Yang Banyak Orang Reach..

Novel: Mungkin Ini Takdir Cintaku 5




SEPERTI hari-hari selalunya, Syafiq duduk termenung di dalam biliknya.  Sendiri.  Hari ini hari pertama dia menikmati sarapan bersama keluarga tanpa sebarang provokasi daripada Sameer.  Mungkin kerana adanya Lydia bersama mereka.  Agak Syafiq sendiri.  Sebab, sejak Lydia muncul dalam rumah ini, Sameer tidak banyak kompelin mengenai Syafiq.

Tadi, semasa sarapan, telefon bimbit Lydia berdering.  Katanya, orang tuanya sudah telefon bertanyakan khabar.  Dia terlupa hendak memberitahu kedua-dua orang tua itu tentang pelawaan sepupu-sepupunya untuk menyertai mereka makan malam.

Sebaik sahaja selesai menikmati sarapan, masing-masing mencapai stering kereta masing-masing untuk mencari hala tuju masing-masing.  Ada yang ke pejabat.  Ada yang ke rumah kenalan.  Ada juga yang ke kolej.  Syafiq sahaja terpinga-pinga tiada hala tuju.

Jam di dinding menunjukkan hampir 10 pagi.  Syafiq bangkit dari baringnya.  Dia menuju ke arah komputer di sudut biliknya di tingkat dua.  Berdekatan meja tersebut ada sebuah tingkap yang mengizinkan cahaya menerangi segenap ruang bilik.

Di sebelah meja komputer, ada sebuah meja sisi yang menempatkan sebuah komputer riba di atasnya.  Komputer riba itu yang Syafiq gunakan ketika di Ohio.  Sejak tiba di Malaysia, dia tidak pernah langsung menyentuh mesin itu.  Membukanya mustahil sekali.  Gambar yang menghiasi skrin itu apabila dinyalakan sebenarnya bakal membuatkan dia sedih dan hatinya akan melonjak-lonjak mahu pulang ke tanah tumpah darahnya itu.

Syafiq memandang ke arah luar menerusi tingkap yang diselak langsirnya.  Lotus Exige GT3 yang terparkir di porch menarik perhatiannya.  Dia teringat pada anak kunci yang papa berikan kepadanya beberapa minggu yang lalu.  Ada di dalam laci!  Syafiq mengatur sesuatu dalam kotak fikirannya yang sudah sempit.  Asyik berkurung sahaja.  Akhirnya dia melangkah ke bilik mandi untuk membersihkan diri.

+++

Kemeja T berkolar V disarung pada tubuh yang sedikit berotot itu.  Dipadankan dengan jeans separas lutut.  Stoking yang tingginya hanya pada buku lali dicapai daripada laci.  Anak kunci sudah berada pada genggamannya.

Selesai menyiapkan diri, Syafiq keluar dari bilik dan menuruni anak tangga satu persatu.  Mulutnya menyanyi perlahan.

“Fiq nak ke mana?”  Mak Kiah, orang gaji merangkap pengasuh kepada kedua-dua abang dan kakaknya menyapa.

“Nak keluar jalan-jalan kejap.”

“Oh ..., nanti tengah hari balik makan ye.  Mak Kiah ingat nak masakkan makanan kegemaran mama Fiq.  Hari ini birth ... birth ... birth apa ya?”

Birthday?”

“Haa, hari ni birthday Puan Sri.  Fiq balik makan ya.”

“Oh, really? Hurm ..., iyalah.  Nanti Fiq balik, kalau sempat.”  Syafiq benar-benar tidak tahu hari ini ialah hari ulang tahun kelahiran mamanya.  20 tahun dia menetap di Ohio.  Langsung tidak tahu perkembangan keluarganya.  Malah, tarikh-tarikh istimewa mereka juga Syafiq tidak tahu.

+++

LOTUS Exige GT3 yang dipandu Syafiq diparkir di dalam sebuah kotak.  Dia memandang sekeliling.  Tidak tahu ke mana sebenarnya hala tujunya.  Di hadapannya ada deretan kedai.  Di hujung sekali ada sebuah restoran.  Jam pada pergelangan tangan menunjukkan waktu 11.15 pagi.  Syafiq keluar akhirnya.

