Yang Banyak Orang Reach..

Novel: Mungkin Ini Takdir Cintaku 6




“MA …, ni hadiah untuk mama.  Maaflah. Fiq tak tahu mama suka atau tak.  Fiq tak tahu nak beli apa untuk mama.”  Syafiq menghulurkan kotak coklat yang diikat dengan riben.  Berserta dengannya sejambak lavender segar.

“Terima kasih, sayang.  Apa pun yang Fiq bagi, mama terima.  Kalau tak ada hadiah pun, cukup Fiq ingat hari istimewa mama ni.”  Puan Sri Saihah menarik tubuh anaknya ke dakapan.  Erat.

So, papa, malam ni tak jadi dinnerlah ya?”  Shameena menyoal.  Soalannya itu disambut dengan tujahan pandangan mata seisi keluarga.  Terkejut barangkali.

I’m just asking.  Tak salah, kan?”

“Anak papa yang paling nakal ...,”

“... dan comel!” Shameena mencelah ayat ayahnya yang masih belum lengkap.  Celahannya itu meledakkan tawa keluarganya.

Come here, honey.”

Shameena bangkit menuju kepada ayahnya.  Dia duduk di atas pangkuan lelaki itu.  Manja!

“Manhattan lagi?”  soal Tan Sri Muhyiddin.  Dia faham benar kehendak gadis genit di atas pangkuannya ini.  Umurnya sudah menginjak ke angka 23, tetapi perangainya seperti anak yang masih belajar di bangku pra-sekolah.

Shameena mengucup pipi ayahnya.

“Itu sebablah Meen sayang sangat kat papa!”  tawa yang tadi hanya menjadi latar bunyi, kini menguasai seluruh bunyi di ruang tamu.  Kuat.

“Oh, Meen sayang papa je lah?  Abang tak?”

Of course!”  Sameer mencebik.  Sengaja Shameena memancing riak itu. “Of courselah sayang!  Meen sayang keluarga kita! Meen sayang papa, Meen sayang mama, Meen sayang abang dan adik.  Meen sayang Pak Samad dan Mak Yam juga!  Puan Sri Saihah menggeleng berkali-kali.  Senyumnya tetap menghiasi bibir.  Sungguh!  Gadis itu lagaknya seperti anak yang masih belajar di bangku pra-sekolah!  Manja!

+++

SYAFIQ duduk di gazebo belakang rumah. Kali pertama dia berada di situ sejak tigak bulan lalu. Matanya terpaku pada air terjun buatan yang halus sentuhannya. Tampak kekemasan pada binaannya. Seperti dibina oleh pekerja binaan yang profesional.

Dia menyandarkan tubuhnya pada tiang gazebo. Mata dipejam. Telinga tetap menangkap bunyi deruan air terjun serta kocakan air kolam yang dalamnya terdapat beberapa ekor ikan. Cantik!

Wajah dua insan yang tadi mengganggu fikirannya ketika di restoran kini menerpa lagi. Mengasak kuat rindunya. Cuba untuk diusir dua wajah itu dengan menghadirkan wajah mama, papa, Sameer dan Kak Meen. Namun langsung tidak berhasil.

"Huh!" Keluhan Syafiq dilepaskan. Kuat. Lelah mencari. Lelah menunggu. Dia tahu dua insan itu tidak mungkin akan muncul dalam hidupnya lagi.

"Fiq." Sameer menegur lembut.

"Meer." Langsung tiada panggilan 'Abang' buat Sameer. Sameer sedikit kecewa. Sudahlah lagak Syafiq langsung tidak menunjukkan rasa hormat, biarlah panggilan membuktikannya. Tetapi tidak!

"Boleh abang duduk?"

"Duduklah." Syafiq mengalihkan telefon bimbitnya. Memberi ruang buat Sameer.

"Ni, abang ada buat album keluarga kita. Bolehlah Fiq kenal-kenal dengan mereka."

Syafiq mencapai sebuah album di hadapannya. Satu persatu gambar ditatap. Sameer hanya memerhati. Dia menanti soalan daripada adik bongsunya itu.

Gambar seorang bayi sekitar usia empat bulan menarik perhatian. Syafiq merenung gambar itu dalam-dalam. Wajah bayi itu persis wajah yang mengganggu fikirannya sekejap tadi. Cemberut pada wajahnya mengundang perhatian Sameer.

"Kenapa Fiq?"

"Ni siapa?"

"Oh. Ni gambar abang. Kat belakang ada gambar Fiq masa kecil. Fiq comel sikitlah daripada abang."   Sameer memancing senyum Syafiq.

"Haa, ni gambar Fiq. Masa ni, Fiq baru nak masuk empat bulan. Tapi, antara kita bertiga, Kak Meen paling comel. Ni gambar dia. Comel, kan?" Jari Sameer menunjukkan gambar Shameena. Berbaju merah jambu.  Jika Sameer tidak tunjukkan pun, Syafiq boleh mengagak.

"Kenapa mama, papa tinggalkan Fiq di Ohio?"

"Oh. Mama ada cerita dulu. Mama, papa bukan sengaja. Dulu ...," belum sempat Sameer menceritakan sebabnya, telefon bimbitnya berdering minta dijawab. Sameer mengisyaratkan supaya Syafiq menunggu sebentar. Syafiq terus menancapkan penglihatannya pada buku album di tangannya.

"Fiq, I got to go. Urgent! Nanti abang sambung cerita ya? Album ni Fiq simpan dulu. Tengoklah mana yang patut. Abang pergi dulu." Sameer menepuk bahu Syafiq. Dia terus meninggalkan Syafiq yang masih berserabut dengan pelbagai persoalan.

+++

PELUH yang terpercik pada dahi dilap dengan hujung tudungnya.  Kayuhan basikal yang laju, diperlahankan.  Jalan yang sesak menghalang Fara untuk mengayuh lebih laju.  Restoran makanan segera, KFC nberada tidak jauh daripada kedudukannya sekarang.  Fara tersenyum,  wajah adik-adiknya yang terhias dengan senyuman mula terbayang di ruang fikirannya.

Hari ini Fara meminta izin daripada Cik Bedah untuk bercuti bagi memenuhi kehendak adik bongsunya.  Dia tahu sebenarnya dua lagi adiknya, Ali Kabahwar dan Mona Airawani juga berhajat tentang perkara yang sama.  Namun tidak disuarakan.

Fara menongkat basikalnya sederet dengan kenderaan dua roda  yang lain.  Dia meyeluk poket seluarnya.  Kepingan not RM 50 dan RM 10 masih di situ.  Fara tersenyum.  Langkah kakinya dideraskan sederas degup jantungnya yang penuh dengan keterujaan.

Semerbak bau ayam goreng menerpa ke rongga pernafasannya.  Fara tidak pernah menjenguk ke restoran ini, mahupun mana-mana cawangannya.  Dia menghampiri sebuah meja berdekatan pintu masuk.  Di situ duduknya sepasang suami isteri serta dua anak mereka lingkungan usia lima dan enam tahun.

“Maaf bang, akak.”

“Maaf dik.  Kami tengah makan.  Adik cuba minta kat meja lain.”

“Errr ..., bukan bang.  Saya cuma nak tumpang tanya.  Macam mana saya boleh dapatkan hidangan macam ni ya?”  Fasra menunjukkan ke arah kotak yang terletak di atas meja.

“Oh.  Adik pergi order dekat kaunter tu.  Yang ni dapat sembilan ketul ayam ni.” Si isteri menjawab lembut.

Fara menghitung sesuatu dengan jemarinya.  Mulutnya terkumat-kamit.  Dia tersenyum kemudiannya.

“Kalau saya sekleluarga ada tujuh orang, cukup rasanya.  Berapa harganya, kak?”

“Alamak!  Akak dah terbuang pula resitnya tadi.  Tak apa.  Adik pergi tanya pada pekerja di kaunter tu ya.”  Fara mengangguk.

“Terima kasih, kak, bang.”  Fara menghadiahkan senyum untuk mereka sekeluarga.

Fara melangkah meninggalkan keluarga itu.  Langkahan perlahannya diatur ke arah kaunter yang dihadapannya orang beratur panjang.  Jam pada dinding restoran itu menunjukkan waktu hampir tengahari.  Sesak di sini sama seperti sesaknya Warung Cik Bedah pada waktu ini.

Dari jarak yang tidak berapa jauh dari meja yang dia rapati sebentar tadi, telinganya mampu menangkap perbualan pasangan suami isteri itu.  Si isteri menegur sikap suaminya yang selalu dingin pada mereka yang mengganggu waktu makan mereka.

“Mereka mengganggu ketenteraman orang, tau tak?”

“Tapi mereka mencari rezeki untuk keluarga mereka.”

“Islam tidak ajar umatnya meminta-minta.  Islam menggalakkan kita berusaha.  Orang lain berpenat lelah bekerja, mereka senang-senang je nak minta hasilnya.  Saya ni bukan kedekut, cuma mereka sepatutnya berusaha.”

Bebelan si suami yang panjang lebar menerjah masuk ke ruangan telinga mereka yang berada di sekeliling mereka.

“Saya bukan tak mahu tolong, tapi, sekarang ni dah banyak sangat kes penipuan berlaku.  Kanak-kanak dan remaja dipergunakan.  Kononnya mereka anak yatim piatu.  Pakai baju compang camping, datang minta sedekah.  Bila keluar, rupanya ada orang yang arahkan mereka begitu.”

“Iyalah.  Itu saya faham.  Tapi awak tak sepatutnya bersangka buruk dengan adik tadi.  Dia datang untuk bertanya je.  Kan molek kalau awak tanya dulu apa tujuan dia tadi.”

Suara si isteri yang perlahan cukup untuk pendengaran suaminya sahaja.  Si suami mengangguk-angguk.  Sesekali dia menoleh ke arah Fara yang sedang beratur.  Riak bersalah terbit pada wajahnya.

2 comments:

Anonymous said...

wah... dah bab 8! chaiyok.. :)

SyaCha Abdullah said...

;) tetap tak leh kejar kak yard.. :D btw, thanks!