AZAN Subuh berkumandang jelas di pendengarannya. Entah siapa yang membiarkan radio terpasang
sepanjang malam agaknya. Rasanya sampai
radio hilang siaran pun masih tidak dimatikan.
Dia menarik bantal untuk menutup muka sekaligus
menghalang suara bilal yang melaungkan azan untuk terus menerjah ke ruangan
telinga. Gebar1 yang sedikit
tebal turut ditarik. Langsung tidak
nampak sekujur tubuhnya yang kini tersembunyi di bawah gebar berwarna biru laut
itu. Lenanya diteruskan. Tiada lagi gangguan bunyi yang bermain di
gegendang telinganya.
+++
“HAA, baru nak bangun? Apasal tak bangun pagi esok je?
Tak pun tak payah bangun langsung, kan lagi bagus!” Sameer bersuara perlahan
tetapi sinis. Langsung menusuk ke
gegendang telinga Syafiq yang baru sahaja hendak duduk di meja makan.
Roti yang baru sahaja dipegang, dicampak ke arah muka
Sameer. Habis lebur2 baju
Sameer dek minyak yang melekat pada roti bersalut telur itu.
“Kau ni kan, kalau sehari tak cari masalah dengan aku tak
boleh, kan?”
“Kurang ajar punya budak!” Sameer bangun dari duduknya,
niatnya hendak mendekati Syafiq yang sedang berdiri di antara ibu dan bapa
mereka namun pantas Shameena menarik lengan abangnya itu.
“Apa hal? Marilah sini!
Kau ingat aku takut dengan kau?
Sejentik pun aku tak takut lah wei!”
Syafiq memprovok abangnya. Dia
nampak tangan Shameena menggengam tangan Sameer. Mahu sahaja Shameena melepaskan tangan
abangnya untuk melihat apa tindakan Sameer.
Tetapi dia lebih memikirkan hati kedua-dua orang tua mereka.
“Fiq! Sudahlah!
Kauorang ni, tak reti nak hormat kat papa dan mama ke? Ni depan makanan ni pun kauorang nak
bergaduh. Esok lusa, makanan pun tak nak
dekat dengan kauorang, sebab kauorang tak hormat pada mereka! Perangai masing-masing macam
budak-budak!” Shameena bangkit meluahkan
marahnya. Syafiq memang dah melampau! Sameer duduk semula di sebelah Shameena.
Puan Sri Saihah menjeling ke arah Syafiq yang masih berdiri
di sebelahnya. Tan Sri Muhyiddin turut
menjeling. Syafiq memandang wajah serius
kedua-dua ibu bapanya. Dia alah! Dia merenung tepat kepada dua bebola mata
milik Sameer. Sameer tersenyum sinis. Dasar tidak tahu hormat orang tua! Telah hati Sameer sendiri. Dia terlupa yang pergaduhan sebentar tadi
berpunca daripada dirinya sendiri.
+++
SARAPAN pagi dijamah tanpa Syafiq di sebelah ibunya. Memang selalu begitu. Syafiq bangun lewat dan selalunya, sebaik dia
menjengah ke meja makan, Sameer akan memulakan provokasi terhadapnya. Sumbu kemarahannya dengan cepat telah
menyalakan api dan dibiarkan api tersebut marak dalam hatinya.
Syafiq termenung sendiri di dalam biliknya. Sejak dia tiba di Malaysia, langsung dia
tidak nampak kasih sayang daripada adik-beradiknya. Terutama sekali Sameer.
Kadang-kadang dia terfikir, siapa dia sebenarnya dalam
keluarga ini? Ada juga dia terfikir
untuk meminta kedua-dua ibu bapanya supaya menjalani ujian DNA. Manalah tahu dia hanya anak angkat dalam
keluarga ini. Sebab itu dia
dipinggirkan. Sebab itu juga dia
ditinggalkan di Ohio bersama Aunty Zehra sedang dua abang dan kakaknya dibawa
pulang ke Malaysia. Syafiq mengeluh.
+++
SAMEER bangun.
Baju yang sudah lebur perlu direndam secepat mungkin. Marah betul dia melihat baju yang diberikan
oleh Lydia sempena hari konvokesyennya sudah dikotori. Apa kata Lydia agaknya nanti? Pasti sepupu mereka itu akan berasa kecil
hati kerana Sameer tidak menjaga pemberiannya dengan elok.
“Papa, hari ni Meer drive
sendiri. Meer lewat sikit ya. Nak cuci baju ni dulu.” Tan Sri Muhyiddin mengangguk perlahan.
“Jangan lewat sangat pula. Jam 11 nanti ada mesyuarat dengan Lembaga
Pengarah. Meer kena masuk sekali.” Giliran Sameer pula mengangguk. Dia tahu bapanya hendak mendedahkan kepadanya
situasi sebenar dalam menerajui syarikat.
