IZZ
terjaga sebaik terdengar bunyi deringan telefon bimbitnya. Keadaan bilik yang gelap menyukarkan Izz
untuk mencari gajetnya itu. Tangan Izz
terus meraba ke bawah bantal. Selalunya
gajet itu diletakkan di bawah bantal.
Mata
Izz disepetkan sedikit. Silau dek cahaya
gajet itu. Nama yang terpampang di skrin
dibaca. Sebentar kemudian butang
menjawab panggilan ditekan.
“Hello,”
perlahan sahaja suara Izz menjawab panggilan.
“Bro,
tak masuk office ke?” soalan yang
dilontarkan membuatkan Izz spontan memandang ke arah jam yang terletak di atas
meja komputer berdekatan katilnya. Izz
menepuk dahi. Jam 9.15 pagi.
“Bro,
aku tak masuk office la hari ni. Dah lewat ni.
Lagipun petang nanti aku nak gerak ke Melaka. So,
kau anggap macam aku ambil emergency
leave je la ya.”
“Melaka?
Buat apa?”
“Arahan
mandatori daripada Datin Faridah. You know
her, kan?”
Saufi
mengangguk mendengar jawapan daripada Izz.
Kadang-kadang dia sendiri kasihan melihat teman baiknya itu. Masakan tidak, mereka sebaya tetapi Saufi
sudah mempunyai tiga orang anak, sedangkan Izz?
Masih tercari-cari.
Bukan
Izz tidak pernah bercinta. Tetapi sudah
menjadi lumrah apabila bergelar anak orang berada. Kalau tidak si lelaki yang permainkan hati si
perempuan, sebaliknya pasti akan berlaku.
Saufi menggeleng sendiri.
“So, petang ni kau drive sendiri ke?”
“Aku
naik bas, bro.”
Saufi
menampar pipinya. Sakit!
“Aku
tak mimpi, kan?”
“Sungguhlah
ni! Aku naik bas!”
“Okay
then. Petang nanti aku hantar kau ke
sentral. Okay?”
Talian
dimatikan sebaik sahaja janji temu diatur.
Izz bingkas bangun. Beg
pakaiannya masih belum disediakan. Sedang
memunggah pakaian untuk dibawa, pintu bilik Izz diketuk. Cepat Izz membukanya.
“Mum.”
“Tidur?” Izz tersengih dengan agakan ibunya. Datin Faridah mencubit pipi anak lelaki
tunggalnya itu.
“Mum
dah pesan, kan?”
“Sorry mum. Izz tak sengaja. Tak tahu kenapa letih sangat lepas solat
subuh tadi.”
Datin
Faridah menggeleng. Ada sahaja alasan
yang Izz berikan.
“Ini
sahaja baju yang kamu nak bawa?” Izz mengangguk.
“Mum
nak suruh Izz tinggal sana berapa lama?”
Izz menduga. Melihat ibunya
tersenyum, dia ketawa.
“Mum
tolong lipatkan baju-baju ni sekejap boleh?
Izz nak mandi kejap,” mata Izz
dikenyitkan sebelah. Datin Faridah yang
sememangnya sedang melipat pakaian anak bujangnya itu menjuirkan bibir. Izz mengucup pipi wanita itu lantas mencapai
tuala dan menghilangkan diri ke bilik air.
+++
SEAWAL
jam 9 lagi Iris dan Mak Temah sudah berada di klinik. Hari ini Mak Temah perlu berjumpa dengan
doktor. Sejak kebelakangan ini tekanan
darah Mak Temah melebihi paras normal.
Bermula sejak Mak Temah jatuh demam kelmarin. Ini janji temu ketiga untuk Mak Temah.
Klinik
pagi itu tidak ramai orang. Namun,
kerana pengurusan yang tidak secergas biasa membuatkan ramai pesakit
tertunggu-tunggu.
“Lambat
pula nama mak dipanggil hari ni. Kesian
Iris. Tentu kamu penat memandu dari
jauh,” riak wajah Mak Temah mula berubah.
Seperti kesal kerana menyusahkan gadis itu.
“Tak
apa mak. Iris tak penat pun. Malam tadi Iris dah tidur awal. Mak jangan risau ya.”
Iris
menyentuh bahu Mak Temah, lembut. Mak
Temah kembali senyum mendengar hujah Iris.
Bimbang benar jika dia telah menyusahkan gadis itu.
+++
“Abang
nak Acu bagi hint tak?” Izzah menyoal
abangnya menerusi telefon. Hari ini dia
memandu sendiri dari rumah Dato’ Rahimi ke tempat kerja. Selalunya Iris ada menemaninya.
“Alah,
tak payahlah Acu. Abang ada power tau, sampai sana nanti, abang
kelip-kelip mata je dengan awek-awek yang lalu, confirm melekat!”
“Aah. Lepas tu jadi macam mak cik seorang tu!
Kerjanya menghabiskan duit abang, menipu abang.
Eii abang, seriklah sikit!”
Izz
tersengih mendengar bebelan adik bongsunya.
Jarak umur antara mereka hanya 5 tahun, dipisahkan oleh Syarliena yang
muda tiga tahun daripada Izz.
“Macam
mak nenek!”
“Acu
remind je. Kalau abang tak mahu dengar, terserah. Acu malas nak campur dah,” hambar.
“Adik
abang merajuk ya?” tiada sahutan. “Iya, iya.
Abang dengar nasihat Acu. Don’t worry ya?”
Izz
mematikan talian sebaik sahaja adiknya meminta izin untuk menyiapkan
tugas. Dia menyambung kerja-kerja mengemas
pakaian. Datin Faridah sengaja
meninggalkan sedikit tugas untuk anak bujangnya itu. Tidak terlalu memanjakan.
2 comments:
Laa, gap lima tahun. Patot lah comel and manja betol Izzah ni dengan abang dia.
;)
Post a Comment