Yang Banyak Orang Reach..

Novel: Mungkin Ini Takdir Cintaku 7





SAMEER keluar dari biliknya.  Bau hidangan yang enak menerobos masuk ke lubang hidungnya.  Dia menjengah ke ruang makan.  Masih belum ada sesiapa selain Mak Kiah yang sibuk menghidang.  Mama mungkin di dalam dapur.  Selalunya memang mama yang akan menyiapkan sarapan dan makan malam.  Tugas Mak Kiah hanyalah menghidang.


Sameer mengetuk pintu bilik Shameena.  Dia pasti adiknya masih di dalam.  Shameena membuka pintu sedikit, mengisyaratkan dia masih sibuk bersiap.

“Jom sarapan.”

“Okey.  Kejap.  Sikit lagi.”  Tangan Shameena terkial-kial mengenakan pin ke bahunya.

“Ala …, dah comel dah adik abang ni.  Betulkan ni sikit je.  Tu lah, abang suruh pakai tudung sarung tu je, adik tak mahu.  Kan dah susah.”  Tangan Sameer ligat membetulkan tudung adiknya sambil mulut tak henti-henti membebelkan Shameena.  Shameena tersengih.

“Abang kalau dah kahwin nanti, mesti romantik gila, kan?”

“Tak payah nak mengada!”

“Bila abang nak kahwin?”  Umur dah 27 tahun dah.  Dah tua tau?”  Sameer mengucup pipi Shameena sebagai rasuah supaya gadis itu menutup mulutnya.  Dia tahu memang itu kemahuan adiknya.

“Dah.  Jangan banyak tanya.  Jom turun.”

“Sebelah je?  Sini? Sini?”  Shameena menunjukkan pipinya yang sebelah lagi dituruti dengan dahi.  Sameer malas mahu memanjangkan bicara.  Dia hanya menuruti kehendak gadis itu.

“I love you, abang!”  Sameer tersenyum.  Matanya dikenyitkan sebelah.  Mereka beriringan menuruni anak tangga.

“Dik, kejap.  Abang nak panggil Fiq.”  Shameena mengangguk.  Dia menuruti langkah abangnya.  Sebenarnya dia sendiri tidak faham dengan perubahan lelaki itu yang terlalu mendadak.  Walaupun begitu, perkara itu amat disenangi mereka sekeluarga.

‘Tapi Meen rindukan provokasi.  Baik dari abang, mahupun adik!’  Telahan hatinya mencetuskan tawa kecil pada bibir yang persis milik mama.

+++

“HARI ini game apa, Meer?”  Tan Sri Muhyiddin menyoal.  Menangkap perhatian Sameer.

“Hari ni badminton, pa.  Kita start dengan regu dulu.  Lepas Zohor nanti baru main single.  Petang semalam dah buat pusingan kalah mati dah.”

“Papa mungkin datang lewat sikit.  Tunggu anak dara ni habis kelas dulu.”  Sameer mengangguk.  Shameena mengisyaratkan ‘peace’ kepada abangnya.  Sameer tergelak.

“Mak dara ni pun ada kelas buat kek hari ni.  Kan, sayang?”  Puan Sri Saihah mengangguk.  Suka benar suaminya memanggil dengan gelaran ‘mak dara’ di hadapan anak-anak.  Dia tahu itu satu gurauan yang menggamit kemesraan.

Syafiq hanya membatu diri.  Dia langsung tidak tahu apa yang dibincangkan.  Makanan di pinggan hanya tinggal sedikit.  Tangannya menyuap dan terus menyuap.  Langsung tidak menyampuk perbualan keluarga itu.  Baginya, dia seperti orang asing yang hanya datang singgah dan menumpang di rumah itu.  Sampai masanya, dia akan kembali ke tempat asal.

Untuk menyentuh telefon bimbit, memang tidak mungkin.  Sejak pulang dari Ohio, mama sudah berpesan;

“Di meja makan, bila semua dah berkumpul, no handphone, no other gadgets, no papers!  Waktu makan, semua makan!”

Dia masih ingat pesan itu.  Dia menghormati prinsip keluarga ini yang bukan orang lain, darah dagingnya juga.  Syafiq tersenyum apabila pesanan demi pesanan melintasi ruang fikirannya yang kosong.

“Fiq?”  suara Tan Sri Muhyiddin dan Sameer berpadu tanpa dirancang.  Syafiq terkejut dengan seruan itu.  Dia menoleh ke arah dua lelaki itu secara bergilir.  Memohon penjelasan mengenai seruan itu.

“Fiq ada plan apa-apa ke hari ni?”  Sameer bersuara.

“Tak ada rasanya.  Tengoklah.  Kalau bosan kang* Fiq keluarlah.”

“Ikut abanglah.  Nak?”

“Fiq tak minat badminton.  Maaf.”