“Abang Meer hantar Meen nanti, boleh kan? Kelas Meen pukul 10.” Shameena tiba-tiba mencelah. Jalan ke Muhdas Holdings dan kolejnya adalah
sehala.
“Meen habis kelas nanti pukul berapa? Kalau tak drive
sendiri macam mana nak balik nanti?”
Sameer sedikit khuatir. Bimbang
tidak dapat menjemput adiknya nanti.
Shameena satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Dia bertanggungjawab jika berlaku sebarang
perkara terhadap gadis itu.
“Meen nak keluar dengan Lydia lepas kelas nanti. Nanti Meen minta Lydia hantarkan ya?”
‘Lydia?’ Sameer
terpempan. Baru sahaja dia terfikir
tentang Lydia dan baju yang diberikannya ini!
“Meen!”
“What?”
“Tolong jangan beritahu Lydia pasal baju ni. Please!” Sameer merayu. Shameena mengenyitkan sebelah matanya. Dia tahu abangnya memang tidak suka jika
sepupu mereka itu bersedih. Bukan sahaja
hati Lydia yang dijaga, tetapi hati seluruh keluarganya. Dia tidak akan menyakiti sesiapa tanpa sebab.
“Orait! Tapi abang kena belanja Meen nanti! Set?”
“Demi Lydia, abang tak kisah apa pun.”
“Orait,
Manhatten. Tonight!” Kedua-dua ibu bapa mereka tersenyum melihat gelagat manja
Shameena. Sameer pula mengenyitkan mata
kanannya tanda setuju. dia kemudiannya
melangkah ke arah bilik yang terletak di tingkat paling atas rumah mereka. Kata Puan Sri Saihah ketika menetapkan bilik
itu untuk Sameer beberapa tahun lalu, “Meer kan nak study, kena duduk tempat yang tinggi. Tenang je.
Tak bising sangat nanti,”. Sameer
mendengar sahaja tanpa menjawab apa-apa.
Dia langsung tidak kisah dimana pun dia ditempatkan. Belajar tetap belajar!
+++
“ABANG, malam ni nak ajak Lydia sekali ke?” Shameena memulakan bicara. Bosan bila berdua bersama abangnya di dalam
kereta. Kalau bukan suara mereka, pasti
tidak ada bunyi lain yang memecah sunyi.
“Nanti kalau dia tanya pasal apa abang belanja, nak jawab
apa?” kening dijungkit sedikit.
“Cakaplah abang baik hati nak belanja. Lagipun, abang kan dah lama tak jumpa dengan
Lydia. Jadi, alang-alang dia nak datang jumpa
Meen ni, kita keluarlah sekali. Boleh?”
“Pandailah adik abang!”
Sameer mengusap kepala adiknya yang bertudung. Shameena ketawa dengan telatah abangnya. Macam mana orang tak kata aku manja, dah
abang aku pun manjakan aku!
“Nanti Meen cakap kat Lydia tau. Abang jangan tak jadi pula! Meen jentik hidung abang nanti. Kasi berlubang lagi satu. Baru padan muka!” Sameer mengangguk. Adiknya memang suka menjentik hidung pada
wajahnya. Kata Shameena, “Hidung abang
mancung sangat! Macam hidung papa. Meen jealous!”
Sebaik Shameena keluar daripada perut kereta, Sameer
memulakan pemanduannya. Jam pada dashboard sudah menunjukkan masa 9.30
pagi. Dia perlu cepat sampai ke pejabat.
+++
KOMPUTER riba yang terpasang di hadapannya bagai tidak
menyala. Sedikit pun tidak dicuit. Dia masih memikirkan tentang status dirinya
hingga tercetusnya pergaduhan pagi tadi.
Bukan sahaja pagi tadi, tetapi setiap kali dia bertembung wajah dengan
lelaki itu. Lelaki itu bukan orang lain
padanya, Sameer, abangnya juga!
Kadang-kadang dia tidak tahu apa sebab lelaki itu
membencinya. Entah apa salah yang telah
dia lakukan agaknya hingga dia dibenci.
Kakaknya, Shameena, selalu sahaja membela abangnya. Kenapa?
Mungkinkah sebab dia tidak mengenali hati budi dua beradik itu? Atau Sameer dan Shameena sendiri tidak mahu
mengenali hati budinya.
Argh!
Syafiq melemparkan bantal-bantal yang bersusun di atas
katilnya ke lantai. Bilik yang beberapa
saat lalu kemas rapi, kini sudah bersepah.
Lampu tidur yang terletak disisi meja juga jatuh ke bawah. Habis sumpik bibir penutup lampu itu.
Nota Kaki:
1 - Selimut
2 - Kotor yang teruk

No comments:
Post a Comment