Yang Banyak Orang Reach..

Promo: Tuhan, Kurniakanlah Kepadaku Keampunanmu




FATASYA terjaga sebaik terdengar pintu biliknya diketuk bertalu-talu.  Fatasya bingkas bangun dari pembaringannya menuju ke suis lampu.  Pintu bilik dikuak sedikit tanda dia sudah bangkit dari tidurnya.

“Haa, bangun, solat Subuh.  Dah pukul 6 dah ni.  Nanti lewat pula ke sekolah,”  suara Puan Saonah menerjah masuk ke ruang pendengaran anak gadisnya itu.  Fatasya mengangguk lemah.

‘Aduh, asyik-asyik sekolah.  Bosan betullah!’

Langkah kaki Fatasya dihalakan ke arah almari baju yang ditempatkan di sudut bilik, bersebelahan dengan penyangkut tuala.  Di situ juga ditempatkan telekung dan sejadah miliknya.  Fatasya merenung ke arah kain putih bersulam merah itu.  Kain sejadah yang sudah lama tergantung di situ.  Huh, sudah lama aku tidak menyentuhnya.

Fatasya mencapai tualanya lantas menuju ke bilik mandi yang terletak bersebelahan dengan biliknya di tingkas atas banglo keluarganya itu.  Usai membersihkan diri, Fatasya masuk semula ke bilik tidurnya.  Tempat tidur sudah dikemaskan oleh Mak Tijah, pembantu di rumah itu.

Pakaian sekolah disarung ke tubuhnya yang kecil molek.  Sedikit bedak disapu ke wajah supaya tampak segar.  Fatasya duduk di birai katil sementara menunggu suara ibu memanggilnya.  Sekali lagi dia merenung ke arah sepasang kain putih yang elok tersidai pada penyangkutnya.  Sebentar kemudian, Fatasya tundukkan wajah.

“Syaaa... Mari turun sarapan,” suara yang dinantikan akhirnya kedengaran.  Fatasya melangkah longlai.  Beg sekolah yang sudah siap dimasukkan buku itu disandang.  Pintu bilik dirapatkan.  Anak tangga dituruni satu persatu.

+++

“FATASYA..  Fatasya..” tangan dilambai-lambai di hadapan muka Fatasya.  Fatasya tersedar dari lamunannya.  Muhaini dan Nadhirah, dua teman baik Fatasya di sekolah.

“Awak tak makan ke?” hanya soalan itu yang keluar daripada mulut Muhaini.

“Dari tadi saya perhatikan, awak asyik termenung sahaja.  Kenapa Tasya?”

Nadhirah pula menyoal.  Fatasya mengalihkan pandangannya ke arah makanan yang sedikit pun tidak tercuit.  Tangannya mencapai garfu yang diletakkan ke dalam bekas makanan itu tadi.

“Mana ada.  Saya okey je.”

Fatasya berdalih.

“Tasya, orang lain awak boleh tipu.  Tapi tidak pada kami.  Kami kenal awak sejak kecil lagi.  Awak ada masalah ke?”

Tangan Muhaini mencecah ke bahu Fatasya yang duduk di sebelahnya.  Fatasya menoleh ke arah Muhaini, sekejap.  Dituruti dengan wajah Nadhirah.  Tangannya ligat bermain dengan tutp bekas makanannya. 

Seketika kemudian, deringan loceng menunjukkan masa rehat telah tamat kedengaran.  Fatasya lega.  Pantas dia mengenakan penutup bekas makan dan memberi isyarat untuk bangun kepada dua teman baiknya itu.  Muhaini dan Nadhirah menurut.  Mereka bangkit menuju ke kelas.

+++

“KAU dah solat, dik?”

Fidtri menegur Fatasya yang sedang leka menonton televisyen.  Fatasya hanya mengangguk.

“Dari tadi abang tengok kau dekat situ, bila masanya kau solat?”

“Eh... solat apa? Zohor? Dah lah.”

“Zohor apa lagi, dah masuk Asar dah ni.”

Jari Fidtri tegak menunjukkan ke arah jam di dinding.  Fatasya menyengih.  Dia bangun meninggalkan abangnya di ruang tamu.

“Adik...”

Fatasya menoleh.

“Solat tu, tiang agama.  Siapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agamanya.  Tetapi, sesiapa yang meninggalkan solat, sama seperti dia meruntuhkan agamanya,” suara Fidtri menerpa ke pendengaran Fatasya.  Fatasya menundukkan kepalanya.  Dadanya terasa sesak.

‘Oh Tuhan, terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan,’ airmata Fatasya mula mengalir perlahan.  Tanpa dia sedari, tangan abangnya mengusap pipi mulusnya itu.  Air mata diseka.

“Allah Maha Pengampun, dik.  Kembalilah kepada-Nya,” sekali lagi Fidtri bersuara.  Fatasya mengatur langkah menuju ke biliknya.  Beberapa ketika kemudian, dia keluar, menuju ke bilik air.  Abangnya yang masih berada di ruangan televisyen, menoleh ke arahnya.  Senyuman manis dihadiahkan untuknya oleh lelaki itu.

+++

BILIK Fatasya berselerak dengan buku-buku teks setebal satu inci.  Kulit buku yang berwarna putih itu dihiasi dengan tulisan yang bukan tulisan rumi.  Fidtri terkejut melihat keadaan bilik adiknya.  Dia mengambil keputusan untuk menerjah masuk ke bilik adiknya seteolah ketukannya tidak berjawab.

Fidtri mencari susuk tubuh adiknya.  Bilik yang gelap menyukarkan pencariannya.  Namun dia tetap tidak menyalakan lampu, khuatir adiknya tidak selesa dan akan melakukan sesuatu di luar batasan.

Bunyi heretan kerusi membantu Fidtri menjejaki adiknya.  Dia mendekati arah itu.  Lantai bilik yang agak luas itu kini hampir dipenuhi dengan buku.  Dalam usaha menghampiri adiknya, Fidtri mengutip buku-buku itu satu persatu.

“Adik...”

Esak tangis Fatasya mula kedengaran.  Fidtri mula bimbang.  Dia hampir kaget mendengar tangisan itu.  Tangisan penuh masalah.

“Adik...  mari sini, mari dekat abang.”

No comments: