Yang Banyak Orang Reach..

Cerpen: Bak Remote Tu!

Aku nak tengok Juvana!
Tak sia-sia aku rebut remote dengan kau...
Karya picisan ini ditulis sekadar untuk memperbaiki kelemahan saya dalam bidang ini.  Minta sebarang teguran jika ada sebarang kesilapan dalam karya ini.  Terima kasih.
__________________________________________________________________________________

Babak pertama bermula, saatku terlihatmu, waktu seakan berhenti, terpinga mencari...


Paparan pada kaca televisyen menarik minat Nurin untuk memandang kotak itu. Nurin pernah menggelar kotak itu sebagai ‘idiot box’ suatu masa dahulu. Dia langsung tidak pernah tertarik mana-mana siaran yang ke udara. Bila ditanya tentang episod drama-drama yang tersiar, jawapannya hanyalah, “Ups, salah orang kot. Aku tak tengok TV.”


“Eh, cerita ni!” jeritan Nurin sedikit menyentakkan Ikha yang sedang leka membelek majalah hiburan pada tangannya.


“Ish kau ni! Terperanjat aku!” getus Ikha.


“Ups, sorry my dear. Wei, hari ni dah Selasa ek?” soalan Nurin hanya dijawab dengan anggukan Ikha.


“Hurm...”


“Kenapa?”


“Aku nak tengok cerita ni.” Nurin menudingkan jari telunjuknya ke arah televisyen yang masih menayangkan iklan sebuah drama bersiri.


Ikha menjungkitkan sedikit keningnya. Pelik. Nurin tersengih. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Ikha. Dia bingkas bangun, memanjat tangga untuk ke biliknya. Meninggalkan Ikha yang sedang mengerah otaknya.


+++


Pintu bilik terkuak. Hafiz masuk ke bilik.


“Kau buat apa? Layan apa tu?” Hafiz menggonjak Nurin apabila ternampak adiknya itu merendahkan sedikit skrin komputer riba. Seperti mahu menyembunyikan sesuatu.


“Nah, ambil ubat!” Nurin melemparkan bantal kecil ke arah Hafiz. Hafiz sempat mengelak.


“Buat apa?” Hafiz cuba untuk menjengah skrin komputer riba itu.


Assignment!”


Assignment konon. Pigidah!”


Hafiz kenal benar dengan adiknya. Dia tahu Nurin berbohong. Nurin bukan sedang menyiapkan tugasan sebenarnya. Masakan ada tugasan yang pensyarah bekalkan semasa cuti semester! Ini bukan zaman sekolah!


Hafiz mengangkat bahunya. Dia tergelak sendiri dengan telahannya. ‘Yin, Yin, sejak kau keluar dari perut mak lagi aku dah tahu perangai kau lah!’


Hafiz bangkit dari tempat duduknya, meninggalkan Nurin sendiri di dalam bilik.


“Apit!” pintu yang baru hendak ditutup, terkuak semula. Hafiz mengangkat kening. Tanda bertanya.


“Ada cerita baru kat TV kan?”


“Cerita apa?”


“Juvana.”


“Kau budak sekolah. Jangan tengok TV sangat. Aku je boleh tengok.”


Hafiz meninggalkan Nurin yang sedang mencemberutkan mukanya. Nurin memalingkan mukanya ke arah komputer ribanya. Kerja-kerja memuat turun hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi. Tahap keterujaannya kini di kemuncak. Tidak sabar mahu menonton.


+++


Ikha masuk ke bilik Nurin tanpa mengetuk pintunya terlebih dahulu. Nurin sedikit terkejut. Dia sedang leka menonton ketika itu.


“Makan.”


Hanya sepatah kata yang keluar daripada mulut Ikha. Nurin hanya mengangguk. Tubuhnya yang kecil itu dibangkitkan. Komputer riba dibiarkan di atas katil. Dia menuruti langkah kakaknya. Jarak usia mereka cuma dua tahun, dipisahkan oleh Hafiz yang cuma setahun lebih tua daripada Nurin.


“Yin buat apa memerap je dalam bilik tu?”


Nurin menjawab soalan ibunya hanya dengan sengihan.


“Haaa, aku bagitahu ibu!”


Hafiz menggiat adiknya lagi. Nurin menjelirkan lidahnya. Dia tahu tiada sebarang kesalahan yang dilakukan, jadi dia tidak perlu takut.


+++


“Kenit!”


“Sibuklah kau! Nak apa?”


“Eleh, terkejutlah tu.”


Hafiz duduk di sebelah Nurin. Skrin komputer riba Nurin ditatap.


“Dah berapa kali kau ulang cerita ni?”


“Suka hati aku lah!”


“Aku bagitahu ibu, kau nak jadi pelakon.”


“Dasar kuat mengadu!”


Nurin membalas tanpa menoleh. Malas mahu melayan kerenah abangnya yang serupa budak tidak cukup umur.


Hafiz tersengih. Sebentar kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluarnya. Ada mesej masuk. Dia tekun meneliti paparan pada skrin kecil itu.


“Baca mesej awek, bukan main tekun lagi ya?”


Nurin menyerkap.


“Kawan akulah, senget!” Protes.


Nurin tergelak kecil melihat reaksi abangnya. ‘Haa, selalu kau sakat aku, kali ini, aku pula sakat kau. Padan muka!’


“Wei, malam ni Juvana.”


“Eh.. Ha’ah! Aku nak tengok! Aku cop TV tu!”


