+++
“Mamaaaaa...” Alfi berlari apabila dia dikejar Alwi. Puan Sarina menggeleng kepala melihat telatah dua anaknya.
“Mama tolong Adikkkk...”
“Oh, pandai ya nak minta tolong mama. Mama, jangan tolong dia, ma. Biar Abang sekeh budak kecil ni. Nakal!”
Alwi terus mengejar Adiknya. Dia mengagah ke kiri dan ke kanan.
“Ha, sudah, sudah. Mama pula yang pening kepala. Mari duduk sini. Minum air ni.”
Puan Sarina menarik lengan anak lelaki yang berdiri di hadapannya. Dicari juga tangan Alfi yang sedang bersembunyi di belakangnya. Encik Ruzaihan tersenyum melihat telatah anak-anaknya. Bukannya kecil lagi umur mereka. Masing-masing sudah berumur 24 dan 26 tahun!
“Inilah padahnya bila asyik disuakan dengan ribena. Jadi budak-budak dah anak-anak kita ni,” senda Encik Ruzaihan menggeletek hati keluarganya. Alfi mendapatkan ayahnya. Dia duduk di sisi ayahnya.
“Kan comel anak-anak ayah macam ni.”
Alfi melentokkan kepalanya pada bahu Encik Ruzaihan. Encik Ruzaihan mengusap kepala gadis itu.
“Comellah sangat! Awak berdua ni, kalau masing-masing dah ada pasangan, dah lama ayah kahwinkan.”
“Fuh! Nasib baik kita belum ada pasangan, kan Adik?”
Kata-kata Alwi membuatkan Alfi bangkit menghulurkan tangannya.
“Give me five, Abang!”
“Oh, kamu berdua berpakat kenakan ayah pula ya?”
Alfi bangun cuba untuk melarikan diri.
“Haa, nak pergi mana? Mari sini, ayah nak sekeh kepala Adik!”
Encik Ruzaihan menarik lengan anak bongsunya untuk duduk semula. Lengan sasa lelaki itu mengepit leher anaknya.
“Adik, selamat padan muka!”
Alwi mengejek adiknya. Alfi menjelirkan lidah. Tiba-tiba Alfi memegang tangan ayahnya.
“Eh ayah. Kejap!”
“Kenapa? Nak lari?”
“Bukan. Kejap.” Alfi mengalihkan tangan Encik Ruzaihan yang memaut lehernya tadi. “Adik lapar,” tangan Alfi menepuk perutnya.
“Haa, tu lah. Tadi tak mahu sarapan. Dah mari tolong mama masak kat dapur.”
Alfi tersengih. Tangannya pantas menyusun gelas yang mama dan ayahnya gunakan ke dalam dulang dan mengangkatnya ke dapur.
+++
Alfi menghidangkan lauk yang dimasaknya sebentar tadi. Sudah menjadi kebiasaan, Alfi akan memasak untuk keluarganya sementara Puan Sarina hanya membantu Alfi menyediakan bahan. Puan Sarina telah melatih Alfi untuk membantunya sejak Alfi berumur 15 tahun lagi.
“Wah, sedapnya!” Alwi menegur sebaik aroma masakan menerpa ke rongga hidungnya yang ala-ala Zizan Raja Lawak.
“Tengoklah siapa yang masak,” giat Puan Sarina. Alfi yang baru keluar dari dapur tersengih. Mangkuk hidangan pada tangannya di pegang rapi.
“Nah. Ini lauk kegemaran Abang. Adik masakkan khas,” mangkuk hidangan diletakkan di atas meja makan. Alwi tersengih apabila melihat ayam masak merah yang terhidang. Memang benar kata Alfi, lauk itu lauk kegemarannya.
“Tema masakan hari ini lauk kegemaran ya tuan-tuan dan puan-puan.” Alfi bersuara seperti sedang mengacara rancangan di televisyen. Mereka sekeluarga ketawa.
+++
Majalah pada tangan Alfi dibelek. Alfi mencari ruangan yang menarik untuk dibacanya. Kebiasaan buat Alfi, dia akan membaca ruangan yang menarik minatnya terlebih dahulu sebelum membaca keseluruhan artikel di dalam majalah yang menjadi santapan matanya.
Bosan membaca, Alfi mencapai komputer riba. Lagu-lagu yang sudah tersusun di dalam senarai, diputarkan. Baru sahaja hendak terlayang, Alfi dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Ada mesej masuk.
‘Adik, jom keluar!’ – Alwi.
‘Nak ke mana?’ – Alfi.
‘Ikut je la. Siap cepat. Abang tunggu dalam kereta.’ – Alwi.
Malas mahu bertanya lanjut, Alfi bingkas bangun. Dia mencapai tuala mandi badan dibasahkan sedikit. Sekadar untuk keselesaan dirinya.
Alfi menyarungkan jersi pasukan bola sepak kegemarannya, Chelsea. Dipadankan dengan jeans lusuh, hadiah daripada Alwi, Alfi sendiri tidak tahu sempena apa abangnya memberikan hadiah itu. Tudung disarung.
Alfi mengatur langkah menuruni anak tangga. Satu persatu. Rumahnya sunyi. Dia tahu Alwi sedang menunggu di dalam kereta. Mama dan ayahnya tidak pula kelihatan. Mungkin sedang berehat di dalam bilik.
“Adik, cepatlah.”
Alwi melambai ke arah Alfi. Alfi terkial-kial menyarung snickers.
“Kejaplah.”
+++
“Uish, Abang nak bawa Adik ke mana ni?”
“Ikut jelah,” pemanduan Alwi hampir tidak fokus apabila Alfi tiba-tiba bersuara. Alfi mencemberutkan mukanya. Geram sungguh! Abang tak pernah macam ni!
“Haa, dah tiba. Jom turun!”
Alwi membuka pintu. Dia meninggalkan adiknya yang masih berselirat dengan tanda tanya. Dia tersenyum.
Laut yang terbentang luas di hadapannya dipandang. Bayu laut yang bertiup dihirup bertalu-talu. Damai. Jam baru sahaja menginjak ke angka 4. Kawasan perkelahan itu masih belum sesak dengan ramai orang. Cuma ada beberapa pasangan kekasih yang sibuk berpacaran di persisiran pantai. Memburukkan pemandangan.
“Abang,” suara Alfi mematikan fokus Alwi. Sekali lagi. Alwi menoleh. “Kenapa Abang bawa Adik ke sini?”
Alwi tersenyum. Tangan adiknya ditarik. Dia mendorong adiknya ke gigi air.
“Adik, nanti kalau Adik rindu Abang, Adik datang sini ya?”
“Adik tak pernah rindu Abang pun,” balas Alfi selamba.
“You will soon, my dear. I bet you. Soon. Very soon,” hambar nada suara Alwi. Alfi tersengih. Suka dapat mengusik abangnya.
Alfi meninggalkan Abangnya sendiri di gigi air. Dia mencari sebatang kayu untuk mengukir nama pada pasir pantai. Alwi hanya memandang adiknya. Dia tidak banyak bicara. Tanpa sedar, airmatanya menitis.
“Abang!” teriak Alfi dari jauh. Alwi hanya mengangkat kepala.
“Janji tak tinggalkan Adik ya?” Alfi mengatur langkah mendekati Alwi. Jari kelingking dihulurkan. Alwi menyambut.
“Janji okey?” Alfi mahukan kepastian. Kali ini Alwi tersenyum.
“Senyum tanda setujukan?” kata-kata Alfi memancing tawa Alwi. Alwi menarik adiknya ke dalam dakapan. Alfi turut tersenyum.
+++
Getaran telefon bimbit mengganggu Alfi. Sesekali dia cuba untuk meninjau skrin kecil pada telefon bimbit itu untuk memastikan siapa pemanggilnya.
“Alfi Dayana, awak ada masalah ke?”
“Erkkkk... Tak puan. Cuma...”
“Cuma?”
“My mom keep calling me. Boleh saya jawab panggilan sekejap, puan?”
Alfi meminta izin. Puan Azyan, pengarah urusan syarikat tempat Alfi bekerja hanya mengangguk. Dia tidak mahu tumpuan Alfi terhadap mesyuarat terganggu.
