Yang Banyak Orang Reach..

Promo: Cinta Di Sebalik Purdah




“MAAF ... adik, boleh abang bertanya?” lembut suara Izz menyapa sekumpulan kanak-kanak yang sedang leka bermain konda-kondi.  Salah seorang daripada mereka sedang memegang sebatang kayu yang sehasta panjangnya.  Mungkin giliran dia untuk bermain, telah hati Izz.

“Ya, ada apa yang boleh saya tolong abang?” sahut seorang daripada mereka.  Yang lain hanya membatukan diri.  Izz membongkokkan sedikit badannya.  Dia memegang bahu budak itu.

“Abang cari rumah Tok Ketua.  Adik boleh tunjukkan tak?”

“Oh, kerja senang aje tu, bang! Jom!”

Si Gempal tadi melangkah ke arah basikal yang disandarkan pada bangsal buruk berdekatan tempat mereka bermain.  Rakan-rakannya turut serta mengikut tingkahnya.  Masing-masing menarik basikal mereka yang terbaring tanpa ditongkatkan. 

“Jauh ke rumah Tok Ketua tu, dik?”

Izz bertanya, umum.  Tanpa mengajukan soalan itu untuk siapa.

“Tak jauh, bang.  Abang nampak tak kat hujung sana ada simpang tiga?”

Izz mengangguk.

“Kat sana ada satu kedai.  Sebelah tu rumah Mak Temah.  Rumah Tok Ketua selang tiga buah rumah je daripada rumah Mak Temah,” sekali lagi Izz mengangguk.

“Haa, asyik abang je yang tanya kita orang macam-macam.  Saya pula nak tanya abang.”

Si Gempal yang tadi memperkenalkan diri sebagai Fakree, bersuara.

“Fakree nak tanya apa?”

Kening Izz diangkat sedikit.  Tanda teruja mahu mendengar soalan yang bakal dilontarkan.

“Abang datang dari mana? Tengok gaya macam datang dari jauh je,”

Izz tersenyum dengan soalan itu.  Dia mengusap kepala Fakree, sebelah tangannya memeluk bahu Adri.

“Abang datang dari Kuala Lumpur.  Datang sekejap sahaja.  Ada kerja di sini.”

“Ooooo ....” serentak suara kanak-kanak lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun itu menyahut.

+++

KAKI mereka dijejakkan di halaman Tok Ketua.  Adri melangkah menghampiri pintu serambi rumah itu. 

“Assalamualaikum ... tok, oh atok ... .”

Adri memanggil.  Matanya mencari-cari kelibat Tok Ketua.  Manalah tahu kut orang tua itu sudah menunjukkan dirinya.

“Waalaikumussalam.  Tok kat sini.  Marilah sini,” suara Tok Ketua kedengaran dari arah pangkin yang agak terselindung di belakang rumah.

Adri memberi isyarat kepada kawan-kawannya, juga Izz yang sedang menanti.  Mereka semua menuju ke arah suara Tok Ketua sebaik mendapat isyarat daripada Adri.

Dari jauh, mereka dapat lihat dua susuk tubuh di pangkin.  Tok Ketua dan Nek Tijah, isterinya.  Selalunya, petang-petang begitu, memang pasangan ini akan menghabiskan masa bersama di pangkin ini.

Tok Ketua tidak seperti suami-suami lain di kampung ini.  Mereka lebih gemar menghabiskan waktu petang mereka di Warung Pak Ramli.  Berbual kosong dan bermain dam.  Hanya sesekali sahaja Tok Ketua menyertai mereka.  Sekadar untuk menjenguk orang kampung, seraya beramah mesra dengan mereka.

“Assalamualaikum ....”

Izz menyapa kedua-dua orang tua itu.  Tangannya dihulurkan ke arah Tok Ketua.  Tangan tua itu dikucup.  Senyuman tanda menyapa dihulurkan buat Nek Tijah.  Hanya kumpulan kanak-kanak itu sahaja yang mengucupi tangan kedua-dua mereka, Tok Ketua dan Nek Tijah.

“Waalaikumussalam.  Kamu ni ...,” kata-kata Tok Ketua terhenti.  Riaknya seperti sedang mengingatkan sesuatu.

“Izz Rizqin.  Anak kepada Rahimi.”

Izz memperkenalkan dirinya.  Tidak mahu orang tua itu pecah kepala memikirkan siapa dirinya.

“Haaa ... Anak Dato’ Rahimi!”

Izz tersenyum.  Mujur Tok Ketua kenal dengan ayahnya.  Mudah untuk dia meminta bantuan Tok Ketua sepanjang dia di sini nanti.

“Dia ni datang bawa hajat besar, Jah.”

Tok Ketua memberitahu isterinya.  Izz tersengih melihat senyum Nek Tijah yang seolah-olah mahu mengusik.

“Eloklah tu.  Haa, pergi masuk dulu.  Mandi siap-siap.  Maghrib nanti ikut tok ke surau.  Sekejap lagi nek siapkan bilik tidur untuk kamu.”

