![]() |
| Karya Gabungan Ilya Abdullah & SyaCha Abdullah |
TERGESA-GESA Anuar bersiap pagi itu. Dia terlewat bangun
lagi. Panas hatinya melihat isterinya hanya berlagak selamba. Seperti tidak
bersalah. Anuar tertanya sendiri adakah dia yang tidak tersedar ketika
dikejutkan isteri. Tidak mungkin. Aku tidak tidur mati. Masih tetap mahu
menyalahkan Suriani.
Suriani menapak ke dapur. Menyiapkan apa yang patut untuk
suaminya. Entah lelaki itu mahu atau tidak, dia pun tidak tahu. Dia juga
menyiapkan bekalan makanan untuk anak-anaknya. Tidak pernah terlupa walaupun
kadang-kadang tekejar-kejar untuk ke tempat kerja.
Anuar mencapai kunci kereta. Terus melangkah keluar.
Langsung tidak dijamah makanan yang terhidang di atas meja. Suriani yang sudah
bersedia dengan tindakan suaminya itu, langsung tidak berkecil hati. Tidak memanggil
atau memujuk suaminya untuk bersarapan.
+++
DI SEBUAH rumah lain, kelihatan Nurin yang masih
berselimut. Kepalanya berat untuk bangkit. Bukan tidak mahu ke pejabat, tetapi
keadaan tidak mengizinkan. Dia sedaya upaya menggagahkan diri mahu mencapai
telefon bimbit yang terletak di tepi katil. Hajatnya ingin menghantar mesej
sahaja kepada ketuanya. Untuk memaklumkan keadaannya.
Sebaris mesej berjaya dihantar. Dia meneruskan
pelayarannya di atas katil. Tidak tahu apa puncanya. Tiba-tiba sahaja sakit
kepala menyerang. Sarapan pun belum sempat dijamahnya.
Hidayati terkocoh-kocoh mengeluarkan telefon bimbitnya.
Betul tekaannya, mesej daripada setiausahanya. Dia tahu memang Nurin yang akan
mengirimkan mesej. Seperti kebiasaannya. Tapi kali ini sebabnya lain pula.
Nurin sakit? Sakit apa?
Hidayati melangkah ke bilik sambil berkira-kira hal
Nurin. Sepanjang 2 tahun bekerja di bawahnya, tidak pernah Nurin mengambil cuti
kerana sakit. Cuti untuk pulang ke kampung ya, memang rutin bulanannya. Sakit
apa agaknya yang Nurin alami? Terukkah? Aduh, risau benar dibuatnya.
Jika tidak kerana mesyuarat yang perlu dihadiri pagi ini,
ingin sahaja dia melarikan dirinya seketika untuk menjenguk Nurin. Walaupun
Hidayati agak tegas dengan semua stafnya, namun dia masih seorang yang
prihatin, mewarisi sikap Cikgu Abdullah, bapanya yang dipanggil abah.
+++
HAMPIR tengahari, Hidayati bergegas keluar dari bilik
mesyuarat. Sambil melangkah dia mengeluarkan kunci kereta dari beg tangannya.
Sebentar kemudian, dia masuk ke perut kereta. Menghidupkan enjin dan bersedia
untuk menggerakkan kereta.
Dia singgah di gerai-gerai tepi jalan. Membungkuskan
sedikit makanan untuk Nurin, tahu Nurin pasti belum makan. Nurin tak punya
sesiapa di bandar. Dia keseorangan. Hidayati menjadi tempat mengadu jika
berlaku sesuatu. Memang akrab mereka berdua. Bagai tiada jurang.
Hidayati meneruskan perjalanan ke rumah sewa Nurin. Tidak
begitu jauh dari pejabatnya. Sesampai di rumah itu, Hidayati memarkir keretanya
di belakang Perodua Kancil 850 EX milik arwah abang Nurin. Terus melangkah ke
pintu rumah dan mencucuk anak kunci ke tombol pintu. Memang Nurin memberi kunci
pendua kepada Hidayati, supaya mudah jika sesuatu berlaku. Seperti sekarang.
Nurin tidak senang duduk melihat tompokan darah pada
cadarnya. Baru beberapa minggu lepas dia didatangi haid, disertai istikhadah.
Tak mungkin haid datang lagi. Dia cuba bangkit untuk mencari kalendar
peribadinya. Terasa sakit pada ari-arinya. Argh, kenapa pula ni? Aku mana ada
gastrik. Darah itu, datang dari mana pula?
Perlahan Hidayati memulas tombol pintu bilik Nurin.
Menjengah untuk mencari kelibat Nurin.
“Nurin!” Hidayati memanggil agak terjerit melihat
pembantunya itu terduduk di atas lantai. Dia berlari mendapatkan Nurin. Nurin
tidak mampu untuk bersuara lagi. Terasa sakit yang amat sangat dialaminya tika
ini.
“Mari saya tolong awak. Saya bawak awak ke klinik ye?”
Hidayati bersuara lembut dalam tegas. Tidak berani untuk Nurin menidakkan
kata-kata ketuanya itu. Apatah lagi rasa sakit yang bagai tertusuk pisau itu
semakin mengasak. Dengan bantuan Hidayati, dia perlahan-lahan bangun.
+++
“CIK IDA, maaf saya susahkan cik.” Nurin bersuara lemah.
Dia baru sahaja menjalani pemeriksaan. Sukar untuk dia menjelaskan kepada
ketuanya tentang penyakitnya itu. Hidayati, bijak orangnya. Tidak mungkin Nurin
boleh memperbodohkannya.
“Ada apa-apa yang awak nak terangkan?” masih bernada
tegas. Bukan tidak pernah tersenyum, tetapi Hidayati lebih suka tampak serius.
Dengan lagaknya itulah kini dia meraih hormat daripada staf-staf serta rakan
kongsi syarikat.
Nurin menggeleng. Mungkin belum bersedia untuk
menceritakan. Hidayati mengangguk, faham. Kemudian meminta diri untuk pulang
sesampainya keluarga Nurin. Tidak mahu mengganggu hak peribadi keluarga itu.

No comments:
Post a Comment