“ASSALAMUALAIKUM. Tok, Nek.
Assalamualaikum,” salam yang Adri
hulurkan tiada sahutan. Adri menguatkan
lagi suaranya.
“Assalamualaikum. Tok, nek.”
“Waalaikumussalam. Tok kat belakang ni. Mari sini,” suara Tok Ketua kedengaran dari
arah pangkin belakang rumah. Adri
menjengah untuk mencari kelibat orang tua itu.
Fakree
dan Firas mengatur langkah sebaik sahaja mendapat isyarat daripada Adri. Izz mengekori tiga kanak-kanak itu.
“Assalamualaikum
tok, nek.” Fakree menyapa sebaik sahaja kelibat dua orang tua itu jelas di
matanya. Tok Ketua dan isterinya Nek
Tijah sedang menikmati minum petang di pangkin itu. Hanya mereka berdua.
“Waalaikumussalam. Haa, kamu Fakree, Firas. Adri pun ada?”
“Aah
tok. Kami datang sebab nak tunjukkan
abang ni rumah tok.”
“Saya
Izz. Anak kepada Rahimi. Datang dari Kuala Lumpur,” tangan Izz
dihulurkan untuk menyalami Tok Ketua.
Senyum manisnya dihadiahkan buat Nek Tijah yang sedang menelitinya
sambil tangan ligat menyusun cawan bekas minum petangnya bersama Tok Ketua tadi.
“Oh,
anak Dato’ Rahimi rupanya. Dari siang
tadi tok dah menunggu kamu.”
“Saya
naik bas lambat tadi, tok. Jam 4 petang
baru bas bertolak. Jalan pula jammed di Seremban tadi. Sebab tu lambat sampai,” terang Izz tanpa
dipinta.
“Tak
apalah. Dah sampai pun kamu,” bahu Izz
disentuh perlahan. “Jah, anak muda ni
datang bawa hajat besar.” Tok Ketua menyambung kata-katanya sambil menoleh ke
arah isterinya. Nek Tijah tersenyum-senyum. Wajah Izz mula merona kemerahan menahan malu.
“Eloklah
tu. Haa, maghrib dah dekat ni. Kamu masuk mandi dulu, nek siapkan bilik
tidur untuk kamu. Lepas mandi nanti
pergi ikut tok ke surau. Biar tok
kenalkan kamu dengan orang-orang kampung.”
Izz
mengangguk mendengar arahan Nek Tijah yang terus menghilangkan diri ke dalam
rumah.
“Kamu
bertiga pun pergi balik dulu. Bersihkan
badan tu. Maghrib nanti jangan lupa ke
surau pula. Ramaikan jemaah,” giliran
Tok Ketua pula mengeluarkan arahan. Kali
ini untuk Fakree, Adri dan Firas yang sejak tadi mematungkan diri.
“Baik
tok. Kami balik dulu ya. Abang, kita jumpa di surau nanti ya?”
“Ya. Kita jumpa di surau nanti.”
“Abang,
kitakan orang Islam. Lagi elok kalau
kita cakap Insyaallah kalau hendak berjanji.
Mak Firas kata, sesuatu perkara itu takkan berlaku jika Allah tidak
izinkan,” lancar pertuturan Firas. Langsung tidak melambangkan umur sebenarnya.
Izz
tersenyum. Dia teruja bertemu dengan
kanak-kanak seperti Firas yang mengingatkannya kepada anak Saufi yang dua orang
itu. Kedua-duanya cerdik dan petah
berbicara. Yang satu baru menginjak ke
usia tiga bulan.
“Insyaallah. Nanti kita jumpa di surau untuk solat
berjemaah di masjid ya?” tiga kanak-kanak itu mengangguk. Tok Ketua senang hati. Kanak-kanak itu memang mudah mesra dengan
tetamu di kampung ini.
“Nah. Ini ada sedikit bahagian untuk kamu bertiga
sebab tolong abang.” Izz menghulurkan beberapa keping not berwarna merah. Fakree, Adri dan Firas terpinga-pinga. Terlalu banyak untuk mereka terima.
“Tak
apalah, bang. Kami bantu abang
ikhlas. Lagipun, kami memang dalam
perjalanan nak balik rumah tadi. Rumah
kami dekat sana. Memang lalu depan rumah
Tok Ketua ni.” Jari Fakree luncus menunjukkan arah rumah mereka yang entah di
mana. Izz tersenyum lagi.
“Kata
orang, rezeki jangan ditolak. Nah
ambil. Nanti kamu bahagi-bahagikan ya?”
Fakree mengambil helaian not itu mewakili Firas dan Adri.
“Terima
kasih, abang.” Mereka bertiga bersuara serentak. Izz hanya mengangguk tanda menjawab ucapan
itu.
“Kami
balik dulu ya tok, abang. Jumpa di surau
nanti ya. Assalamualaikum.”
Fakree,
Adri dan Firas mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Basikal yang ditinggalkan di serambi sebentar
tadi dicapai dan kayuhan dimulakan.
+++
SURAU
Kampung Cendana agak padat. Kecil
sahaja. Izz memerhati sekeliling surau
itu. Pasu-pasu bunga yang dicat dengan
pelbagai warna menceriakan. Papan info
yang tergantung di dinding sudah mereput.
Mungkin terkena tempias hujan.
Sementara
menunggu waktu Isya’, jemaah disitu mengambil naskah-naskah Al-Quran yang
teratur di atas rak untuk dibaca. Ada
juga yang jemarinya ligat menggerakkan butir-butir pada benang tasbih sambil
mulutnya terkumat-kamit.
Di
luar surau, sekumpulan kanak-kanak termasuk Fakree, Adri dan Firas sedang
mengaji bersama Ustaz Dahlan. Kata Tok
Ketua, Ustaz Dahlan baru sahaja menamatkan pengajiannya di Al-Azhar dalam
bidang Qiraat. Tidak pelik jika
bacaannya penuh tartil dan berlagu.
Izz
menyandarkan tubuhnya di dinding surau.
Lelah pada badannya sudah mula pergi.
Mujur jalannya dipermudahkan.
Langsung tidak susah untuk dia mencari tempat ini. Azan Isya’ berkumandang. Izz hanya duduk di tempat dia menyandar
sebentar tadi. Langsung tidak bergerak
atau berganjak.
“Abang
tak solat sekali ke?”
“Abang
dah jama’ dengan maghrib tadi, dik.” Izz menjawab sambil senyumnya terukir. Kanak-kanak lingkungan lima tahun itu
mengangguk. Dia berlari-lari anak untuk
turut berjemaah.

2 comments:
kalau nak bentuk buluh biar dri rebungnya .. budak kecil kalau disuap dngan agama, InsyaAllah dah besar dia tak akan teraba-raba mencari cahaya... :) Nice cha! next...
;) kak Rin ;)
Post a Comment