“Kalau macam tu, esok Fiq join futsal boleh?  Team abang.  Nanti abang masukkan nama Fiq.  Boleh juga Fiq kenal-kenal dengan staf Muhdas Holdings.”

“Nantilah Fiq bagi keputusan.  Fiq mesej nanti.”  Sameer tersenyum hambar.

+++

“KAK Fara …,” suara kecil Sobirin membantutkan pergerakan Fara.  Dia menoleh ke arah si kecil di sebelahnya.

“Ya, sayang?”

“Nah.  Yin nak bayar semula duit KFC hari tu.”  Sobirin menghulurkan not RM 1 yang diikat dengan getah gendit.

“Eh, mana Yin dapat duit ni?”

“Duit sekolah yang ayah dan akak bagi.  Yin kumpul sikit-sikit.”

“Yin tak makan di sekolah?”  Sobirin menggeleng.

“Kan akak ada bekalkan makanan.  Jadi duit Yin, Yin simpanlah.”  Fara mengusap kepala adiknya penuh kasih sayang.

“Adik bagi duit ni pada ayah, okey?  Akak nak siapkan sarapan ni.”

Sobirin mengangguk lantas berlari mendapatkan ayahnya yang sedang mengurut kaki emak.  Fara tahu, ayah akan menyimpan duit itu untuk digunakan pada masa akan datang.

Fara meneruskan tugasnya.  Lempeng pisang sudah siap dihidang di atas sebiji pinggan.  Air kopi sudah disiapkan Airawani.

“Wani …,” Fara memanggil adiknya untuk meminta bantuan.  Airawani dan Ayie bangun menuju ke dapur.

“Hidangkan sarapan ni.  Dah boleh makan dah ni.  Mak ayah mesti dah lapar,” dua remaja itu mengangguk dan bersedia untuk membantu kakaknya.

“Hari ni Kak Fara pergi kemas rumah siapa, kak?”

“Rumah Mak Tijah kat hujung kampung tu.  Ayie dan Wani tolong tengokkan mak dan Abang Kamil ya?  Tolong-tolong ayah sikit.  Adik tu, tengokkan dia belajar.  Home work semua siapkan.  Akak mungkin balik lewat.  Sebab Mak Tijah baru renovate rumah.  Banyak benda nak dikemas.”

“Biar Ayie tolong akak lah.  Mesti banyak kerja-kerja berat nanti.”

“Rumah ni siapa nak uruskan.  Wani seorang?  Larat ke?  Nak siapkan kerja sekolah lagi.  Ulangkaji lagi nanti.  Penat dik.  Uruskan mak dan Abang Kamil tu, berat juga.  Bukan senang.”

“Tak apa kak.  Wani boleh buat.  InsyaAllah.  Abang Ayie tolong Kak Fara ya?”  Ayie tersenyum dengan sokongan Airawani.  Fara tidak mampu membantah lagi.  Dia turut tersenyum.  Kalimah Hamdalah meniti di bibirnya.  Dia bersyukur dikurniakan keluarga yang prihatin antara satu dengan yang lain.

+++

BATU bata yang berterabur, Fara angkat dan susunkan elok-elok di bawah tangga.  Lebihan-lebihan marmar turut diatur setempat.  Sungguh!  Banyak kerja yang perlu dilakukan.  Mujur Ayie menawarkan bantuannya.  Jika bersendiri, pasti Fara akan pulang lebih lewat lagi.

Warung Cik Bedah tidak beroperasi hari ini.  Sudah tiga hari sebenarnya.  Dengarnya, Cik Bedah pergi ke Kuala Lumpur untuk menjenguk adiknya yang sakit kuat.

Fara duduk sebentar.  Dia merenung ke arah Ayie yang sibuk mengerjakan papan-papan.  Atas permintaan Mak Tijah dan anaknya, Ayie mendirikan sebuah pangkin di bawah pokok kuini yang sedang lebat.  Ayie berusaha keras.  Kemahiran yang diajar di sekolah diaplikasikan sepenuhnya.  Dalam hatinya dia berterima kasih kepada Cikgu Azmi yang telah mengajar dia kemahiran itu.

Dia teringat pada cadangan adiknya, Yin, suatu masa dahulu.

“Abang buatlah alat-alat kayu.  Macam kraf tangan.  Abang ukir cantik-cantik.  Buat banyak-banyak.  Nanti Yin tolong jualkan.  Boleh buat tambah duit simpanan kita.  Boleh ubatkan mak.  Nanti mak sihat semula, boleh kerja macam dulu lagi.”

 Saat itu seluruh keluarga tersenyum.  Ya, Sobirin masik kecil untuk mengerti keperitan hidup mereka, tetapi adakalanya Sobirin bagai benar-benar mengerti kepayahan yang melanda.

No comments: