saya terlupa. Jom!”
Bingkas mereka berdua bangun
meninggalkan kawasan tasik itu. Emran
sendiri terlupa tentang mesyuaratnya jam 3 petang nanti.
+++
“HAA, pandai balik rupanya kau. Aku ingatkan kau tak jumpa kedai tadi,”
Fitriah bersuara, sinis.
“Maaf.
Aku keluar makan tengahari tadi.”
“Kau fikir nak isi perut kau je. Habis, kerja-kerja ni semua kau tak ingat nak
buat? Kau ingat aku ni kuli batak kau
ke?” terpempan Humaira’ mendengar keluhan Fitriah. Selama ini Humaira’ tidak pernah merungut
jika Fitriah seringkali meminta cuti daripada Aunty Mei Li.
“Aku bawa makanan untuk kau, makan
ya. Aku nak solat dulu,” Humaira’
meletakkan bungkusan makanan di atas meja berdekatan dengan Fitriah.
“Ah, tak payah! Kau ingat aku nak sangat
makan benda ni?” Nasi Goreng Tom Yam yang dibungkus sebentar tadi berterabur di
atas lantai. Sekali lagi Humaira’
terkedu. Titisan air jernih mengalir ke
pipi mulusnya.
Humaira’ tunduk untuk mengutip nasi yang
berterabur. Mujur tiada pelanggan yang datang. Aunty Mei Li bergegas lari dari dapur apabila
terdengar suara tengkingan Fitriah tadi.
Dia menggeleng melihat situasi itu.
Dia berlari semula ke dapur mencari sesuatu. Sebentar kemudian dia muncul bersama sebatang
penyapu dan pengaut sampah.
“Yaya’, you pergi sembahyang dulu.
Ini nasi, kasi aunty yang kemaskan,” perempuan hampir sebaya dengan ibu
itu menepuk bahu Humaira’.
“Biar saya yang kemaskan, aunty bagi
penyapu pada saya,” Humaira’ merasa bersalah.
“Tak apa, tak apa. Ini biar aunty yang kemaskan,”
bersungguh-sungguh Aunty Mei Li memujuk.
Perempuan Cina itu mendorong tubuh
Humaira’ yang sedikit kurus ke bilik air.
Kemudian dia ke hadapan semula.
“Aunty manjakan sangatlah budak tu. Lama-lama nanti, dia pijak kepala aunty, baru
aunty tahu,” tanpa menoleh Fitriah bersuara.
“Macam you?” sedikit sinis.
“Apa pula macam saya!” protes Fitriah.
+++
USAI solat, Humaira’ ke ruangan depan
kedai. Punggungnya dihulurkan ke atas
bangku tinggi yang tersedia. Alat
pengokot yang selalu digunakan dicapai dan dipegang kemas. Baru dua set salinan dikerjakan, telefon
bimbitnya berdering.
Humaira’ mencapai beg galasnya. Poket kecil dihadapan sekali diseluk untuk
mengeluarkan telefon bimbitnya yang masih berdering.
‘Emran?’
Humaira’ menoleh kearah Fitriah yang
sedang mengerjakan timbunan kertas itu.
Fitriah sedikit menjeling.
Humaira’ membiarkan telefon bimbitnya.
Dia menekan butang ‘silent’,
supaya tiada deringan menerpa ke gegendang telinga mereka lagi. Sebentar kemudian, getaran pada telefon
bimbit berhenti, lantas Humaira’ mencapainya dan mengubah kepada mod
senyap. Kemudian dia menyambung
kerjanya.
Aunty Mei Li memandang sekilas pada dua
teman serumah itu. Seawal mereka mula
bekerja dengan Aunty Mei Li, mereka tidak pernah bergaduh. Tetapi, kenapa sekarang Fitriah seringkali
menarik muka dengan Humaira’? Mereka
datang ke pekan dari kampung yang sama, dengan tujuan yang sama. Mengapa kini mereka tidak sependapat seperti
dahulu? Aunty Mei Li sendiri bingung.
+++
TEPAT jam 9 malam. Semua kertas-kertas yang dihantar oleh
pelanggan sepanjang hari disusun kemas.
Lantai kedai disapu dan dimop.
Meja kerja dilap supaya bersih.
Bangku dimasukkan ke bawah meja.
Usai semua kerja, pintu kedai yang
ditutup separuh itu ditarik ke bawah. Aunty Mei Li sudah masuk ke rumah. Di rumah kedai itu, Aunty Mei Li tinggal
bersama suaminya, tuan punya kedai fotostat itu. Dahulu, Aunty Mei Li dan suaminya mempunyai
seorang anak perempuan. Satu-satunya
anak mereka. Humaira’ tahu akan perkara
itu pun melalui gambar keluarga perempuan Cina itu. Langsung dia tidak pernah bertanya tentang
perihal keluarga majikannya itu. Bimbang
mengecilkan hati.
