IZZ
naik ke tebing. Bajunya sudah basah
semuanya. Anak-anak kampung itu mencabar
Izz untuk menyertai mereka. Izz tidak
mahu kalah. Dia terjun untuk turut serta
bersama kanak-kanak dan beberapa orang pemuda kampung itu.
“Macam
ni barulah orang kampung!” Adham atau lebih dikenali sebagai Kuyt
berteriak. Izz ketawa
terkekeh-kekeh. Hari ini masuk hari
keempat dia berada di Kampung Cendana tetapi baru kali pertama dia terjun ke
dalam sungai bersama kenalan barunya.
“Steadylah Abang Izz!” Izz membalas isyarat
puas hati daripada anak-anak kampung itu.
Dia mengangkat ibu jarinya.
Tiba-tiba
telefon bimbit Izz berdering. Dia
meneliti nama yang terpapar di skrin.
Baru malam tadi pemanggil itu menghubunginya. Belum 24 jam, pemanggil itu menghubunginya
lagi.
“Assalamualaikum,
mum ....”
“Waalaikumussalam. Macam mana?
Dah jumpa calon menantu mum?” Izz
menggeleng berkali-kali. Wajahnya
berubah serta-merta.
“Nantilah
mum. Izz baru sampai, kan?” suara Izz
sedikit merayu.
“Baru
you kata? Hei, you dah empat hari tinggalkan mum tau!”
“Mum
rindukan Izz ya?”
“Quitelah.”
“Kalau
macam tu, Izz tak payah kahwin dululah.
Sebab kalau Izz kahwin, dah tentu Izz kena pindah rumah baru. Weekend
baru boleh balik rumah mum. Itu pun kena
gilir-gilir dengan rumah parents in-law. Amacam?”
Izz
tersengih dengan gonjakan. Di hujung
talian, Datin Faridah mencemberutkan wajahnya.
Dia berfikir sejenak.
“Hei,
kalau macam tu, bila mum nak timang cucu?”
“Iena
dan Izzah kan ada. Mum suruhlah mereka
kahwin.”
Hampir
15 minit di talian. Izz akhirnya
memutuskannya dan meletakkan semula telefon bimbitnya di atas pondok berdekatan
sungai, tempat dia meninggalkan barang miliknya sebentar tadi. Dia menghampiri ke arah sungai tempat dia
berkubang bersama anak-anak kampung sebelum dia menerima panggilan tadi.
“Abang
Izz ...,” Kuyt tiba-tiba memanggil.
Bibirnya mengisyaratkan sesuatu.
Rakan-rakan yang lain sudah terkekeh-kekeh tawanya. Bunyi siulan kedengaran daripada mulut
mereka. Izz menoleh ke arah yang
ditunjukkan oleh Kuyt dengan isyarat mulut sebentar tadi. Sekumpulan gadis melintasi tempat mereka
berkubang.
“Abang
perasan tak yang depan sekali tu?” Izz mengerutkan dahi. Sekumpulan enam orang gadis yang baru sahaja
melintasi mereka, tiga orang berjalan di hadapan dan tiga lagi di belakang.
“Dik,
yang depan tu ada tiga orang. Yang mana
satu?”
“Yang
baju pink tu.” Fauzi menjawab bagi pihak Kuyt.
Izz mengangguk-angguk. Gadis itu
menyarung T-shirt pink dan seluar track hitam.
Rambutnya kerintingnya dibiarkan terurai. Pada pandangan Izz, langsung tidak kemas!
“Tu
anak Pak Man Telo. Tinggal kat hujung
kampung. Ramai budak kampung ni cuba ngorat dia, tapi tak berjaya. Abang trylah.” Izz menjegilkan matanya. Baru sebentar Izz menilai penampilan gadis
itu. Izz menoleh lagi ke arah sekumpulan
gadis itu dan kali ini fokusnya pada gadis berbaju pink. Entah dari sudut mana yang menjadi kegilaan
pemuda kampung ini terhadap gadis itu, Izz tidak tahu.
+++
AZAN
Asar berkumandang dari Surau Ikhwan. Izz
bergegas melangkahkan kakinya menuju ke surau itu. Sepanjang berada di kampung ini, Izz rajin
berjemaah di surau. Selain mahu beramah
mesra dengan penduduk kampung, Izz juga mahu meluangkan masa dengan
Penciptanya.
Selalunya
selepas solat Subuh dan solat Asar, Izz akan membaca ma’thurat. Jika di Kuala Lumpur, kesibukan kerja
kadangkala menjadi penghalang untuk Izz daripada melakukan aktiviti ini. Cuma sesekali sahaja Izz dapat mencuri masa
untuk melakukannya.
Usai
membaca, Izz duduk bersandar di dinding surau.
Dinding papan yang tampak bersih seperti baru digilap. Esok sudah hari Jumaat. Kebiasaan bagi Izz, setiap hari Jumaat
selepas waktu pejabat, dia akan membawa dua adiknya – Izzah Syarliena dan Izzah
Durrani – keluar berjalan-jalan sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. Tetapi Jumaat kali ini, Jumaat pertama mereka
terpisah jauh.
Izz
menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan telefon bimbit. Dia menatap gambar yang menghiasi skrin kecil
itu. Gambar seorang perempuan yang
pernah Izz cintai sesunguh-sungguhnya.
Izzah cukup marah dengan perempuan itu.
Izz
menggeleng berkali-kali. Dia cuba
menolak wajah perempuan itu daripada terus mencerobohi kotak fikirannya. Tetapi wajah itu lagi kuat menggasak. Izz akhirnya tidak berdaya melawan asakan
itu.
+++
“Izz
... Izz ... .” Izz merasa tubuhnya bagaikan digoyang berkali-kali. Izz mengangkat kelopak matanya perlahan. Cahaya terang memaksa Izz untuk merapatkan
semula kelopak matanya itu.
Sekejap. Dia membuka semula dan
wajah Tok Ketua bersama beberapa orang kampung tempampang di ruangan mata.
“Di
sini rupanya kamu. Puas Tok dengan Nek
Tijah kamu mencari. Ditanyakan pada
Fakree dan budak-budak tu, semua kata tak tahu.” Izz tersengih. Dia tahu dia bersalah kerana telah membuatkan hati tua itu risau.
“Maaf
Tok. Izz tertidur tadi.”
“Haa,
sudah. Bangun, pergi ambil wudhu’, dah
hampir waktu Maghrib ni. Kita berjemaah
terus.”
Izz
bangkit tanpa sebarang bicara. Dia
tersengih kepada penduduk kampung yang mengelilinginya. Kepalanya yang tidak gatal digaru
berkali-kali. Penduduk kampung
menggeleng melihat telatah anak muda ini.

No comments:
Post a Comment