FARA
melipat kain telekung yang sudah digunakan.
Sekejap lagi dia kena bantu emak bersihkan diri dan menunaikan
solat. Teringat dia pada lirik lagu
Hakikat Bahagia dendangan kumpulan nasyid popular, UNIC. Bila resah tiada gelisah, bila miskin syukur
pada Tuhan, bila sakit tiada resah di jiwa.
Pada
rangkap lain ada juga menceritakan bahawa kesyukuran itu sebenarnya satu
kebahagiaan. Bila kaya jadi insan
pemurah, bila berkuasa amanah, bila berjaya tidak alpa, bila sihat tidak
lupakan Tuhan. Fara bersyukur dia masih
sihat dan dipinjamkan lagi nyawa buatnya.
“Mak,
Fara nak bersihkan lampin mak ni.
Sekejap lagi Fara tolong mak berwudhu’ ya?” Fara senyum apabila melihat
emak tersenyum. Dia tahu emak senang
dengannya. Ayah hanya memerhati dari
jauh. Bukan Fara seorang anak
perempuannya. Selepas Fara, dia ada tiga
orang lagi anak yang lain termasuk Ayie.
Seorang antaranya ialah perempuan, Airawani.
Perlahan-lahan
Fara membantu Mak Esah. Sambil tangannya
ligat membersihkan tubuh emak, mulutnya mengelitap4 bercerita
tentang kerjanya, tentang orang-orang kampung yang tak jemu menyokongnya, juga
yang membantu mereka sekeluarga. Fara
juga menyatakan rasa bangga untuk berada di kampung itu kerana kebaikan setiap
orang kampung tersebut. Mak Esah
tersenyum mendengar cerita Fara. Fara
membalas senyum emak. Senang hatinya bila
Mak Esah tidak gelisah melayan sakit.
+++
MINUM
petang disediakan oleh Ayie dan Airawani.
Selalunya Ayie akan membantu adiknya itu menggoreng jemput-jemput untuk
dijadikan alas perut mereka sekeluarga.
“Jemput
makan mak, ayah. Ayie goreng
jemput-jemput kosong je hari ni.” Ayie menghidang. Langsung tidak kekok.
“Abang
Kamil, Kak Fara, Yin, mari makan sekali.”
Ayie memanggil. Airawani sudah
duduk di sebelahnya. Fara yang tadi duduk
di sebelah Kamil bangun untuk mencapai beberapa biji jemput-jemput untuk abang
dan emaknya. Ayah sudah menyertai
kumpulan Ayie, Airawani dan Sobirin.
Fara
menyuapkan jemput-jemput ke mulut Kamil.
Sekali sekala disuakan juga ke mulut Mak Esah. Dipicitnya sehingga lumat jemput-jemput pada
tangan sebelum disuakan ke mulut dua orang insan kesayangannya itu.
“Kenapa
hari-hari kita kena makan jemput-jemput?
Yin bosanlah! Jemu dah makan
jemput-jemput ni.” Suara comel Sobirin
memecah sunyi. Fara pantas menoleh ke
arah adiknya yang usianya baru menginjak ke angka 10. Dia tersenyum memandang Sobirin.
“Habis
tu, Yin nak makan apa?” Airawani menyoal lembut. Dia mengusap belakang adiknya.
“Hari
tu masa kat sekolah, kawan-kawan cerita, diorang makan McD, ada juga yang makan
KFC. Yin teringin nak makan macam
diorang. Ayah tak boleh ke belikan Yin
macam tu?” Luahan Sobirin membuatkan
ayah tertunduk. Sekejap selepas itu ayah
bangkit dari duduknya. Lelaki di awal
usia 50-an itu duduk di muka pintu.
“Bukan
ayah tak mahu belikan, Yin. Tapi ...,”
kata-kata lelaki itu terhenti sebaik menerima isyarat daripada Fara.
“Mari
sini, nak.” Sobirin bangun menghampiri
ayah di muka pintu. Dia duduk di atas
pangku lelaki tua itu.
“Nanti
ayah belikan ya? Tapi tak boleh selalu,
sebab kita kena simpan duit untuk ubatkan mak.
Yin nak mak sihat, kan?” Sobirin
mengangguk. Dia tersenyum.
“Dah,
Yin pergi makan jemput-jemput tu dulu ya?
Penat Abang Ayie goreng.” Sekali
lagi Sobirin tersenyum. Ayah juga
tersenyum. Anak sekecil Sobirin belum
faham apa erti kepayahan hidup. Dalam
senyum ayah, ada sedikit gelisah.
Sebenarnya dia tidak tahu isyarat apakah yang Fara tunjukkan sekejap
tadi.
+++
AZAN
Maghrib berkumandang dari corong radio.
Oleh kerana rumah mereka agak jauh dengan mana-mana masjid atau surau,
jadi radio memang sengaja dibiarkan hidup.
Sameer bangun. Syafiq
disebelahnya hanya memandang. Semenjak
dari mereka duduk bersama tadi, hinggalah Sameer bangun, Syafiq langsung tidak
bersuara.
“Jom,
kita solat dulu!” Shameena dan Lydia mengangguk seraya bangun untuk menyertai
Sameer. Syafiq masih membatu.
“Fiq,
jom!” Sameer menyentuh lembut bahu adiknya.
Syafiq terkejut. Pelik dengan
sikap Sameer yang berubah sama sekali sejak kehadiran Lydia. Berlakonkah?
“Fiq
nak mandi. You all solatlah dulu.”
Syafiq bangun dan terus melangkah ke bilik. Sameer dan yang lain-lain hanya mengekori
langkah Syafiq dengan pandangan mereka.
+++
MEREKA
berempat melangkah beriringan menuju ke pintu masuk Alamanda Shopping
Centre. Malam itu, tidak terlalu ramai
orang yang memenuhi tempat itu. Shameena
kemudiannya mengambil tugas sebagai pemandu arah. Bukannya abang dan sepupunya tidak tahu jalan
untuk ke restoran pilihannya itu. Sengaja
mahu membiarkan dirinya ditimpa keseronokan bertalu-talu. Tinggal Sameer berjalan beriringan dengan
Lydia. Syafiq mengekori dari
belakang. Matanya ligat menoleh ke sana
ke mari. Hampir seluruh pelosok bangunan
itu diratah dengan penglihatannya.
“Fiq,
ni la Alamanda yang Lydia cakap masa dalam kereta tadi. Kami selalu lepak kat sini. Best tak?”
Syafiq
mencebikkan muka sambil keningnya diangkat sedikit tanda berpuas hati.
Dari air mukanya, Lydia tampak ada sedikit kepuasan.
“Not bad.” Sameer tersenyum.
“Fiq
dah jalan kat mana je?” Wajah Syafiq
seperti sedang berkira-kira. Lydia
menoleh ke arah Sameer yang lagaknya seperti seorang suami yang sedang membawa
isteri dan dua anaknya berjalan-jalan. Kalau
disalah tafsir oleh mereka yang melihat pasti mereka meletakkan Lydia pada
kedudukan seorang isteri.
“Ni
first time keluar kut.” Riak terkejut tampak pada wajah Lydia.
“Biar
betul?” Syafiq mengangguk perlahan. Sameer buat tidak tahu. Shameena pula sibuk melayan lagu-lagu yang
dimainkan dalam MP3nya.
“Abang
tak bawa Fiq jalan-jalan ke?” Lydia
menyentuh sedikit bahu Sameer yang seperti mengelakkan diri daripada tujahan
soalan. Sameer memandang dengan muka
tanpa perasaan. Lydia mengerutkan
dahi. Dia mahukan jawapan.
“Fiq?” Akhirnya dia meminta jawapan daripada Syafiq
sendiri. Sebal hatinya melihat wajah
Sameer yang kosong itu.
“Fiq
yang tak mahu keluar. Malaslah. Tak ada yang menarik pun. Fiq dah Google dah. Tak ada apa yang menarik.”
Mendengar
jawapan daripada mulut Syafiq, Sameer mencebikkan bibirnya. Sombong!
Kau bangga sangatlah dengan negara orang! Sekejap dia terlupa yang Malaysia bukan tanah
tumpah darah adiknya.
Lydia
sedikit pun tidak terkejut dengan jawapan Syafiq. Dia tahu bukan kehendak Syafiq untuk pulang
ke Malaysia. Semuanya atas permintaan
keluarga. Melihat daripada tingkah
kedua-dua abang dan kakak Syafiq pun, Lydia sudah boleh mengagak yang
sebenarnya mereka sedang bergelut dengan perasaan masing-masing.
“Haa
... Okey, okey. Dah sampai. Kita makan dulu, lepas tu kalau nak
borak-borak benda serius, kita cari port
okey? Masa makan, kita cerita benda yang
simple je. Set?”
Sameer
dan Lydia hanya mengangguk. Syafiq leka
memandang sekeliling. Ada sebuah kolam
kecil di sebelah kiri mereka. Syafiq
leka memikirkan apa fungsi kolam tersebut.
Hiasan? Mungkin. Telah hati Syafiq sendiri.
“Ikhwan
Syafiq?” Shameena menarik perhatian
Syafiq. Syafiq menoleh dan mengangkat
keningnya.
“Dengar
tak?” Syafiq mengangguk.
“Another rule is ...,”
“Lagi?”
“Ya. Ada lagi.
No handphone! Duduk je kat meja kejap lagi, handphone semua kena letak atas
meja. Tengah-tengah. Get it?” Terlopong mulut Sameer, Syafiq dan Lydia.
“Tolonglah
setuju.”
“Sejak
bila pula pandai buat rule macam ni?”
“Boleh
ke tidak?” Soalan dibalas dengan soalan.
“Kalau
tak boleh?”
“Kita
balik je.” Shameena mengagah untuk
melangkah pergi. Sameer menahan. Adiknya yang seorang ini, kalau sudah
merajuk. Susah hendak dipujuk!
“Okey. Kami setuju!”
Shameena tersenyum. Dia melirik
ke arah Syafiq. Syafiq hanya
tersenyum. ‘Nak perli aku ke apa ni?’
nota kaki:
Mengelitap : Tidak henti-henti bercakap

1 comment:
best la kak sya . cpt2 la smbg . .
Post a Comment