Karya picisan ini ditulis sekadar untuk memperbaiki
kelemahan saya dalam bidang ini. Minta
sebarang teguran jika ada sebarang kesilapan dalam karya ini. Maaf jika jalan ceritanya mengecewakan. Terima kasih.
+++
FATASYA terjaga sebaik terdengar pintu biliknya diketuk
bertalu-talu. Dia bingkas bangun dari
pembaringannya menuju ke suis lampu.
Pintu bilik dikuak sedikit tanda dia sudah bangkit dari tidurnya.
“Haa, bangun, solat Subuh. Dah pukul 6 dah ni. Nanti lewat pula ke sekolah,” suara Puan Saonah menerjah masuk ke ruang
pendengaran anak gadisnya itu. Fatasya
mengangguk lemah.
‘Aduh, asyik-asyik sekolah. Bosan betullah!’
Langkah kaki Fatasya dihalakan ke arah almari baju yang
ditempatkan di sudut bilik, bersebelahan dengan penyangkut tuala. Di situ juga ditempatkan telekung dan sejadah
miliknya. Fatasya merenung ke arah kain
putih bersulam merah itu. Kain sejadah
yang sudah lama tergantung di situ. Huh,
sudah lama aku tidak menyentuhnya.
Fatasya mencapai tualanya lantas menuju ke bilik mandi
yang terletak bersebelahan dengan biliknya di tingkas atas banglo keluarganya
itu. Usai membersihkan diri, Fatasya
masuk semula ke bilik tidurnya. Tempat
tidur sudah dikemaskan oleh Mak Tijah, pembantu di rumah itu.
Pakaian sekolah disarung ke tubuhnya yang kecil
molek. Sedikit bedak disapu ke wajah
supaya tampak segar. Fatasya duduk di birai
katil sementara menunggu suara ibu memanggilnya. Sekali lagi dia merenung ke arah sepasang
kain putih yang elok tersidai pada penyangkutnya. Sebentar kemudian, Fatasya tundukkan wajah.
“Syaaa... Mari turun sarapan,” suara yang dinantikan
akhirnya kedengaran. Fatasya melangkah
longlai. Beg sekolah yang sudah siap
dimasukkan buku itu disandang. Pintu
bilik dirapatkan. Anak tangga dituruni
satu persatu.
+++
“FATASYA..
Fatasya..” tangan dilambai-lambai di hadapan muka Fatasya. Fatasya tersedar dari lamunannya. Muhaini dan Nadhirah, dua teman baik Fatasya
di sekolah.
“Awak tak makan ke?” hanya soalan itu yang keluar
daripada mulut Muhaini.
“Dari tadi saya perhatikan, awak asyik termenung
sahaja. Kenapa Tasya?”
Nadhirah pula menyoal.
Fatasya mengalihkan pandangannya ke arah makanan yang sedikit pun tidak
tercuit. Tangannya mencapai garfu yang
diletakkan ke dalam bekas makanan itu tadi.
“Mana ada. Saya
okey je.”
Fatasya berdalih.
“Tasya, orang lain awak boleh tipu. Tapi tidak pada kami. Kami kenal awak sejak kecil lagi. Awak ada masalah ke?”
Tangan Muhaini mencecah ke bahu Fatasya yang duduk di
sebelahnya. Fatasya menoleh ke arah
Muhaini, sekejap. Dituruti dengan wajah
Nadhirah. Tangannya ligat bermain dengan
tutp bekas makanannya.
Seketika kemudian, deringan loceng menunjukkan masa rehat
telah tamat kedengaran. Fatasya
lega. Pantas dia mengenakan penutup
bekas makan dan memberi isyarat untuk bangun kepada dua teman baiknya itu. Muhaini dan Nadhirah menurut. Mereka bangkit menuju ke kelas.
+++
“KAU dah solat, dik?”
Fidtri menegur Fatasya yang sedang leka menonton
televisyen. Fatasya hanya mengangguk.
“Dari tadi abang tengok kau dekat situ, bila masanya kau
solat?”
“Eh... solat apa? Zohor? Dah lah.”
“Zohor apa lagi, dah masuk Asar dah ni.”
Jari Fidtri tegak menunjukkan ke arah jam di
dinding. Fatasya menyengih. Dia bangun meninggalkan abangnya di ruang
tamu.
“Adik...”
Fatasya menoleh.
“Solat tu, tiang agama.
Siapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agamanya. Tetapi, sesiapa yang meninggalkan solat, sama
seperti dia meruntuhkan agamanya,” suara Fidtri menerpa ke pendengaran
Fatasya. Fatasya menundukkan kepalanya. Dadanya terasa sesak.
‘Oh Tuhan, terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan,’
airmata Fatasya mula mengalir perlahan.
Tanpa dia sedari, tangan abangnya mengusap pipi mulusnya itu. Air mata diseka.
“Allah Maha Pengampun, dik. Kembalilah kepada-Nya,” sekali lagi Fidtri
bersuara. Fatasya mengatur langkah
menuju ke biliknya. Beberapa ketika
kemudian, dia keluar, menuju ke bilik air.
Abangnya yang masih berada di ruangan televisyen, menoleh ke
arahnya. Senyuman manis dihadiahkan
untuknya oleh lelaki itu.
+++
BILIK Fatasya berselerak dengan buku-buku teks setebal
satu inci. Kulit buku yang berwarna
putih itu dihiasi dengan tulisan yang bukan tulisan rumi. Fidtri terkejut melihat keadaan bilik
adiknya. Dia mengambil keputusan untuk menerjah
masuk ke bilik adiknya seteolah ketukannya tidak berjawab.
Fidtri mencari susuk tubuh adiknya. Bilik yang gelap menyukarkan
pencariannya. Namun dia tetap tidak
menyalakan lampu, khuatir adiknya tidak selesa dan akan melakukan sesuatu di
luar batasan.
Bunyi heretan kerusi membantu Fidtri menjejaki
adiknya. Dia mendekati arah itu. Lantai bilik yang agak luas itu kini hampir
dipenuhi dengan buku. Dalam usaha
menghampiri adiknya, Fidtri mengutip buku-buku itu satu persatu dan menyusunnya
di tepi dinding.
“Adik...”
Esak tangis Fatasya mula kedengaran. Fidtri mula bimbang. Dia hampir kaget mendengar tangisan itu. Tangisan penuh masalah.
“Adik... mari
sini, mari dekat abang.”
Fidtri menarik pergelangan tangan adiknya yang berjaya
dicapai. Perlahan. Fatasya akhirnya keluar dari
persembunyiannya. Di celah antara almari
baju dan dinding bilik.
Fidtri membawa adiknya untuk duduk di sofa yang terletak
di hujung katil. Duduk
bersebelahan. Fidtri menarik kepala
adiknya ke bahu. Dia mahu adiknya
merembeskan segala tangisan di bahunya.
Dia mengusap belakang gadis itu.
Tangisan kian reda.
Fatasya mengangkat muka yang disembamkan ke bahu abangnya sebentar
tadi. Dia tundukkan wajah. Fidtri cuba mencari wajah yang cuba
disembunyikan. Lelehan airmata Fatasya disapu.
“Kenapa, dik?”
Fatasya menunjukkan wajahnya, semula.
“Are you okay?”
Anggukan Fatasya meragukan Fidtri.
“Tak apalah. Adik
kemaskan buku-buku ni dulu. Sekejap lagi
dah masuk Maghrib. Kita solat berjemaah
ya? Abang tunggu adik di bilik solat ya?”
Sekali lagi Fatasya mengangguk. Sebaik susuk tubuh abangnya hilang daripada
pandangan, dia bangkit untuk menyusun semula buku-buku yang bertaburan di atas
lantai. Dia terduduk berdekatan dengan
susunan buku yang abangnya tempatkan di tepi dinding sebentar tadi. Dia menangis teresak-esak.
+++
USAI mengimamkan solat, Fidtri menoleh ke arah
adiknya. Fatasya tunduk. Bahu Fatasya disentuh.
“Kalau adik ada masalah, adik bagitahu abang ya? Abang akan cuba tolong. Lagipun, cuma kita dua beradik yang tinggal
di rumah ini. Abang tahu adik lebih
selesa untuk bercerita dengan kak long, tapi, untuk sementara, adik cerita pada
abang ya?”
Fatasya tersenyum.
Dia mengangguk. Ya, dia
seringkali menceritakan masalahnya kepada Farisah, kakak mereka yang sulung. Pada Fatasya, hanya kakak dia sahaja yang
mampu memahaminya.
Fatasya bangkit untuk menyimpan telekung yang sudah
dilipat kemas. Fidtri hanya mengekori
langkah adiknya dengan ekor mata.
Selesai mengemaskan bilik solat, Fatasya meninggalkan abangnya sendiri. Dia menghilangkan diri ke bilik tidurnya yang
berselerak.
Fatasya duduk di birai katil. Air matanya bergenang. Sekejap dia terngiang-ngiang suara guru
kaunseling sekolahnya, “Kalau kita ada masalah, mengadu pada-Nya. Dia yang Maha Memahami keperluan
hamba-Nya. Dia yang menurunkan masalah
kepada kita, dan hanya dia yang ada penyelesaiannya. Dan, ingat, Dia tidak akan menguji hamba-Nya
dengan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hamba-Nya itu.”
‘Ya Allah, aku terlalu banyak melakukan maksiat
terhadap-Mu. Sudah terlalu banyak titik
noda di hati ini. Ya Allah, sudikah
Engkau mengampunkanku? Sungguh, aku
berasa seperti tidak layak untuk menerima keampunan-Mu Allah.’
+++
FATASYA terjaga dari lenanya. Lampu bilik masih menyala. Dia terlelap!
Fatasya mencari jam untuk mengetahui waktu sekarang. Jam 4.30 pagi! Fatasya mula tidak tentu hala. Ujian bulanan akan bermula hari ini, tetapi
Fatasya masih belum mengulangkaji pelajaran.
Fatasya menangis sendiri.
Dia bangun menuju ke arah meja belajar.
Buku-bukunya berselerak. Hasil amukannya
tadi. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia
tiba-tiba marah. Marah pada dirinya
kerana gagal memahami apa yang tercatat pada buku.
Hampir sepuluh minit merenung buku yang bagaikan kosong
pada penglihatan Fatasya, akhirnya dia bangkit menuju ke bilik air. Berwudhu’ dan menuju ke bilik solat. Usai solat, Fatasya mencapai naskhah Al-Quran
yang terletak elok di atas almari di sisinya.
Perlahan naskhah itu diselak dan dibaca antara didengari atau tidak.
+++
FITDRI merapatkan pintu bilik solat perlahan. Tidak mahu kehadirannya mengganggu
Fatasya. Dia juga tidak mahu
kehadirannya diketahui adiknya itu.
Fitdri tersenyum di luar bilik solat.
Dia meraup wajahnya dengan dua telapak tangan. Syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan. Dia melangkah semula ke bilik tidurnya.
Fatasya mengucup tanda perlahan naskhah Al-Quran yang
dibacanya sebentar tadi, tanda menghormati kemuliaan naskhah itu. Perlahan air matanya yang sedari tadi
bergenang memenuhi kolam matanya mengalir.
Dadanya sakit menahan sebak. Dia
termenung sendiri mengenangkan laluan hidupnya sepanjang beberapa tahun ini.
Fatasya menangis semahunya. Matanya kian membengkak. Esak tangisnya yang awalnya hanya selesa di
pendengaran telinganya kini semakin membingit.
Dia memeluk dua kakinya seerat mungkin.
Sedaya upaya menahan esakannya daripada terus mengganggu keluarganya
yang sedang lena dibuai mimpi.
Jam di dinding setia menunjukkan waktu sekarang. Jarum panjang hampir meninginjak ke angka
enam sementara yang pendek sudah hampir mengekori si panjang. Fatasya menyeka air matanya dengan jemari
halusnya. Dia bangkit dari duduk. Mengatur langkah menuju ke bilik.
+++
JAM loceng berdering.
Bahu Fatasya sedikit tersentak.
Dia yang sedang tekun membaca bangun mencari arah bunyinya jam loceng
tersebut. Bunyi dihentikan. Fatasya mencpai tuala mandi dan terus
melangkah ke bilik air.
Kain telekung yang putih bersih disarung. Dingin subuh itu menemani Fatasya bertemu
Penciptanya.
‘Ya Allah, berilah
aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah
aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku
sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku
apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala
kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang
menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain
daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya
Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam
puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan
bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan
sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas
kamu berserta rahmat Allah.’
+++
DERINGAN loceng menandakan waktu
menjawab sudah tamat. Fatasya meraup
wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan.
Langsung dia tidak sedari bahawa tingkahnya itu diperhatikan oleh
Muhaini dan Nadhirah. Fatasya
mengemaskan mejanya yang sedikit berselerak dengan alat tulis.
“Saya nak pergi jumpa Ustazah Lina
sekejap. Nanti kita balik sama-sama ya?”
“Okey. Kami tunggu awak nanti.”
Fatasya menghilangkan dirinya dari
penglihatan rakan sekelasnya. Pagi tadi
dia meminta supaya Ustazah Lina meluangkan sedikit masa untuknya. Banyak perkara yang dia perlu dia luahkan
kepada gurunya itu sebagai ganti kepada kakaknya, Farisah. Ustazah Lina guru yang paling rapat dan
sering berkongsi cerita dengan Fatasya.
Fatasya menjengah ke dalam bilik
guru mencari kelibat Ustazah Lina.
Ustazah Lina melambai-lambai ke arah Fatasya mengisyaratkan supaya Fatasya
masuk. Fatasya duduk bersila di atas
lantai sementara Ustazah Lina melabuhkan punggungnya di atas kerusi berdepan
dengan Fatasya.
“Ya Fatasya? Apa yang awak nak bincang dengan saya tu?
Macam serious je.” Ustazah Lina membuka bicara.
“Ustazah ...,”
“Ya Tasya?”
“Saya tak tahu dari mana saya nak
mulakan.”
“Relax. Tarik nafas
dalam-dalam. Tenangkan hati. Biarkan hati tu berzikir. Minta Allah permudahkan urusan ini.” Ustazah Lina tampak tenang dan menenangkan
hati Fatasya yang bercelaru.
“Saya tak tahu apa agama saya sekarang,
ustazah.” Ustazah Lina sedikit tersentak
mendengar kenyataan Fatasya. Fatasya
memberanikan diri mengangkat muka untuk bertentang mata dengan Ustazah Lina.
“Sejak saya mula didatangi haid,
saya tak pernah solat dengan sempurna.
Solat saya tak pernah cukup 5 waktu sehari semalam. Apatah lagi nak tunaikan yang sunat. Ustazah, saya pernah dengar penceramah-penceramah
cakap, kata mereka, sekali kita tinggalkan solat kita, gugur iman kita. Betulkan, ustazah?”
“Fatasya, solat bukan mainan. Sebenarnya, solat tu merupakan salah satu
cara untuk kita tunjukkan tanda syukur kita kepada Allah. Allah ciptakan awak, pernah awak bersyukur? Allah beri nikmat kesihatan, berikan awak ibu
bapa yang sayang pada awak, keluarga yang care
tentang awak, pinjamkan oksigen pada awak tanpa minta sebarang bayaran,
pernah awak bersyukur? Jadi, dengan
solat sahaja boleh membuktikan bahawa awak menghargai dan sangat berterima
kasih kepada Allah atas segala nikmat yang awak terima sekarang ni.”
“Saya tahu. Tapi entahlah ustazah. Saya tak tahu kenapa berat sangat saya nak
tunaikan solat. Kalau solat pun dah
hilang entah kemana, hendak mengaji jauh sekali. Sampai ke tahap sekarang, saya rasa lidah
saya dah keras untuk sebut kalimah Allah. Saya rasa berdosa sangat, ustazah.” Ustazah Lina memegang bahu Fatasya
lembut. Esak tangis Fatasya mula
kedengaran. Dia tahu gadis itu
benar-benar menyesali perbuatannya.