Nek Tijah memberi arahan.  Mungkin mengerti lelah Izz setelah menempuh perjalanan.  Bukanlah jauh mana pun, daripada Kuala Lumpur ke Melaka.  Hanya mengambil masa dua jam.  Cuma, mungkin kerana mengerti yang Izz tidak pernah menggunakan pengangkutan awam.  Maklum sahajalah, anak orang berada.  Punya pemandu sendiri untuk ke mana sahaja.  Tetapi berbeza untuk kali ini.

“Kamu semua balik dulu ya?  Nanti Maghrib jangan lupa datang solat di surau.  Sama-sama kita meramaikan jemaah ya?”

Tok Ketua pula memberi arahan, untuk kumpulan kanak-kanak tadi.  Mereka hanya mengangguk.  Mereka memang selalu muncul di surau.  Selalunya, usai solat berjemaah, mereka akan mengaji Al-Quran.  Ustaz Dahlan yang mengajar mereka.

“Abang, nah ambil beg abang.  Nanti kita jumpa di surau ya?”

Adri menghulurkan beg Izz yang ditumpangkan di dalam bakul pada basikalnya.  Izz menyambut huluran itu.

“Okey.  Malam nanti kita jumpa di surau ya?”

“Abang, kita kan orang Islam.  Lagi elok kalau kita gunakan perkataan InsyaAllah.  Sebab kalau Allah tak izinkan, sesuatu perkara itu takkan berlaku,” lancar penjelasan keluar daripada mulut Firas.  Izz tersenyum.

“InsyaAllah.  Kalau Allah izinkan, nanti kita jumpa di surau ya.  Haa, nah.  Ini ada sikit bahagian untuk adik-adik.  Terima kasih sebab tolong tunjukkan abang jalan ya,” helaian not berwarna merah dihulurkan kepada kanak-kanak itu.

“Eh, tak apalah abang.  Kami ikhlas nak bantu abang.  Lagipun, kalau bukan kami, siapa lagi yang nak tolong?”

“Tak apa.  Ambillah.  Kata orang, rezeki jangan ditolak.”

Mendengar kata-kata Izz, Fakree mengambil helaian not itu.  Mewakili teman-temannya.

“Terima kasih abang,” serentak mereka mengucapkan terima kasih kepada Izz.  Izz mengangguk, tanda menyahut.

“Tok, kami balik dulu ya.  Assalamualaikum Tok, abang.”

Izz mengekori langkah Tok Ketua menuju ke arah pintu dapur rumah sebaik sahaja kelibat kanak-kanak itu hilang dari pandangan mereka.

+++

IZZ duduk di tangga serambi.  Betul kata ayah, tangga rumah Melaka memang menarik binaannya.  Kata Tok Ketua, sekarang sudah tidak banyak tangga seperti itu.  Maklumlah, umur semakin meningkat, tenaga semakin kurang.  Susah jika rumah terlalu banyak tangga.

Fakree, Adri, Firas dan tiga orang lagi rakan mereka leka bermain di halaman rumah Tok Ketua.  Sebentar tadi Izz menyertai mereka.

“Kamu tak mahu jalan-jalan keliling kampung ni, Izz?”

Nek Tijah menegur Izz yang sedang ralit memerhati pemandangan di sekeliling rumah itu, dulang yang berisi secawan kopi diletakkan di atas tangga.  Di hadapannya terdapat beberapa batang pokok kelapa yang tinggi menggapai langit.  Pelbagai jenis pokok bunga yang hampir menjadi pagar, menceriakan lagi laman itu.  Kelopak-kelopak bunga yang mekar sesekali bergoyang bersama daun-daunnya apabila ditiup angin.  Merah, kuning, oren, merah jambu disatukan pula dengan warna daunnya.  Kombinasi warna yang cukup menarik!

“Petang sikit kut, nek.  Saya jalan dengan budak-budak ni nanti.  Tok tak balik lagi ke, nek?”

“Dah balik.  Ada kat dalam tu.  Solat Zohor.  Tadi tak sempat agaknya.”

Izz memandang ke arah muka jam pada pergelangan kanannya.  Jam 3.45 petang, Asar hampir menjenguk.  Kopi yang dihidang, dihirup perlahan.  Sekejap-sekejap, angin bertiup lembut.  Rambut Izz yang sedikit panjang pada bahagian jambul bergoyang-goyang angkara sang angin.

+++

DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Izz.  Dia terlelap di atas kerusi rotan sebaik sahaja pulang daripada kebun getah.  Sengaja Tok Ketua mengajaknya untuk pergi menoreh bersama.  Biar dia rasa bagaimana kehidupan orang di kampung.

“Hello ...,” serak basah suara Izz menyahut panggilan.

“Hei, tidurlah tu! Izz Rizqin, wake up!”

Suara Datin Faridah lantang menerjah masuk ke ruangan telinga Izz.  Izz berdehem membetulkan suaranya.  Memang pantang ibunya jika dia mahupun adik-adiknya tidur ketika matahari mulai tegak.

“Ehem ... mum.  Sorry mum.  Izz tertidur sekejap tadi.  Tak sengaja.”

