Yang Banyak Orang Reach..

Mini Novel: Cinta Di Sebalik Purdah 1





IRIS sibuk menyusun barang-barangnya supaya nampak lebih teratur sebelum dia bercuti.  Cuti selama sebulan, bukan sekejap untuk Iris.  Banyak kerja yang perlu dilangsaikan.  Entah kenapa tiba-tiba sahaja majikannya memberi cuti yang panjang untuknya.  Iris tidak banyak bertanya.  Hanya menurut arahan.

Jarum panjang pada muka jam hampir ke angka 12.  Sementara jarum pendek berada setentang dengan jarum panjang.  Iris menoleh pula ke arah fail-fail yang baru sahaja siap dikemaskini.  Fail-fail itu perlu disusun semula di atas almari supaya mudah untuk orang lain mencarinya nanti.

Pintu bilik pejabatnya dikuak.  Iris menoleh.

“Tak siap lagi ke kerja Kak Iris?” sapa Izzah perlahan.

Iris tersenyum di sebalik purdahnya.  Dia menggeleng.  Langkah Izzah diatur mendekati Iris.

“Cukuplah.  Jom kita balik.  Siap-siapkan barang untuk bercuti.  Kak Iris perlu berehat.  Esok nak drive ke kampung, kan?” kali ini Iris mengangguk sebagai jawapan untuk soalan Izzah.  Tangannya pantas mencapai fail yang perlu disusun tetapi tangan Izzah lebih pantas menghalang perbuatannya.

“Sudah.  Yang ni biar Izzah kemaskan nanti.  Jom balik,” tangan Iris ditarik.  Iris akur.

+++

IRIS dan Izzah melangkah beriringan ke kereta.  Izzah sengaja tidak mahu tinggal bersama orang tuanya.  Cuma hujung minggu sahaja dia pulang untuk menjenguk mereka.  Izzah lebih senang menyewa bersama Iris.  Selain untuk menemani gadis itu, Izzah juga berhajat untuk belajar berdikari.  Iyalah, sejak dia dilahirkan sehinggalah usianya menginjak ke angka 20 dia tidak pernah berpisah dengan kedua-dua ibu dan ayahnya.  Sejak Iris mula bekerja di syarikat mereka, barulah Izzah mula belajar untuk berpisah dengan keluarga.

Alat pengera kereta ditekan.  Bunyi dua kali menandakan pintu kereta sudah boleh dibuka.  Iris meneroboskan dirinya ke dalam perut kereta sebaik dilihat tubuh Izzah ditelan oleh kereta.

“Kak Iris cadang nak balik esok pukul berapa?”

“Mungkin tengahari sedikit.  Kak Iris bimbang jalan jammed nanti.  Tengahari mungkin jalan lengang sedikit.”

Izzah mengangguk.  Puas mendengar jawapan Iris.  Pemanduan dimulakan setelah lafaz Basmalah meniti di bibir.

“Beg pakaian dah siap ke?”

“Beg memang dah siap.  Pakaian je belum dimasukkan,” seloroh Iris.  Izzah tersengih.  Pandai juga Iris menggonjaknya.  ‘Diam-diam ubi berisi!’.

“Tadi tengahari mum call Izzah.  Mum ajak dinner di rumah malam ni.  Kak Iris okey ke?”

Iris memegang perutnya sambil menoleh ke arah Izzah.  Dia mengenyitkan sebelah matanya.  Gelagat Iris kali ini membuatkan Izzah pecah tawa.

“Kita tidur di rumah mum sekali lah ya?  After dinner dah tentu mum and dad nak ajak borak.  Takkan nak balik lewat malam?”

“Okey.  Balik nanti terus siap-siap mandi dan solat Maghrib.  Kak Iris pack barang sikit. Then kita pergi rumah Dato’ dan Datin ya?”

Izzah mengangguk mendengar cadangan Iris.  Dia kembali fokus terhadap pemanduannya.

+++

SETENGAH jam menempuh perjalanan membuatkan Izzah sedikit lelah.  Ini juga salah satu sebab mengapa dia mahu tinggal bersama Iris.  Jarak antara rumah sewa yang kini mereka duduki bersama tidaklah begitu jauh daripada pejabat mereka.  Sekiranya sesak seperti hari ini, perjalanan mereka cuma memakan masa setengah jam.

Izzah membaringkan diri di atas sofa.  Matanya mencari arah jam yang terletak di atas televisyen.  6.45 petang.  Maghrib akan menjelang jam 7.15 malam nanti.  Kelopak mata Izzah dirapatkan.  Fikirannya menerawang entah ke mana.

Iris tanpa lengah melangkah ke biliknya di tingkat atas.  Barang-barang perlu disiapkan sebelum azan Maghrib kedengaran.  Dirinya juga perlu untuk dikemaskan.  Walaupun sudah biasa menerima jemputan daripada Dato’ Rahimi dan Datin Faridah, namun penampilannya tetap perlu dijaga.  Sungguhpun berpurdah, bukan alasan untuk Iris tidak menjaga penampilannya.

Iris bersyukur kerana jalannya untuk mendapatkan pekerjaan sangat mudah.  Pernah suatu ketika, masyarakat dikejutkan dengan isu berkaitan pemakaian purdah apabila kerajaan Perancis mengharamkan pemakaiannya.  Iris adalah orang yang paling bimbang jika dia tidak berjaya mendapatkan kerja hanya kerana isu yang dibangkitkan itu.  Namun Iris tetap yakin, rezeki Allah sangat luas dan berada di mana sahaja.

1 comment:

Anonymous said...

Hmm, suka dengan semangat yang ada pada Iris. Tetap berpurdah walaupon selepas insiden dekat negara tuh :)