Yang Banyak Orang Reach..

Novel: Mungkin Ini Takdir Cintaku 9



SAMEER menyusun fail-fail di atas meja kerjanya.  Fail-fail yang perlu diteliti itu sudah berusik sejak pagi tadi.  Kini kerjanya semua sudah beres.  Jarum panjang pada jam dinding baru sahaja berganjak ke angka 9 sementara jarum pendek hampir ke angka 11.

Deraian hujan kelihatan semakin lebat.  Sameer mencapai alat kawalan suhu.  Dia meninggikan sedikit suhu pendingin hawa.  Dia bukan jenis yang tahan sejuk.  Semasa di Ohio dahulu, dia seringkali sakit dan semakin teruk apabila musim sejuk bertandang.

Sameer termenung melihat titis-titis hujan yang masih belum jemu membasahi bumi.  Dari tingkat di tingkat 14 itu, pandangannya agak terbatas untuk menjenguk terus ke arah jalan raya yang pastinya sudah sesak.  Selalunya itulah yang berlaku.  Setiap kali hujan, keadaan lalu lintas mula perlahan dan seringkali juga berlaku kemalangan.

Sameer teringat akan soalan Syafiq di gazebo belakang rumah beberapa hari lalu.  Sehingga kini dia masih belum sempat meluangkan masa untuk menceritakan perihal sebenar kepada adiknya.  Tiba-tiba sahaja jadualnya menjadi padat.  Kadang-kadang hampir tidak terurus waktunya.

Dia tersenyum pula apabila teringat Shameena yang seringkali menjadi penasihat peribadinya.  Shameena selalu bercerita tentang perihal wanita, membuatkan Sameer hampir faham dengan sikap kaum yang dianggap istimewa ini.  Disebabkan itu jugalah Sameer mampu mengatasi masalah-masalah pekerja wanita di pejabat ini.

“Meer …,”

Sameer menoleh.  Wajah Fauzi terjengul di muka pintu.  Langsung tiada bunyi ketukan sebelum namanya diseru.  Sameer mengangkat kening.

“Kau kenapa senyum sorang-sorang?  Angau eh?  Awek mana kau kebas?”  Fauzi menggonjak.

“Gila kau!  Habis, yang tu aku nak letak mana pula?”

“Wei, kouta kita ada empatlah, bro!”

“Aku setia, tak macam kau!”  Sameer menepuk bahu Fauzi.  Lelaki itu baru berusia 29 tahun, tetapi sudah mempunyai dua orang isteri!  Seorang pilihan keluarga, seorang lagi memang cinta hatinya sejak di alam persekolahan lagi.  Tetapi mereka hidup bahagia.

Fauzi bijak mengatur hidup.  Dia mampu berlaku adil kepada kedua-dua orang isterinya.  Cepat sahaja dia menyelesaikan masalah sekiranya ada antara isterinya berkecil hati.  Penyayang orangnya.

“Sebab aku setialah aku kahwin dua sekali tau!  Kalau tak setia, confirm salah seorang dah kena tinggal!”  Sameer senyum mendengar kenyataan Pengurus Kewangan Muhdas Holdings ini.  Ada juga terselit kebenaran pada bait katanya itu.

“Kau dah bagitahu dia?” Sameer senyum hambar.

“Belum.”

“Bila lagi?  Bukan baru ni ada jumpa dia ke?  Lambat nanti melepas.”

“Entahlah.  Aku tak beranilah.  Lagi pula, dia nampak macam admire kat orang lain.  Jadi, aku tak berani nak tanggung risiko.”

“Hidup ni kalau tak berani mencuba, payah juga, bro.  Kau trylah dulu.”  Sameer senyum lagi.

“Malaslah cakap dengan kau ni.  Sikit-sikit senyum. Sikit-sikit senyum.  Menyampah!”

Sameer senyum lagi.  Kali ini lebih lebar senyumnya.

“Tengok tu!  By the way, aku datang ni nak ajak kau datang rumah Khamis ni, malam.  Aku buat kenduri sikit.  Kau ajak Tan Sri, Puan Sri semua sekali ya.  Tadi aku cari Tan Sri, dia tak ada pula.”

“InsyaAllah.  Papa ada meeting rasanya.  Nanti aku sampaikan.”  Fauzi mengangkat ibu jarinya.  Dia lantas menyusun langkah keluar daripada bilik Sameer.  Banyak lagi kerja yang perlu dia selesaikan.