“Terima kasih puan.”
Alfi bingkas keluar daripada bilik mesyuarat untuk menjawab panggilan. Selang beberapa minit Alfi masuk semula.
“Puan, saya kena pergi.”
“Ke mana?”
“Abang saya. Puan, saya kena pergi. Sorry.”
Tanpa dapat dihalang, Alfi meninggalkan mesyuarat.
+++
“Mama, Abang mana, ma? Abang mana?”
“Duduk dulu, sayang. Abang masih di dalam.”
“Doktor kata apa?”
“Doktor tak keluar lagi. Adik duduk sini.”
Puan Sarina memeluk anak bongsunya. Kejap-kejap. Esak tangis anak gadisnya itu semakin reda.
+++
Doktor keluar daripada bilik rawatan.
“Siapa waris mangsa?”
“Saya.” Encik Ruzaihan menerpa ke arah doktor. Alfi dan Puan Sarina turut bangkit mendapatkan mereka.
“Maaf. Kami tak dapat selamatkan mangsa. Mangsa mengalami patah leher dan kecederaan teruk pada bahagian kepala, mungkin akibat hentakan yang kuat semasa pelanggaran. Maaf.”
Doktor menepuk bahu Encik Ruzaihan. Encik Ruzaihan terduduk mendengar perkhabaran itu.
“Abanggggggggggg...”
“Adik, sabar sayang.”
“Abang janji tak akan tinggalkan Adik. Abang janji Abang akan temankan Adik.”
Puan Sarina memeluk erat anak gadisnya. Tiada sepatah kata mampu diluahkan lagi.
“Mama, Adik nak Abang. Adik nak Abang.”
+++
‘Abang, hari genap sebulan Abang tinggalkan Adik. Abang tipu Adik. Abang janji Abang takkan tinggalkan Adik. Abang janji Abang akan temankan Adik. Abang, Adik rindu Abang. Rindu sangat pada Abang.’
Alfi mencampakkan pandangannya jauh-jauh ke laut. Tempat terakhir dia meluangkan masa bersama Alwi.
‘Abang, Adik ingat lagi ayat Abang. Abang kata, Adik akan rindu Abang. Ya, Adik rindu Abang. Adik rindu Abang sampai akhir nadi Adik.’
Alfi memandang pula pada skrin telefon bimbit milik Alwi. Sejak kehilangan Alwi, hanya telefon bimbit Alwi menjadi teman Alfi, ke mana sahaja dia pergi. Alfi membuka fail ‘Notes’ pada telefon bimbit Alwi.
‘Dear Adik, Abang tahu Adik akan buat ‘spot-check’ kat handphone Abang ni. Adik, Abang minta maaf sebab Abang terpaksa mungkir janji pada Adik. Abang tahu Adik perlukan Abang (nada agak perasan), tapi Abang tak boleh terus tinggal dengan Adik, tak boleh terus jaga Adik. Adik dah besar. Kalau kahwin, mesti Abang dah dapat anak saudara. Adik, Abang nak Adik janji dengan Abang. Jaga mama dan ayah sebaik mungkin. Hiburkan hati mama dan ayah. Adik kena kuatkan semangat supaya mama dan ayah tak sedih lagi. Adik pun jangan sedih ya? Abang sentiasa ada dengan Adik, mama dan Ayah. Abang ada jauh dalam hati kamu semua. Jangan buang Abang ya?’
Alfi menyeka airmatanya. ‘Abang, Adik janji. Adik takkan pernah buang Abang dari hati Adik. Abang adalah Abang yang terbaik buat Adik. Walaupun Abang jauh dari mata Adik, tapi Abang tetap dekat di hati Adik.’
Alfi tersenyum. Dia bangkit dari tempat duduknya. Dia berjanji akan menjejakkan kakinya di pantai itu lagi bila terlalu rindukan Alwi. Dan dia berjanji, dia akan sentiasa merindui Alwi.

6 comments:
alorrrrr.... sedih
so sad....
oitt...sedihnye..:(
sedey ='(
ohho,
2014 already..
tp baru skrg jumpe..
great!
keep it up, sis ;)
Post a Comment