“FARA, Ayie …, ni upah untuk kamu
berdua.” Mak Tijah menghulurkan dua
sampul surat. Satu buat Ayie, satu lagi
untuk Fara.
“Terima kasih ya. Mujur ada kamu berdua. Kalau tidak, Mak Tijah tak tahu macam mana
nak kemaskan semua ni.”
Ayie dan Fara hanya tersenyum. Puas hati dengan hasil kerja mereka dan
mereka juga berharap supaya Mak Tijah sekeluarga juga berpuas hati. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka
memohon izin untuk pulang.
“Terima kasih ya, dik. Kalau Ayie tak tolong akak tadi, mesti akak
balik lewat. Risau pula mak dan ayah
nanti.” Ayie senyum. Dia memeluk bahu kakaknya.
‘Apalah nak dikira yang Ayie tolong
akak. Berbanding dengan pertolongan dan
pengorbanan akak untuk keluarga kita selama ni.’ Telah hati Ayie.
Mereka beriringan berjalan pulang. Hari ini tanpa kayuhan basikal. Baru-baru ini basikal Ayie telah dicuri. Dua-tiga hari lepas, Ayie nampak anak Pak
Seman mengayuh basikal persis seperti miliknya yang hilang. Kanak-kanak berusia sebelas tahun itu
mengayuh basikal kea rah sekolah agama di sebelah petang.
Sejak itu Ayie meredhakan kehilangan
basikal kesayangannya itu. Dia juga
berharap ada pahala pada setiap kayuhan basikal itu untuk ayahnya. Ayah yang mengerah tenaga untuk menghadiahkan
basikal itu buat Ayie atas keputusannya yang cemerlang.
+++
SEBUAH kereta terparkir elok di laman
rumah papan sebaya ayah. Sebelum emak
jatuh sakit beberapa tahun lalu, rumah itu sentiasa berseri-seri. Hampir setiap tahun cat diganti. Atau, jika tidak sempat diganti dengan warna
baru, pasti mereka sekeluarga akan bergotong-royong mengelap kotoran pada
dinding papan itu.
Kali terakhir cat itu bertukar warna
ialah pada dua tahun lepas. Selepas Ayie
meraih keputusan yang cemerlang dalam PMR.
Itupun, hajat emak yang diluahkan pada tahun sebelumnya.
Fara dan Ayie melangkah perlahan ke
laman rumah mereka. Langkah yang diatur
seperti pencuri, langsung tidak dengar bunyi derapan kaki.
“Ayah, tu Kak Fara dengan Abang Ayie dah
balik.” Yin yang sejak tadi lagaknya
seperti peninjau, member laporan buat keluarganya, Ayah dan tetamu-tetamu yang sejak tadi sabar
menunggu mula bangun untuk menyambut kepulangan dua beradik itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Pak Ngah!” Fara menjerit dan berlari mendapatkan lelaki
yang sudah berdiri di muka pintu itu.
Dia menyalami dan mendakap tubuh tua di hadapannya. Rindu benar pada Pak Ngah. Lelaki ini satu-satunya adik kepada emak
yang kini terlantar sakit.
Sejak emak sakit, Pak Ngah tidak sempat
menjenguk mereka di kampung. Kecuali
beberapa kali. Itupun dia bersendiri.
“Pak Ngah minta maaf sebab dah lama tak
balik. Sibuk bekerja. Bos Pak Ngah tu makin sibuk sekarang ni. Dengan persatuanlah, kelas memasaklah,
itulah, inilah. Macam-macam. Pak Ngah jugalah yang kena jadi drivernya.”
“Dah memang itu kerja yang Pak Ngah apply kat dia dulu. Terima jelah.” Lantunan suara Fara memecah tawa seisi
keluarga. Dia kemudiannya mendapatkan
Mak Ngah yang sejak tadi tersenyum-senyum.
“Mak Ngah ni senyum perli ke apa ni?”
“Ingatkan dah tak kenal Mak Ngah
lagi.” Fara ketawa. Dia memeluk tubuh wanita itu. Erat.
Air matanya mula bertakung. Erat
peluknya seperti hendak meluahkan suatu beban yang telah sekian lama dipendam.
“Sabar ya, nak.” Fara tersenyum dengan pujuk itu. Dia dapat merasakan sentuhan tangan Pak Ngah
pada belakang tubuhnya. Mengusap
perlahan. Tenang. Pasangan itu sudah seperti ibu bapa kedua
untuk Fara. Masakan tidak, ketika di
tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, Fara dihantar untuk tinggal bersama
pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata itu atas permintaan mereka.
+++
SELESAI solat Isya’ berjemaah, Fara,
Ayie dan Airawani terus ke dapur. Kuih
apam yang Fara kukus sebelum solat tadi dihidangkan. Satu jag air kopi disiapkan oleh Airawani
sementara Ayie membantu mengangkat cawan-cawan ke serambi.
“Wah, bukan main warna-warni lagi
kuihnya. Meriah!” Mak Ngah menegur. Senyum mengiringi tegurannya.
“Lama dah Pak Ngah tak makan kuih apam
buatan Fara. Rindu rasanya.”
“Itulah Pak Ngah. Lepas ni baliklah selalu. Kak Fara rajin buatkan kami kuih ni tau. Baru ni Kak Fara buat apam yang ada dot dot
dot tu. Apa nama dia tah,” suara comel
Yin meriuh rendahkan serambi dengan gelak tawa.
“Apam polka dot la, dik.”
“Ha, apam …, apam apa Kak Wani?”
“Polka dot.”
“Apam polka dot?” meminta kepastian. Airawani mengangguk. Keletah adiknya mencuit hati. Pasti rumah akan sunyi bila Yin berpeluang
untuk belajar di sekolah berasrama nanti.
“Lah …, iya ke? Kalau macam tu, bolehlah kita balik selalu,
ya Yam?” Mak Ngah mengangguk. Sambil berkongsi cerita, mereka menjamu kuih
daripada air tangan Fara itu. Di satu
sudut, ayah tersenyum. Takungan air
matanya kelihatan sedikit. Fara yang
perasan dengan tingkah ayah turut begitu.
Ya Allah, tabahkanlah hatiku setabah hati ayah yang tak mengenal lelah
dalam mengharungi ujian-Mu.
Permudahkanlah kami.

1 comment:
ala . cketnye . btw, best !
Post a Comment