Yang Banyak Orang Reach..

Mini Novel: Cinta Di Sebalik Purdah 12



“AYAH kamu telefon tok, siang tadi.” Topik perbualan yang dimulakan Tok Ketua memancing fokus Izz yang sedang leka merenung ke arah langit malam.  Izz mengalihkan pandangannya ke arah Tok Ketua yang sudah duduk bersandar di serambi.

Izz duduk berdekatan dengan lelaki itu.  Kepulan asap rokok dihembuskan ke udara.  Izz menggeleng perlahan sebaik dia terpandang gulungan rokok daun yang tersepit di antara jari telunjuk dan jari tengah lelaki tua itu.

Izz bangkit untuk menjarakkan diri sedikit.  Antara orang yang merokok dengan orang sekelilingnya, orang sekeliling lebih berpotensi untuk mendapat penyakit-penyakit kronik akibat daripada menghidu asap rokok. 

Dia akhirnya duduk di tangga sambil kakinya dilunjurkan di atas tangga batu itu.  Dia memandang lagi ke arah Tok Ketua dengan rokoknya.  Tiba-tiba dia teringat pula pada beberapa orang stafnya yang juga merupakan perokok tegar.  Izz pelik.  Entah kepuasan apakah yang mereka dapat dengan membakar duit mereka. 

“Ayah kamu bertanya tentang kamu.  Risau nau dia kat kamu.”  Izz tergelak kecil mendengar kata-kata Tok Ketua.  Dad risau tentang Izz?

“Dad tanya pasal apa?  Baru siang tadi mum call saya.  Hari ni dad call tok pula?” soalan Izz mengundang tawa Tok Ketua.  Nek Tijah yang baru sedang berhati-hati meletakkan cawan-cawan berisi air turut ketawa kecil.

+++

JAM menunjukkan tepat 12 malam.  Iris berkira-kira hendak membuka lipatan surat yang dia temui ketika mengemas pakaiannya beberapa hari lepas.  Dia tahu Izzah yang meletakkan surat tersebut di dalam beg Iris.  Kalau bukan Izzah, siapa lagi?  Hanya mereka berdua sahaja yang menyewa bersama.  Tiada orang lain.

Dahi Iris berkerut sedikit.  Pelik melihat cara lipatan surat itu.  Lipatan surat seperti ini pernah Iris terima di zaman sekolah dahulu.  Cara lipatan surat cinta!  Tergelak kecil Iris apabila wajah Izzah melintasi ruang mindanya.  Terbayang akan gelagat Izzah ketika berusaha menghasilkan lipatan itu.  Iris yang mengajar Izzah tentang perkara itu.

Baru sahaja hendak membuka lipatan, tiba-tiba pintu bilik diketuk perlahan.  Iris bangkit.  Dia meletakkan surat itu kembali di atas meja soleknya.  Iris membuka pintu perlahan-lahan.  Tidak mahu engsel yang sudah lama tidak diminyak itu berbunyi.

“Kak, Dina tidur dengan akak ya malam ni?  Dina takut,” suara Irdina sedikit merayu.  Meraih simpati.  Iris tersenyum.  Dia mengangguk berkali-kali sebelum memberi ruang kepada Irdina untuk masuk ke ruang tidur.

“Dina tidur sebelah dinding ya.”

Tanpa membantah, Irdina naik ke atas katil.  Kepala diletakkan diatas bantal dan kelopak matanya mula memberat tetapi mulutnya masih terkumat-kamit membaca sesuatu, perkara yang diamalkan sebelum tidur, membaca surah-surah pendek sebagai pelindung diri.  Iris tersenyum melihat adiknya itu.  Senang benar hendak melelapkan mata.  Iris memadam lampu setelah yakin gadis bertubuh kecil molek itu sudah lena.

+++

AZAN Subuh berkumandang dari Surau Ikhwan.  Irdina terjaga.  Cahaya lampu kalimantang sudah menerangi segenap ruang bilik itu.  Irdina tahu Iris sudah terjaga lebih awal.

Irdina meraup wajahnya dengan dua tapak tangan.  Doa ringkas dibaca supaya hari yang bakal Irdina hadapi akan lebih diberkati oleh-Nya.

Iris masuk ke bilik, hajatnya untuk mengejutkan Irdina yang disangka masih lena.  Irdina menghulurkan senyuman buat kakaknya.

“Adik pergi bersihkan diri dulu, solat.  Lepas tu tolong Kak Iris siapkan sarapan ya?  Kak Iris tunggu di dapur.” Irdina mengangguk lantas bangkit menuju ke biliknya untuk mencapai pakaian.

+++

Irsyad masuk ke dapur.  Dari tadi dia hanya memerhatikan tingkah kakak-kakaknya yang sibuk menyiapkan sarapan sehingga tidak perasan akan kewujudannya di tangga.  Irsyad berdehem untuk memberi isyarat kepada kedua-dua kakaknya.  Bimbang jika dia terus menyapa, mereka akan terkejut dengan suaranya yang garau.

“Ada apa-apa yang boleh Chad bantu?” Irdina menoleh ke arah Iris yang sedang membancuh air.  Iris mengukir senyuman.

“Chad tolong lap sikit meja tu.  Malam tadi Chiki panjat meja ni agaknya, habis tumpah kuah tu akak tengok.  Dah siap nanti tolong panggil mak dan adik-adik ya?” Irsyad menoleh ke arah Chiki, kucing kesayangannya.  Lena Si Chiki tidur.  Penat berjaga malam agaknya.

Irsyad melangkah mengambil kain buruk yang tergantung di tingkap kaca.  Dibasahkan sedikit sebelum mengelap meja.

“Kak Dina tidur kat bilik Kak Iris ya malam tadi?”  Dina mengangguk.

“Kenapa?  Ada apa-apa ke?”

“Entahlah.  Kak Dina tak pastilah sama ada tu perasaan Kak Dina je ke, atau memang betul benda tu berlaku.”

“Ada apa kak?”

“Kak Dina dengar macam ada orang ketuk tingkap bilik Kak Dina.”  Jawapan Dina sedikit memeranjatkan Iris dan Irsyad.  Lan sudah dihantar ke Kuala Lumpur dan sudah bekerja dengan keluarga Izz.  Siapa pula yang buat onar kali ini?


Nau – kata asalnya ialah benar.  Selalu digunakan untuk menunjukkan perkara yang terlalu sangat.  Contoh: Risau nau; Risau sangat.

No comments: