Yang Banyak Orang Reach..

Mini Novel: Cinta Di Sebalik Purdah 7



“ASSALAMUALAIKUM.  Tok, Nek.  Assalamualaikum,”  salam yang Adri hulurkan tiada sahutan.  Adri menguatkan lagi suaranya.

“Assalamualaikum.  Tok, nek.”

“Waalaikumussalam.  Tok kat belakang ni.  Mari sini,” suara Tok Ketua kedengaran dari arah pangkin belakang rumah.  Adri menjengah untuk mencari kelibat orang tua itu.

Fakree dan Firas mengatur langkah sebaik sahaja mendapat isyarat daripada Adri.  Izz mengekori tiga kanak-kanak itu.

“Assalamualaikum tok, nek.” Fakree menyapa sebaik sahaja kelibat dua orang tua itu jelas di matanya.  Tok Ketua dan isterinya Nek Tijah sedang menikmati minum petang di pangkin itu.  Hanya mereka berdua.

“Waalaikumussalam.  Haa, kamu Fakree, Firas.  Adri pun ada?”

“Aah tok.  Kami datang sebab nak tunjukkan abang ni rumah tok.”

“Saya Izz.  Anak kepada Rahimi.  Datang dari Kuala Lumpur,” tangan Izz dihulurkan untuk menyalami Tok Ketua.  Senyum manisnya dihadiahkan buat Nek Tijah yang sedang menelitinya sambil tangan ligat menyusun cawan bekas minum petangnya bersama Tok Ketua tadi.

“Oh, anak Dato’ Rahimi rupanya.  Dari siang tadi tok dah menunggu kamu.”

“Saya naik bas lambat tadi, tok.  Jam 4 petang baru bas bertolak.  Jalan pula jammed di Seremban tadi.  Sebab tu lambat sampai,” terang Izz tanpa dipinta.

“Tak apalah.  Dah sampai pun kamu,” bahu Izz disentuh perlahan.  “Jah, anak muda ni datang bawa hajat besar.” Tok Ketua menyambung kata-katanya sambil menoleh ke arah isterinya.  Nek Tijah tersenyum-senyum.  Wajah Izz mula merona kemerahan menahan malu.

“Eloklah tu.  Haa, maghrib dah dekat ni.  Kamu masuk mandi dulu, nek siapkan bilik tidur untuk kamu.  Lepas mandi nanti pergi ikut tok ke surau.  Biar tok kenalkan kamu dengan orang-orang kampung.”

Izz mengangguk mendengar arahan Nek Tijah yang terus menghilangkan diri ke dalam rumah.

“Kamu bertiga pun pergi balik dulu.  Bersihkan badan tu.  Maghrib nanti jangan lupa ke surau pula.  Ramaikan jemaah,” giliran Tok Ketua pula mengeluarkan arahan.  Kali ini untuk Fakree, Adri dan Firas yang sejak tadi mematungkan diri.

“Baik tok.  Kami balik dulu ya.  Abang, kita jumpa di surau nanti ya?”

“Ya.  Kita jumpa di surau nanti.”

“Abang, kitakan orang Islam.  Lagi elok kalau kita cakap Insyaallah kalau hendak berjanji.  Mak Firas kata, sesuatu perkara itu takkan berlaku jika Allah tidak izinkan,”  lancar pertuturan Firas.  Langsung tidak melambangkan umur sebenarnya.

Izz tersenyum.  Dia teruja bertemu dengan kanak-kanak seperti Firas yang mengingatkannya kepada anak Saufi yang dua orang itu.  Kedua-duanya cerdik dan petah berbicara.  Yang satu baru menginjak ke usia tiga bulan.

“Insyaallah.  Nanti kita jumpa di surau untuk solat berjemaah di masjid ya?” tiga kanak-kanak itu mengangguk.  Tok Ketua senang hati.  Kanak-kanak itu memang mudah mesra dengan tetamu di kampung ini.

“Nah.  Ini ada sedikit bahagian untuk kamu bertiga sebab tolong abang.” Izz menghulurkan beberapa keping not berwarna merah.  Fakree, Adri dan Firas terpinga-pinga.  Terlalu banyak untuk mereka terima.

“Tak apalah, bang.  Kami bantu abang ikhlas.  Lagipun, kami memang dalam perjalanan nak balik rumah tadi.  Rumah kami dekat sana.  Memang lalu depan rumah Tok Ketua ni.” Jari Fakree luncus menunjukkan arah rumah mereka yang entah di mana.  Izz tersenyum lagi.

“Kata orang, rezeki jangan ditolak.  Nah ambil.  Nanti kamu bahagi-bahagikan ya?” Fakree mengambil helaian not itu mewakili Firas dan Adri.

“Terima kasih, abang.” Mereka bertiga bersuara serentak.  Izz hanya mengangguk tanda menjawab ucapan itu.

“Kami balik dulu ya tok, abang.  Jumpa di surau nanti ya.  Assalamualaikum.”

Fakree, Adri dan Firas mengatur langkah untuk pulang ke rumah.  Basikal yang ditinggalkan di serambi sebentar tadi dicapai dan kayuhan dimulakan.

+++

SURAU Kampung Cendana agak padat.  Kecil sahaja.  Izz memerhati sekeliling surau itu.  Pasu-pasu bunga yang dicat dengan pelbagai warna menceriakan.  Papan info yang tergantung di dinding sudah mereput.  Mungkin terkena tempias hujan.

Sementara menunggu waktu Isya’, jemaah disitu mengambil naskah-naskah Al-Quran yang teratur di atas rak untuk dibaca.  Ada juga yang jemarinya ligat menggerakkan butir-butir pada benang tasbih sambil mulutnya terkumat-kamit.

Di luar surau, sekumpulan kanak-kanak termasuk Fakree, Adri dan Firas sedang mengaji bersama Ustaz Dahlan.  Kata Tok Ketua, Ustaz Dahlan baru sahaja menamatkan pengajiannya di Al-Azhar dalam bidang Qiraat.  Tidak pelik jika bacaannya penuh tartil dan berlagu.

Izz menyandarkan tubuhnya di dinding surau.  Lelah pada badannya sudah mula pergi.  Mujur jalannya dipermudahkan.  Langsung tidak susah untuk dia mencari tempat ini.  Azan Isya’ berkumandang.  Izz hanya duduk di tempat dia menyandar sebentar tadi.  Langsung tidak bergerak atau berganjak.

“Abang tak solat sekali ke?”

“Abang dah jama’ dengan maghrib tadi, dik.” Izz menjawab sambil senyumnya terukir.  Kanak-kanak lingkungan lima tahun itu mengangguk.  Dia berlari-lari anak untuk turut berjemaah.

2 comments:

RinsyaRyc said...

kalau nak bentuk buluh biar dri rebungnya .. budak kecil kalau disuap dngan agama, InsyaAllah dah besar dia tak akan teraba-raba mencari cahaya... :) Nice cha! next...

SyaCha Abdullah said...

;) kak Rin ;)