Izz memperlahankan suara.  Cukup untuk didengari mereka berdua sahaja.

“Mum hantar kamu ke sana untuk cari jodoh, bukan suruh tidur!  Dah jumpa calonnya?”

Izz menggaru kepala yang tidak gatal.  Mukanya dicemberutkan.  Baru dua hari dia tiba di kampung ini, berjalan di sekeliling kampung pun belum sempat, masakan hendak mencari calon isteri.  Cari isteri bukan macam cari ikan di pasar!

“Izz Rizqin, are you hear me?”

“Yes mum.  Izz dengar.  Nantilah mum.  Izz tak sempat nak keluar rumah lagilah.  Bagi Izz masa lebih sikit ya?”

“Mum dah beri kamu tempoh tiga bulan, kelmarin.  Dua bulan dah berlalu.  Tinggal lebih kurang 30 hari sahaja lagi.  Kalau kamu lambat, kamu pergi cari rumah sendiri.  Mum tak mahu tinggal sebumbung dengan bujang terlajak!”

Izz tergelak mendengar ugutan daripada ibunya itu.  Kedengaran juga tawa halus Datin Faridah di hujung talian.  ‘Mum, memang suka mendesak.  Tapi, mum tetap memahami anak-anaknya,’ hati Izz berbisik.

Talian ditamatkan oleh Datin Faridah.  Izz menatap skrin telefon bimbitnya.  Gambar seorang gadis menghiasi skrin kecil itu.  Izz tersenyum sendiri.  Dulu dia pernah bawa gadis itu pulang untuk bertemu dengan ibu dan ayah.  Tetapi sayangnya, gadis itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas kemewahan keluarga Izz.

+++

“AKU beri amaran pada kau, jauhi tunang aku,” tiba-tiba seorang lelaki memberi amaran pada Izz yang sedang menikmati hidangan tengaharinya.  Izz terkesima.  Namun, dia cuba untuk berlagak tenang.  Dia juga berusaha untuk tidak menegangkan keadaan.

Izz bangkit dari duduknya.  Berdiri di hadapan lelaki yang tubuhnya sedikit sasa berbanding Izz.  Belakang lelaki tersebut kelihatan dua orang lagi yang agak sasa juga.  Izz menghulurkan tangan untuk bersalam.  Lelaki itu terkejut.

“Saya Izz Rizqin.  Ini Saufi, kawan baik saya.”

Izz menghalakan tangannya ke arah Saufi yang tadi duduk bertentangan dengannya.  Lelaki yang berbadan sasa tadi memandang Saufi yang tersenyum mesra.

“Duduk dulu.  Kita bincang elok-elok. Saya sendiri belum kenal saudara, tapi saudara mungkin mengenali saya.  Saudara ni, tunang kepada siapa ya?”

Izz menarik tangan lelaki itu untuk duduk di sebelahnya.  Dua lelaki yang mengiringi tadi hanya berdiri.

“Saya Nazri.  Tunang kepada Herlina,” mendatar suara lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nazri itu.  Izz terpaku.  Antara percaya dengan tidak.  Tidak mungkin Herlina sudah bertunang.  Kata Herlina, cintanya hanya untuk Izz.  Izz menggeleng berkali-kali.  Sukar untuknya menerima apa yang disampaikan oleh Nazri.  Saufi memegang bahunya.

“Beginilah.  Kita bersua enam mata nanti.  Saya nak dengar sendiri daripada mulut Lina.”

Nazri mengangguk setuju.  Dia menghulurkan tangan menyalami Izz dan Saufi.  Begitu juga dua orang lelaki yang tidak diketahui namanya it.  Saufi menepuk bahu Izz perlahan dan berkali-kali.  Dia tahu apa yang bermain di fikiran Izz sekarang.  Dia juga tahu, cinta Izz terhadap Herlina sangat mendalam.  Izz berupaya mengukir senyuman.

“Izz ... Izz ...,” suara Tok Ketua menyedarkan Izz daripada lamunannya.  Dia tersenyum ke arah Tok Ketua.

“Kamu ada masalah ke?”  Izz tersenyum lagi.  Tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Tok Ketua.  Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Mum baru sekejap telefon ...,” kata-katanya terputus di situ.  Tok ketua menepuk bahunya.  Dia mengerti perasaan anak muda ini.

“InsyaAllah.  Kalau jodoh kamu dengan gadis yang ayah kamu maksudkan, kamu akan jumpa dia nanti.”




EDISI PENUH AKAN DI'POST' DI LAMAN PENULISAN2U... TERIMA KASIH ;)


http://www.penulisan2u.my/tag/syacha-abdullah/

~Jangan Lupe Komen Ye~

4 comments:

canim said...

pengenalan pun dah best ........cpt2 sambung ....

SyaCha Abdullah said...

TQ canim... sambungannya akan disambung di

http://www.penulisan2u.my/tag/syacha-abdullah/

;)

Anonymous said...

nice intro...cpt2 smbung ea... :)

SyaCha Abdullah said...

thanks Anonymous ;)