Humaira’ mencari kelibat Fitriah. Gadis itu duduk di tepi koridor menunggu
Humaira’. Di bibirnya terukir senyuman
manis. Humaira’ mengerutkan dahi.
“Jom balik!” senyuman yang masih terukir
di bibir Fitriah membuatkan Humaira’ putus akal. Namun kakinya tetap menurut langkah Fitriah.
“Aku minta maaf pasal petang tadi. Aku penat sangat. Tak boleh nak kawal perasaan,” Fitriah
memulakan bicara.
“Aku tak makan hati pun. Cuma terkejut bila kau tiba-tiba buat macam
tu.”
“Maaf ya?” Fitriah bersungguh. Dia menghulurkan tangannya seperti
selalu. Humaira’ menyambutnya.
“Kita kawan sejak kecil lagi, aku harap,
kita terus berkawan, sampai akhir hayat kita.
Walau apapun terjadi,” senyuman Fitriah menyejukkan hati. Humaira’ membalas senyum dan mengangguk. Tangan Fitriah digenggam erat.
+++
FITRIAH mencapai telefon bimbit
Humaira’. Ketika itu Humaira’ sedang
mandi. Dia membuka fail mesej.
‘Sayang? Semuanya dari penghantar yang
sama,’ senarai mesej itu disemak lagi.
Satu persatu mesej dibuka.
“Kenapa Fit?” hampir terpelanting
telefon bimbit ditangan.
“Eh kau ni. Terkejut aku!” Fitriah meletakkan telefon bimbit itu
perlahan-lahan ke atas meja.
“Ada mesej masuk tak?”
“Tak.
Aku ambil nombor telefon Aunty Mei Li.
Semalam aku terpadam dari senarai pula,” Fitriah cuba berselindung. “Aku
nak keluar kejap lagi. Kau nak kirim
apa-apa ke?” dia menyambung lagi.
“Tak kot. Aku nak tidur je di rumah. Sakit kepala pula,”
+++
FITRIAH cuba mendail seseorang. Hampir 15 minit dia menunggu. Namun kelibat temannya yang seorang itu belum
juga timbul.
“Awak kat mana?”
“Sekejap. Saya tengah parkir kereta ni. Awak kat mana?”
“Depan GSC ni. Saya dah beli tiket pun. Cepat sikit.”
Fitriah mematikan talian sebaik
perkataan ‘Okey’ di hujung talian menerpa ke gegendang telinganya. Kemudian dia duduk di bangku yang tersedia.
+++
“MAAF! Saya lambat. Ada kerja sikit tadi.”
Emran meminta maaf. Sedikit rasa bersalah menyalut hatinya.
“Tak apa. Jom! Orang lain dah nak masuk tu.”
Fitriah menarik lengan Emran. Emran sedikit kaget. Dia sendiri tidak berani menyentuh mana-mana
perempuan, apatah lagi memberi ruang untuk bersentuh dengan perempuan yang
bukan mahramnya. Dia menari lengannya
perlahan. Tidak mahu menyakitkan hati
Fitriah.
“Humaira’ tak ikut?” dia cuba
berbasa-basi.
“Tak.
Dia balik kampung sekejap,” nada suara Fitriah sedikit berubah. Emran terus melangkah. Dia membiarkan Fitriah berjalan di hadapan.
+++
“OKEY tak cerita tadi?” Fitriah
memulakan bicara sebaik kakinya melangkah keluar dari panggung wayang itu. Emran hanya mengangkat bahu sedikit. Sepanjang cerita ditayangkan, dia langsung
tidak fokus. Gajet di tangan menemaninya
sepanjang penceritaan.
“Jom makan!”
Fitriah sekali lagi menarik lengan sasa
Emran.
“Saya kena balik, ada kerja sikit yang
perlu diselesaikan. Maaf.”
Emran melangkah tanpa menoleh ke arah
Fitriah lagi. Malas mahu melayan gadis
itu. Emran rimas.
Telefon bimbit Emran dikeluarkan. Dia menaip pesanan ringkas untuk seseorang.
‘Balik kampung tak bagitahu saya pun.’ –
Emran.
‘Errr, bila masa pula saya balik
kampung?’ – Humaira’.
‘Fit bagitahu saya, awak balik kampung.’
– Emran.
‘Tak pun.’ – Humaira’
‘Ok.’ – Emran.