Langkah Syafiq dihalakan ke arah restoran yang agak menarik pada penglihatannya.  Langkah demi langkah diatur.  Tubuh Syafiq akhirnya ditelan oleh ruang restoran yang agak luas.  Susunan meja menyebabkan laluan Syafiq sedikit berliku.  Dia mencari tempat yang betul-betul pada sudut.  Terpencil.  Sengaja hendak bersendiri.

Pelayan restoran menghampiri Syafiq.  Dia menghulurkan menu pada lelaki itu.  Syafiq menerimanya tanpa menoleh.  Dia leka membelek telefon bimbit yang sekejap tadi berdering menandakan ada mesej masuk.  Kemudian matanya dikalihkan ke arah senarai menu yang berada pada tangannya.

Give me a glass of coke please.”

“Makan, Encik?”

A plate of French fries.”

“Lain-lain pesanan?”

No.  Thanks.

Syafiq memejamkan matanya.  Rapat.  Perlahan-lahan fikirannya mula terbang ke Ohio.  Terbayang wajah perempuan itu.  Rambut perangnya hampir mencecah pinggang.  Selalunya diikat rapi.  Anak matanya sedikit kebiru-biruan.

Terbayang juga si comel yang mirip perempuan itu.  Pada penglihatan orang sekeliling, wajah si comel ada iras-iras dengan wajah Syafiq.  Rindu Syafiq mula membuak-buak.  Huh! Kenapalah dia dipaksa pulang ke pangkuan keluarga sedang dia sudah selesa di sana?  Syafiq melepaskan keluhannya.

+++

SELESAI menikmati hidangan yang dipesan, Syafiq melangkah keluar dari restoran.  Pada deretan yang sama dengan restoran itu, terdapat sebuah kedai cenderahati.  Syafiq mengatur langkahnya ke kedai tersebut.

Di kaki lima kedai ada bunga-bunga segar tersusun elok.  Syafiq berkira-kira untuk membelinya sebagai hadiah buat mama.  Tetapi dia tidak tahu mama suka bunga yang mana.  Hendak menghubungi Shameena,  kakaknya itu pasti sedang berkuliah.  Sameer?  Entah-entah bukan jawapan yang diterima, tetapi provokasi menjadi santapan telinga.  Papa?  Tadi dengarnya papa ada mesyuarat.  Aduh, payah betullah duduk sini!

Syafiq menggaru kepala yang tidak gatal.  Bingung memikirkan hadiah buat mama.  Dia merapatkan tubuhnya ke dinding.  Perlahan-lahan dia menyandar di situ. 

‘Apa agaknya hadiah yang patut aku bagi ya?  Coklat?  Tak mungkin.  Mama dah tua.  Makan coklat lagi ke?’

Lelah Syafiq memikirkan.  Akhirnya dia masuk ke dalam kedai untuk menempah sesuatu sebagai hadiah.  Tidak mengapa kalau mama tidak suka, Syafiq masih baru di sini.  Dia baru sahaja hendak mengenali hati budi ahli keluarganya.  Begitu juga mereka.

+++

JAM pada pergelangan tangan menunjukkan waktu hampir satu tengah hari.  Lotus Exige GT3 menyusur masuk ke perkarangan rumah.  Kereta Tan Sri Muhyiddin sudah terparkir elok betul-betul di hadapan pintu utama.  Selalunya Sameer yang memandu kereta itu ke pejabat.  Jadi Tan Sri Muhyiddin tidak perlu membebankan Pak Samad sebagai pemandu.

Tugas Pak Samad hanyalah menghantar ke mana sahaja arah tuju Puan Sri Saihah.  Shameena punya lesen dan kenderaan sendiri untuk ke kolej.  Dia lebih selesa memandu sendiri.  Katanya, mudah jika hendak ‘melencong’ ke mana-mana.  Hujahnya pada ketika itu diiringi dengan tawa nakalnya.  Dia sebenarnya bukan gemar hendak ‘melencong’.  Hala tujunya hanyalah kolej dan rumah.