+++

OLDTOWN White Milk Tea yang terhidang sejak 15 minit lalu hanya menjadi santapan mata.  Langsung tidak untuk tekaknya.  Peanut butter toast juga terhidang begitu sahaja.  Entah mengapa tekaknya tidak mampu hendak menerima hidangan kegemarannya itu.

Fikirannya kini lebih tertumpu pada seseorang.  Semenjak dua ini fikirannya sering diganggu oleh lelaki itu.  Huh!  Keluhan berat terluah daripada bibirnya.  Dia tidak tahu bagaimana hendak meluahkan perkara sebenar.

Telefon bimbit di hadapannya dipusing berkali-kali.  Dia keliru.  Berkali-kali juga dia cuba untuk mendail, tetapi dibatalkan.  Sebenarnya sudah lama dia memendam rasa.  Tidak tahu bagaimana hendak meluahkannya.

‘Apa agaknya reaksi dia kalau aku luahkan ya?’

Sekali lagi keluhan berat diluahkan.  Mummy dan daddy sudah berkali-kali bertanya perihal jodoh.  Mummy kata, memang betul dia masih muda, tetapi jika terlalu lama memendam rasa, mummy risau dia akan kecewa.  Aduhai.

+++

SHAMEENA membuka fail gambar dari komputer ribanya.  Gambar-gambar bersama Lydia kelmarin dibelek satu persatu.  Dia terkebil-kebil melihat sekeping gambar.  Dia percaya gambar itu ditangkap secara tidak sengaja.  Dia menggosok-gosok matanya beberapa kali.

Pandangannya dikalihkan kepada abangnya dan skrin kecil itu beberapa kali.  Bergilir-gilir.  Sudah lebih dua puluh tahun mereka bersama.  Membesar bersama.  Bermain bersama.  Bersekolah di sekolah yang sama.  Tapi kenapa baru sekarang dia perasan?

“Abang?”  Sameer memandang adiknya.  Dia mengangkat kening tanda menyoal.

“Meen perasan something.  Abang nak tengok?”  Sameer bangun.  Mengikut sahaja kehendak gadis genit itu.  Syafiq hanya duduk membatu di sofa.  PSP pada tangannya ditekan tanpa henti.  Ligat.

“Apa dia?”

“Abang tengok gambar ni.  Gambar abang dengan Lydia.”  Jemari Syafiq yang sekejap tadi ligat, terhenti seketika.  Dia memasang telinga.  Mahu mendengar perbualan dua beradik itu.

“Dah tu kenapa?”

“Ada iras-iras.  Orang kata, kalau ada iras tu, maknanya ada jodoh.  Insya-Allah jodoh panjang.”  Syafiq terus membatu.  Dadanya terasa sakit.  Nafasnya seperti berat.  Ah, apa pula ni?

“Adik, bukan ke Lydia tu sepupu kita.  Bukan orang lain.  Memang wajarlah kalau dia ada iras-iras dengan abang.”

“Tapi abang kena ingat, Lydia tu anak susuan je.  Bukan anak kandung.  Kalau suka, cakap je pada dia.  Tak pun, adik boleh tolong.” Shameena mengenyitkan sebelah matanya.  Sameer terdiam.  Dia terlupa akan hakikat itu.  Ya, Lydia hanya anak susuan!

“Dah, dah.  Jangan nak mengada sangat.  Tadi kata nak buat assignment, ni dah ke lain pula dia.”  Sameer memeluk bahu adiknya.

“Meen cakap kat dia eh?”

“Buat assignment tu!”  Sameer menahan rasa yang hebat bergolak dalam jiwanya saat ini.  Macam mana Meen boleh tahu ni?

“Tak payah nak sorok dengan Meen.  Meen kenal sangat abang Meen.”  Sameer senyum.  Shameena memang tidak pernah silap dengan perasaan Sameer.  Ibu bapa mereka pun tidak mampu memahami Sameer sehebat Shameena.

Syafiq bangkit dari duduknya.  Bosan.  Menyesal kerana mencuri dengar perbualan dua beradik itu.  Dia langsung tidak menyangka akan ada rasa sehebat ini.  Menyesakkan dadanya.

1 comment:

fz said...

best kak . cepat sambung .