‘Pelik!
Fitriah tipu aku ke? Motif? Atau, Humaira’ yang mahu berahsia?’ detik
hati Emran sendiri.
+++
‘MORNING
sweetheart!’ – Emran.
Sebaris mesej yang Emran hantar pagi
tadi tiada balasan. Emran bingung. ‘Kenapa tiba-tiba dia senyap?’
Ingin membuat panggilan, dia masih dalam
bilik mesyuarat. Dia akui, beberapa hari
kebelakangan ini, dia agak sibuk. Jarang
dapat menghubungi Humaira’. Keluar kerja
seawal 7.30 pagi, pulang lewat jam 12 malam.
Banyak kerja yang perlu dilangsaikan di pejabat. Dia gelisah menanti jawapan dari
Humaira’. Sihat kah? Dah makan kah?
Selesai mesyuarat, Emran terus melangkah
deras. Niatnya untuk menjenguk kedai
tempat Humaira’ bekerja.
“Aunty, Yaya’ mana?”
“Sudah tiga hari dia minta cuti dari
aunty. Kenapa Emran?” kebimbangan terbit
pada wajah Aunty Mei Li apabila melihat Emran gelisah. Emran mengkerling ke arah Fitriah yang sedang
melayan pelanggan.
“Erm... Dah tiga hari juga saya cuba
hubungi dia, tapi tiada jawapan. Dia
sihat ke, dah makan ke. Risau saya
dibuatnya.”
“Hey, you sudah jatuh hati sama itu orang kah?” Aunty Mei Li cuba
menyerkap. Dia tersengih melihat muka
merah Emran, menahan malu.
“Tak apalah aunty. Saya balik ke ofis dulu ya. Thanks
aunty!”
Emran melangkah meninggalkan Aunty Mei
Li. ‘Kurang asam sungguh! Malu aku! Hish!’ Emran tergelak sendiri.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering
menandakan ada mesej masuk.
‘Humaira’!’
‘Saya takkan ganggu awak lagi. Saya cuma nak tengok awak bahagia dengan
orang yang awak sayang. Awak bahagia,
saya pun akan bahagia.’ – Humaira’.
‘Kenapa ni? Tiba-tiba je.’ – Emran.
‘I’m
leaving.’ – Humaira’.
‘Okey.
Hak awak. Saya tak boleh
bantah. Cuma satu benda saya nak awak
tahu, awak yang pertama dalam hati saya selepas keluarga saya. Tak ada yang lain.’ – Emran.
‘Saya nak tengok awak bahagia je. Walaupun saya terluka.’ – Humaira’.
‘Bahagiakan diri sendiri sebelum
bahagiakan orang lain.’ – Emran.
‘Saya akan bahagia bila awak
bahagia.’ - Humaira’.
‘Saya takkan bahagia tanpa awak di
sisi. Tapi saya tak boleh paksa
awak. Hak awak.’ – Emran.
‘Bagi saya masa.’ – Humaira’.
‘Selama mana yang awak mahu, silakan.’ –
Emran.
Emran meraup wajahnya. Bimbang kehilangan Humaira’ dia benar-benar
sayang pada Humaira’, perlukan Humaira’ di sisi terutamanya bila sakitnya
menyerang.
Emran memegang dadanya, sebelah
kiri. Perit. Kepalanya berpinar. Dia segera membuka laci. Susunan ubatnya dicapai. Perlahan-lahan sakit itu pergi
meninggalkannya. Mujur cepat.
“Encik Emran, bos nak jumpa,” Nadia,
setiausaha Emran membuka pintu. Kaget
dia melihat sekujur tubuh Emran sudah terbaring di atas lantai pejabat. Emran sedikit pucat. Emran dibawa ke hospital.
+++
HUMAIRA’ bergegas ke hospital. Dia menerjah ke kaunter pertanyaan untuk
bertanya tentang Emran. Bilik Emran
dituju setelah jururawat menunjukkannya.
“Awak!” Humaira’ sedikit menjerit. Emran terpaku di atas katil. Dia terkejut dengan kehadiran Humaira’.
“Awak tak apa-apa?” Emran
tersenyum. Dia tahu Humaira’ risau.
“Awak sayang saya ke?”
“Mestilah sayang!” tegas Humaira’. Hilang rasa malu untuk meluahkannya.
“Terima kasih awak. Saya sayang awak juga. Jangan tinggalkan saya lagi ye?” Emran
mengulum senyuman.
“Janji!” tangan diangkat, bagai mahu
berikrar pengakap.
+++
“SAYANG...”
“Ya saya.”