“Ustazah, apa agama saya sekarang
ustazah? Saya dah murtad ke?”
“Allah Maha Pengampun, Tasya. Balik nanti, awak buat solat sunat
Taubat. Mohon keampunan dari-Nya. Fatasya, Allah tak pernah kecewakan
hamba-Nya. Allah tak kejam. Allah Maha Penyayang dan memahami keperluan
hambanya. Mohon pada-Nya.” Ustazah Lina berbicara dengan senyuma. Manis.
Fatasya hanya mengangguk.
Tangannya terus menyeka air mata yang masih deras mengalir.
“Tapi sebelum tu, awak kena belajar
mengaji semula. Kalau mengaji tak betul,
macam mana nak solat. Betul tak?”
“Betul. Ustazah boleh bantu saya?”
“InsyaAllah. Sekarang ni, awak balik dulu. Buat apa yang saya cakapkan tadi. Tenangkan hati. Jangan serabutkan otak sangat. Awak tengah exam, kan? Fokus pada
exam. Jangan terlalu fikirkan masalah
awak. Tapi jangan pula lupakan Allah
yang akan sentiasa membantu permudahkan urusan awak.”
Fatasya senyum. Senyumannya dibalas Ustazah Lina. Langkah Fatasya dituruti dengan ekor mata
Ustazah Lina.
+++
KEPUTUSAN ujian bulanan sudah
dikeluarkan. Markah murid kelas
tingkatan empat dan lima di tampal pada papan kenyataan. Dari jauh Fatasya hanya memerhati gelagat
murid yang berpusu-pusu untuk melihat markah mereka. Fatasya terus melangkah ke kelas. Langsung tiada niat untuk menjenguk
keputusannya.
Fatasya duduk di tempatnya. Dia mengeluarkan sebuah buku untuk menjadi
santapan mindanya pagi itu sementara menunggu waktu perhimpunan. Muhaini dan Nadhirah masih tidak
kelihatan. Hanya beg mereka terletak
elok di tempat duduk mereka. Mungkin
mereka juga antara murid yang berasakan di hadapan papan kenyataan sebentar
tadi, agak Fatasya sendiri.
“Tasya!” Suara Muhaini mengejutkan Fatasya. Fatasya menoleh.
“Tahniah, awak dapat markah
tertinggi dalam subjek Kimia!” Fatasya
terkebil-kebil. Antara percaya dengan
tidak tentang perkara yang baru sahaja disampaikan ini.
“Kimia?” deras anggukan daripada Muhaini dan Nadhirah.
“Tapi ...,” Fatasya mematikan katanya di
situ. Sebentar kemudian dia meraup
wajahnya dengan dua tapak tangannya.
Syukurnya dipanjatkan ke hadrat Illahi.
+++
“FATASYA, cuba awak sebut perkataan
‘Allah’,” pinta Ustazah Lina.
“Allah.”
“Alhamdulillah. Lidah awak dah tak sekeras dulu. Tapi, awak kena teruskan belajar mengaji
ni. Abang awak pun boleh ajar awak di
rumah, kan?” Fatasya mengangguk. Benar kata Ustazah Lina, lidah Fatasya tidak
lagi keras seperti di awal Fatasya datang dan belajar mengaji dengannya dahulu. Sebutan Fatasya kian lancar. Langsung tidak nampak riak kekok dalam
sebutannya.
Fatasya bersyukur kerana Allah
masih menyayanginya dan masih memberi peluang untuknya kembali ke jalan
Allah. Fatasya sedar dia hanya meminjam
kehidupan yang sementara ini daripada Allah dan Allah berhak untuk mengambilnya
kembali pada bila-bila masa sahaja, oleh sebab itu, Fatasya tahu, dia patut bersyukur
dengan segala anugerah Allah kepadanya.
Ya Allah, ampunilah dosaku dan
rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah
aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

No comments:
Post a Comment