PENYAPU
lidi pada tangan Fara digenggam erat.
Merah-merah pada tapak tangannya kian jelas. Sebaik sahaja menikmati sarapan yang dihidang
sebentar tadi, dia terus keluar untuk bekerja.
Kerjanya mudah, hanya membersihkan laman rumah penduduk kampung yang memanggilnya. Bermula tengahari, dia akan bekerja sebagai
tukang cuci di Warung Cik Bedah pula.
Ramai
orang kampung cuba melarangnya dari terus bekerja, tapi apakan daya. Nasib keluarganya berubah selepas emak jatuh
sakit. Langsung tidak boleh bekerja. Hendak bersuara juga sudah tidak mampu. Kos rawatan untuk emak sangatlah tinggi. Mereka tidak mampu.
Ayahnya
bekerja sebagai penoreh getah. Itupun di
kebun getah orang. Berapa sangatlah upah
yang ayah dapat. Sebelah petang pula,
ayah akan ke kebun Pak Said untuk kerjakan hasil tanaman. Dari kebun itu, dapatlah RM 250 sebulan. Cukuplah untuk sara makan minum mereka
sekeluarga.
Adik-adik
yang tiga orang, masih bersekolah. Abang
pula kurang upaya. Langsung tidak boleh
membantu. Setiap bulan adalah sedikit
dana untuk orang kurang upaya yang abang terima, cukup-cukup untuk menampung
perbelanjaan abang. Zaman sekarang,
barang sudah mahal. Bantuan yang
diterima memang tidak mencukupi.
Di
awal usia ini, Fara terpaksa membantu ayah untuk menyara hidup
keluarganya. Terpaksa menggunakan tulang
empat keratnya untuk mencari sedikit wang demi menyara keluarga. Ada juga orang kampung yang bantu berikan
beras, garam, gula, dan serba sedikit keperluan makanan, tapi Fara masih
terpaksa bekerja. Dia perlu mencari duit
untuk biaya perubatan emak. Dia tidak
sanggup melihat emak begitu. Jika dahulu
emak yang menjaganya ketika dia sakit, kenapa tidak dia membalas jasa ibunya
itu sekarang? Kenapa dia tergamak untuk
membiarkan ibunya terlantar sendiri tanpa mendapat rawatan yang sepatutnya.
+++
“MAK
kamu macam mana hari ni, Fara?”
“Macam
tu lah Cik Bedah. Hari-hari
terbaring. Berak kencing pun tak
terurus. Adik-adik sekolah. Ayah menoreh.
Abang Kamil tak pandai nak uruskan.
Kelmarin Fara balik dari mengemas laman Tok Penghulu, berbau satu
rumah. Kesian kat mak.” Fara
tunduk. Air matanya mula bertakung.
“Sabarlah. Allah uji kamu tu. Ada orang lain ujiannya lebih teruk dari kamu
Fara. Ada yang dah tak ada mak, tak ada
ayah, tak ada keluarga. Kamu beruntung
masih ada keluarga.”
Fara
mengangguk. Dia perlu kuat. Dia tidak boleh merasa lelah sekarang. Dia perlu tunjukkan semangatnya untuk
adik-adiknya.
“Habis
tu, kalau dah berak kencing mak kamu tak berurus, kenapa tak pakaikan lampin
je? Kan ke ada lampin untuk orang
dewasa?” Pak Samad mencelah.
“Fara
tengah cari duit untuk beli lampin mak, Pak Samad. Dalam simpanan Fara adalah sikit. Mahal benda tu Pak Samad. Kami sekeluarga ni pun, Alhamdulillah dapat
makan dan masih mampu bertahan je, Pak Samad.
Sebolehnya kami dulukan mana yang penting dulu.”
Fara
tenung wajah Pak Samad dan Cik Bedah silih berganti.
“Ayie
tu, tahun ni nak SPM. Kadang-kadang Fara
kesian kat dia sebab kena pinjam buku-buku Fara yang lama. Sedangkan, kawan-kawan dia semuanya dapat
buku baru. Ada latihan yang baru. Format peperiksaan sekarang dah berubah. Tak sama macam masa Fara periksa dulu. Alat tulis adik-adik pun Fara tak mampu nak
belikan. Mereka guna alat tulis Fara
je. Mujur masih elok untuk digunakan.”
“Tak
apalah, nak. InsyaAllah ada rezeki kat
tempat lain nanti. Kamu ni, tak fikir
nak sambung belajar ke? Pak Samad
dengar, keputusan kamu baik.”
“Fara
tak fikir lagi Pak Samad. Lagipun,
tarikh permohonan dah ditutup. Fara tak
sempat nak mohon. Sibuk tolong ayah
uruskan mak, abang dan adik-adik. Ayah
seorang, mana larat.”
Pak
Samad terdiam. Sayang. Fara pelajar cemerlang di sekolah. Dengan keputusan yang baik, dia layak untuk
menyambung pelajarannya di luar negeri.
Pak Samad menggeleng berkali-kali.
Dia hanya mampu berdoa supaya gadis di hadapannya ini tabah menempuh
dugaan yang Allah turunkan.
Cik
Bedah sudah lama bangun. Dia tidak
sanggup mendengar luahan hati Fara. Dia
terbayang bagaimana agaknya keadaan anak-anaknya jika mereka di tempat Fara
sekarang. Mereka bukanlah setabah Fara.
+++
JAM
12 tengahari, anak-anak muda di kampung sudah mula mengunjungi warung. Mereka jarang hendak pulang ke rumah untuk
menikmati hidangan tengahari kerana kesuntukan masa untuk pulang ke tempat
kerja dan pusat pengajian masing-masing. Tangan Fara diligatkan supaya tidak
ada rungutan daripada pekerja lain mengatakan tidak cukup pinggan.
Sabun
pencuci pinggan mangkuk dicurah seanggaran dengan isipadu air yang berada di
dalam takungan. Pinggan-pinggan yang sudah
digunakan diletakkan di dalam takungan oleh pekerja lain. Tugas Fara hanyalah mencuci dan membilas
pinggan-pinggan tersebut dan gaji yang diterima ialah RM150 sebulan. Padanya, gaji itu tidak berbaloi dengan
tugasnya yang sedikit. Pernah dia meminta
ruang daripada Cik Bedah untuk bekerja lebih, tetapi dilarang.
“Fara,
Cik Bedah panggil awak. Katanya awak dah
boleh balik. Tapi dia nak jumpa awak
sebelum balik.” Thiya menyampaikan
pesan.
“Tapi,
biarlah saya habiskan kerja saya ni.
Tinggal sikit je lagi ni.”
“Kalau
awak teruskan, saya nak buat kerja apa?”
Thiya bertanya dalam nada seloroh.
Fara tersenyum. Thiya memang baik
orangnya. Dia anak saudara kepada Cik
Bedah. Fara mengangguk akhirnya. Dia menerima arahan dengan hati yang terbuka.
+++
“CIK
BEDAH, Fara nak balik dah. Thiya
gantikan Fara untuk cuci pinggan.” Fara
bersuara. Jarak antara dia dan Cik Bedah
tidak jauh. Cik Bedah yang sedang
menerima bayaran daripada pelanggan tersenyum.
“Nah,
ambil lauk ni untuk makan tengahari! Balik
nanti tentu kamu penat, tak larat nak masak.
Nak menguruskan mak kamu lagi.
Nasi kamu pergi ambil di dapur ye.
Cik Bedah ada asingkan sikit untuk kamu tadi.”
“Eh
...,”
“Dah,
jangan cakap banyak. Ambil je.”
“Tapi
dah selalu sangat Cik Bedah bagi lauk kat kami.”
“Fara,
kita ni hidup berjiran. Adab berjiran
yang Nabi ajar, antaranya, jangan membiarkan jiran dalam kelaparan sedangkan
perut kita penuh sesak diisi dengan lauk yang sedap-sedap. Ambil ya, nak.”
“Nanti
Fara dah ada duit, Fara bayar semula ya, Cik?”
“Tak
apa, nak. Kamu dah macam anak Cik Bedah
dah. Kita sekeluarga. Lagipun kamu bukan orang lain. Pada Cik Bedah, jiran-jiran Cik Bedah adalah
saudara mara Cik Bedah. Ambil je. Cik Bedah tak kira pun.” Fara mengangguk. Dia merangkul tubuh tua Cik Bedah.
“Terima
kasih Cik Bedah. Fara terhutang budi
dengan Cik Bedah. Cik Bedah dah banyak
tolong Fara sekeluarga.”
Cik
Bedah meleraikan pelukan Fara. Dia
menatap anak mata Fara yang berair. Dia
tahu apa yang anak ini rasakan saat ini. Hidupnya tidak semudah remaja seusianya. Dia sepatutnya meneruskan pelajarannya untuk
merubah masa depan keluarga.
“Nah,
ni gaji kamu! Buat belanja keluarga
kamu. Kalau tak cukup beritahu Cik Bedah
ya.”
“Eh,
banyak sangat ni Cik Bedah.” Fara
terkejut melihat not RM50 sebanyak sepuluh keping yang berada pada tangannya
sekarang.
“Buat
belanja keluarga. Beli keperluan mak
kamu. Barang-barang dapur nanti beli
sikit. Lagipun, duit ni bukan daripada
Cik Bedah seorang. Ada juga orang
kampung yang beri sikit. Mereka minta
Cik Bedah sampaikan pada kamu.”
“Ya
Allah, murah rezeki semua hendaknya.”
“InsyaAllah,
nak. Dah, pergi balik ya. Mak dan abang kamu mesti dah lapar. Ayah kamu pun mesti dah balik dari menoreh. Jalan elok-elok. Kalau ada masalah, jangan segan-segan jumpa
Cik Bedah. Kalau Cik Bedah mampu, Cik
Bedah cuba bantu.”
“Terima
kasih Cik Bedah.”
Fara
memasukkan tangannya yang masih lagi menggenggam wang sebanyak RM 500 itu ke
poket seluar. Dia tidak mahu kehilangan
duit itu walau sehelai pun. Sepanjang
perjalanannya, dia hanya berdoa supaya Allah melindungi dirinya daripada
sebarang bencana.