“Abang nak tanya ni.”
“Apa dia?”
“Hari tu, kenapa sayang nak tinggalkan
abang?” Humaira’ hanya tersengih mendengar soalan itu.
“Senget ek?”
“Kenapa pula?”
“Sengih macam kerang busuk! Abang tanya
tak mahu jawab! Geram!” Humaira’
tergelak. Wajah tunangnya itu ditatap.
“Sebenarnya...” Emran mengangkat
kening. Meminta Humaira’ menyambung
ayatnya. “Yaya’ cemburu bila tahu abang rapat dengan Fit. Abang balas mesej Fit, tapi mesej Yaya’ abang
tak balas pun. Tapi itu dulu lah.”
giliran Emran pula ketawa terbahak-bahak.
“Abang! Orang tengok lah!”
“Hei, abang dengan dia kawan je
okey! Kan abang dah pesan, sayang yang
pertama selepas keluarga abang. You’re part of my life! Sayang tak percayakan abang ke?” Emran
bersungguh lagi.
“Okey.
Yaya’ janji! Yaya’ tak cemburu lagi,” Humaira’ tersengih. Dia malu.
“Percaya abang tak?” Emran menduga.
“Percaya. Dah, jom makan! Yaya’ lapar,” Humaira’ menepuk perutnya. Muka dicemberutkan.
“Ish...”
“Kenapa pulak?”
“Buruk muka tu. Dah, makan.
Kejap lagi abang hantar ke kedai Aunty semula.” Humaira’ segera mencapai
sudu dan garfu. Makanan disuap cepat. Kerja perlu dikejar, walaupun kerja tidak
lari. Ayat itu yang Emran selalu gunakan
bila Humaira’ asyik sahaja ingin mengejar sesuatu. “Benda tu tak ada kaki, buat apa nak
dikejar. Dia tak lari pun.”
+++
HUMAIRA’ tersenyum sendiri mengenang
cerita lima tahun lalu itu. Di situlah
bermulanya bibit cinta Humaira’ dan Emran, suaminya kini. Dia bersyukur mengenali Emran. Seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil
berat. Sangat mengambil berat.
Fitriah, kini bahagia bersama suaminya,
teman sepejabat Emran. Humaira’ dan
Emran sendiri tidak pasti sejak bila Fitriah memulakan perkenalan bersama
lelaki pilihannya itu. Apa yang pasti,
itu pilihannya.
Humaira’ memegang perutnya yang semakin
membulat. Anak ketiga. Dia duduk di tepi kolam tempat dia dan Emran
menghabiskan masa, selalunya. Emran pula
sibuk melayan karenah anak-anaknya bermain.
Berlari sana, berlari sini.
Apabila penat, menerpa ke arah Humaira’ meneguk air.
“Okey, Babah dah penat. Lapar pula tu. Along dan Angah lapar tak?” dua anak kecil
itu mengangguk.
“Jom kita pergi cari kedai makan. Ajak ibu.
Jom!”
“Jom!” Asyraf dan Arsyad bersorak
serentak. Mereka berlari ke arah ibu
mereka.
“Sayang, jom makan,” lembut bahu
Humaira’ disentuh. Humaira’
tersenyum. Mereka melangkah meninggalkan
tasik itu dengan seribu satu kenangan yang setia bertamu di hati. Tiada lagi cemburu dihati Humaira’ buat
Emran. Bisikan Emran ke telinganya
setiap malam membuatkan dia lupa akan kisah cemburunya.
“Sayang, abang nak nyanyi ni.”
“Nyanyi lah, nak dengar.”
“Kuingin engkau
menjadi milikku, aku akan mencintaimu, selama hidupku, dan aku kan berjanji,
hanya kaulah yang ku sayangi, ku akan setia di sini, menemani...”
“Okey dah!”
“Kenapa?”
“Tengok langit tu, dah mendung!” Humaira’ menjarakkan
sedikit tubuhnya dari Emran. Emran
mencuit pinggang Humaira’ Kedua-dua
anaknya ketawa melihat telatah ibu bapa mereka.
“Sayang, kuingin kamu!”
Humaira’ tersenyum lagi. Terlebih makan gula agaknya suaminya ini, sweet sangat! Tapi tak mengapa, Humaira’
tetap akan terus biarkan marakan api cintanya terhadap suaminya ini terus
menyala. Dia tahu, Emran benar-benar
menyayanginya. Humaira’ yakin. Pelayaran cinta Humaira’ terhadap Emran akan
diteruskan hingga ke akhir hayatnya. Itu
janji Humaira’ pada dirinya sendiri.

No comments:
Post a Comment