IRIS
memerhati gelagat adik-adiknya dari dalam kereta. Janji untuk meluangkan masa bersama perlu
ditepati. Dari dalam kereta juga Iris
nampak Mak Temah terkocoh-kocoh menyarung selipar buruknya. Sudah berapa tahun agaknya Mak Temah tidak
menggantikan selipar itu.
“Mak
cepatlah, mak. Kak Iris dah tunggu lama
tu,” suara Ibtihal menambahkan lagi kekalutan
emaknya.
“Mana
selipar mak yang sebelah lagi? Alahai, time-time ni lah nak hilang. Time
aku tak nak pakai, berjoget-joget kau kat sini ya selipar?” Mak Temah membebel sendiri. Anak-anaknya sudah gelak sakan. Iris tersenyum. Suara Mak Temah yang kuat membenarkan
telinganya menangkap sedikit apa yang dibisingkan.
“Mak,
selipar mak kat sana tu ha. Haish, jauh naw perginya. Nanti Adik ambilkan.” Ibtihaj berlari mendapatkan selipar biru Mak
Temah.
“Macam
mana agaknya boleh pergi sana?”
“Rambo
Tok Dalang agaknya yang bawa ke sana tak mak?”
Ibtihaj ketawa dengan kenyataannya sendiri.
“Rambo?
Tok Dalang mana pula?”
“Tok
Dalang dalam cerita Upin Ipin tu,” usikan Ibtihaj memecah tawa emak, abang dan
kakaknya.
+++
“Wah,
dah lama tak jenguk tempat ni. Tak
banyak berubah pun ye.” Iris meluahkan
perkara yang terbungkam di benaknya.
Banyak kenangan dia bersama arwah ayah di tempat ini.
“Chad
ingat lagi, dulu masa kita kecil-kecil, ayah selalu bawa kita ke sini. Chad dengan Kak Dina masuk berkubang dalam
sungai tu. Kak Iris dengan ayah duduk di
tebing.” Irsyad bersuara mengimbas
kembali peristiwa beberapa tahun dahulu.
“Kadang-kadang
je Kak Iris turun berkubang sekali.”
Irdina menyambung kata-kata Irsyad.
“Ayah
juga pernah cuba nak ajar kita semua berenang.
Tapi kita tak mahu sebab air deras, walhal, kita takut,” giliran Iris
menyambung hujah.
“Air
pun tak laju mana masa tu.” Irsyad menambah
untuk memecah tawa.
“Penakut
rupanya kakak-kakak dan abang kita ni, kan Adik?” Ibtihaj mencuit bahu Ibtihal yang sedang leka
mendengar cerita. Gonjakan Ibtihaj
memecahkan tawa keluarganya. Iris
mengusap kepala Ibtihaj yang bertudung itu.
“Bestkan kampung kita?” Irsyad yang duduk di sebelah Iris memandang
kakaknya. Mahu penjelasan lanjut.
“Mestilah
best! Di kampung, kita boleh tengok
pokok-pokok yang menghijau, ada bunga-bunga yang warna-warni. Ada pokok-pokok
kelapa yang meninggi. Ada sungai. Dan yang paling penting, ada mak!”
Iris memeluk Mak Temah yang baru sahaja melabuhkan
punggungnya di sebelah Iris. Mak Temah
mengusap kepala Iris yang dilentokkan ke bahunya. Petang itu, mereka menghabiskan masa bersama
di sungai itu. Pelbagai kenangan di
singkap semula. Iris bahagia.
+++
MAK
TEMAH merenung Iris yang sedang leka memilih pakaian untuknya. Sepasang
demi sepasang baju kurung Iris capai.
Kemudian ditempatkan semula di tempat asalnya. Mungkin tidak sesuai dengan aku, telah Mak
temah sendiri.
“Tak payahlah beli baju mak sekarang. Duit Iris tu, buat belikan barang untuk
adik-adik je. Lagipun, adik-adik lagi
perlukan duit tu,” setelah lama menyusun ayat, akhirnya, Mak Temah berjaya
menyuarakan rasa hatinya. Bukan tidak
sudi menerima pemberian anaknya. cuma
tidak mahu menyusahkan gadis itu.
Iris tersenyum di sebalik purdahnya. Dari redup matanya, Mak Temah dapat mengagak
Iris sedang tersenyum. Dia membalas
senyuman Iris.
“Mak, adik-adik, ada bahagian lain untuk mereka. Ini bahagian mak. Mak kena ambil juga.”
“Iris ... Iris terlalu baik dengan mak.”
“Emak ... sungguhpun emak hanya ibu tiri kepada
Iris. Tapi, emak tetap emak Iris. Lagipun, Iris dah tak ada ummi, dah tak ada
ayah. Hanya mak tempat Iris menumpang
kasih sekarang,” kata-kata Iris berjaya
mengalirkan air mata Mak Temah yang sejak tadi sudah bergenang. Iris betul-betul mengikut sifat umminya. Baik luaran mahupun dalaman, Iris persis ibu
kandungnya.
Usai membeli pakaian untuk Mak Temah dan
adik-adiknya. Iris membawa mereka untuk
menikmati makan tengahari di sebuah restoran.
Ibtihal dan Ibtihaj yang paling teruja.
Mereka tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana restoran pun.
“Mak Temah!”
Adri menyapa Mak Temah yang sedang berbual dengan
anak-anaknya.
“Eh, Adri. Firas
dan Fakree pun ada?”
“Aah. Ni, Abang
Izz ajak kami jalan-jalan kat sini.
Bosan katanya duduk terperap di rumah,” petah Firas memberi hujah. Izz menghadiahkan senyumnya untuk Mak Temah
sekeluarga. Tangannya dihulurkan kepada
Irsyad, menyalaminya.
Sekejap pandangan mata Izz dilemparkan ke arah setiap
wajah di meja itu. Tiba giliran
memandang Iris, dia cuba mengakses raut wajah gadis itu. Namun gagal.
Pandangan mata mereka bertaut seketika.
Iris menundukkan pandangannya sebaik tersedar akan tingkahnya, juga
tingkah Izz. Izz juga tersedar daripada
perlakuannya itu.
“Kami minta diri dulu ya, Mak Temah,” sekali lagi
tangannya dihulurkan kepada Irsyad.
Kemudian mereka berlalu pergi.

No comments:
Post a Comment