+++

“WAH,banyaknya Mak Kiah masak! Sedap-sedap pula tu!”

Suara Puan Sri Saihah mengejutkan Mak Kiah yang sedang bertungkus-lumus menghidang.

“Hish Puan Sri ni.  Terkejut Mak Kiah.  Ha, dah boleh duduk makan dah ni.  Jemput Puan Sri, Tan Sri, Meen, Meer.”

Suara lembut Mak Kiah disambut dengan senyum seisi keluarga itu.

“Fiq mana Mak Kiah?  Dah panggil ke?  Meer, tolong panggilkan adik, nak.”

Puan Sri Saihah memberi arahan sambil tersenyum.  Sudah 19 tahun dia menyambut ulang tahun kelahiran tanpa anak bongsunya.  Sameer yang baru sahaja menjejakkan punggungnya pada kerusi bangkit kembali.

“Fiq keluar tadi Puan Sri.  Tak tahu pula ke mana.  Tapi Mak Kiah dah pesan balik makan tengah hari tadi.  Dia terlupa agaknya,” mendengar hujah Mak Kiah, wajah Puan Sri Saihah bertukar mendung.  Hari ini, genap 20 tahun dia menyambut ulang tahun kelahirannya tanpa Syafiq.

“Tak apalah.  Kita makan dulu.  Kejap lagi Fiq baliklah tu.  Kalau tak sempat, malam nanti kita celebrate lagi, okey?” Tan Sri Muhyiddin memujuk isterinya.  Bahu wanita itu disentuh lembut.  Shameena dan Sameer menghampiri tubuh tua ibu mereka.  Didakap erat tubuh itu.

“Ma, kejap lagi Fiq baliklah tu.  Kita makan dulu ya?”  Shameena bertutur manja.

“Genap 20 tahun birthday mama tanpa Fiq.  Sedih hati mama ni.”

“Kan papa dah janji tadi.  Kalau Fiq tak ada malam nanti kita celebrate sekali lagi.  Kan papa?”  Sameer meminta persetujuan Tan Sri Muhyiddin.  Lelaki itu mengangguk deras.  Pada bibirnya sudah terukir senyum yang membawa seribu makna.  Lantas memberi isyarat kepada Sameer untuk mencari maknanya.  Akhirnya Sameer turut tersenyum.

Sameer menjarakkan diri sedikit untuk memberi ruang kepada Syafiq.  Syafiq meletakkan kotak kek di atas meja.  Puan Sri Saihah terkejut.  Dia menoleh.

Happy birthday, mama!”

Syafiq memeluk erat tubuh mamanya.  Air mata jernih pada wajah mama diseka dengan jemari.  Tan Sri Muhyiddin, Sameer dan Shameena hanya memerhati.  Mereka tersenyum bahagia.  Terlunas sudah hajat wanita itu.

“Mama ingatkan Fiq tak sudi nak luangkan masa untuk mama.”

“20 tahun Fiq tinggal jauh daripada mama dan keluarga.  Tapi, itu tak bermakna Fiq boleh sesuka hati abaikan hati dan perasaan you all.  Maaf Fiq lambat.  Jalan jammed sikit tadi.  Banyak kereta kat luar pintu tu.”  Syafiq berseloroh, dia memaksudkan kesesakan berlaku di halaman rumah mereka.  Tan Sri Muhyiddin dan keluarganya hanya ketawa.

“Okeylah.  Jom kita makan.  Nanti sejuk, kurang pula keenakkannya.”  Sameer bersuara sambil melirik ke arah Mak Kiah.  Mak Kiah hanya tersenyum.  Dia dan Pak Samad menyertai keluarga itu seperti selalunya.

2 comments:

tinta merah said...

best..ttg hubungn kekeluargaan yg mesra...tp mesti ada konflik lps ni,kan?hehehr

fz said...

best2 . xsbr nk tggu klimaks cite ni . cpt2 smbg .