“Eh, tak ada, tak ada. Aku nak tengok TV malam ni. Kau jangan menyibuk!”


“Alah, kau pergilah tengok dengan kawan kau kat luar tu.”


“Tak mahu!”


Hafiz bangun untuk meninggalkan adiknya. Nurin sebal. Sakit hatinya dengan tingkah abangnya yang tidak mahu mengalah langsung!


‘Tak apa, malam ini aku duduk depan TV awal-awal. Aku sorokkan remote tu. Biar semua orang tak dapat tengok TV!’ getus hati nakal Nurin.


+++


“Ish, mana pula perginya remote ni?”


Ikha mengalihkan bantal-bantal yang bersusun di ruang menonton. Habis berselerak ruangan itu.


“Kau cari apa, kak?”


Hafiz menegur.


Remote TV ni mana?”


Hafiz menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Dia sudah meletakkan alat kawalan jauh itu dalam bekas yang disediakan selepas menonton tadi.


“Kau yang akhir tengok TV tadi, kan?”


Hafiz mengangguk.


“Tapi, aku dah letak kat situ tadi.”


“Kalau dah letak, mestilah ada kat situ,” suara Ikha sedikit berubah nadanya. Marah. Hafiz hanya diam. Dia mengekori langkah kakaknya dengan pandangan sahaja. Dia sendiri buntu.


+++


Nurin menekan butang ‘on’ pada alat kawalan jauh. Siaran TV3 ditayangkan sebaik mesin itu menerima arahan daripada alat kawalan jauh.


“Ooo, kau yang sorokkan remote ya?”


Suara garau Hafiz mengejutkan Nurin. Habis tersembur air yang baru masuk ke rongga mulutnya.


“Ish, kau ni! Suara dahlah macam speaker pecah!”


“Padan muka! Bak sini remote tu! Aku nak tengok bola.”


“Ah, asyik kau je tengok TV. Bagilah aku pula!”


Hafiz merampas alat kawalan jauh daripada tangan Nurin. Dia segera memberi arahan kepada televisyen supaya bertukar siaran.


“Ah, kau nak sangat, kau tengoklah!”


Nurin bangkit meninggalkan Hafiz. Dia masuk ke dalam biliknya. Hafiz terpinga-pinga dengan reaksi adiknya itu. Apatah lagi, dia melihat kedua-dua ibu dan bapanya menggeleng kepala. Mungkin mereka juga kehilangan kata-kata.


Bunyi dentuman pintu kuat kedengaran. Daripada bunyi itu, Hafiz tahu adiknya merajuk. Dia berasa serba salah. Niatnya hanya untuk menyakat. dia mematikan televisyen, kemudian bangkit meninggalkan ruangan itu. Masuk ke bilik.


+++


‘Hish, kenapa tak masuk lagi episod 6 ni? Lambat betullah!’


Nurin leka mencari drama bersiri yang ingin ditontonnya malam tadi di internet. Episod-episod yang dia pernah terlepas sebelum ini juga ditonton secara atas talian. Mujur rumahnya disiapkan dengan perkhidmatan internet.


‘Terima kasih ibu, terima kasih abah!’ detik hati kecilnya. Tanpa internet, mungkin Nurin sedikit kolot berbanding remaja seusianya. Masakan tidak, dia tidak gemar menonton televisyen selain drama yang satu ini.


Memang menjadi kegemaran Nurin pada sesuatu yang dianggap lasak dan ganas. Nurin gemar menonton cerita-cerita yang ganas. Dia juga gemar pada anime-anime yang kerap banyak menonjolkan babak-babak pergaduhan. Alasannya hanyalah, “Nurin nak belajar cara mempertahankan diri.”


Malam tadi, ketika merajuk dengan tingkah Hafiz, Nurin mengulang semula episod 5. Dia tertarik pada satu baris dialog Cikgu Zakiah yang dilakonkan oleh Izreen Azminda, “Akal kalau diasah, boleh jadi perisai, boleh jadi senjata.”


‘Aku kena asah akal aku untuk tengok Juvana minggu depan!’ bisik hati Nurin. Nakal.


+++


“Ibu, Yin nak tengok TV malam ni,” tiba-tiba Nurin menyuarakan hasratnya. Puan Naimah mengerutkan kening.


“Yin serious ni!” Tegas.


“Mintalah remote pada abang,” melihat muka cemberut Nurin, Puan Naimah bersuara lagi. “Apit, bagi adik pula tengok TV.”


“Tapikan Apit tengah tengok ni.”


“Minggu lepaskan Apit dah tengok.” Encik Zaidi mencelah.


“Apit tutup, kan?” membela diri.


“Tak ada. Aku tak peduli. Aku nak juga tengok cerita tu!”


“Sibuklah kau!”


Hafiz menyerahkan alat kawalan jauh kepada Nurin.


“Terima kasih, Abang!”


+++


Sejak jam 8 malam, Hafiz sudah tercongok di hadapan televisyen. Berita yang dipaparkan pada slot Buletin Utama tidaklah begitu menarik minatnya.


Nurin menuruni anak tangga satu persatu. Dijengah ke arah ruang televisyen.


‘Alah, sibuk betullah dia ni!’


Mata Nurin diletakkan pada muka jam. Hampir jam 9. Paparan pada televisyen kerap bertukar. ‘Gatal betul tangan dia ni!’. Nurin geram. Dia memalingkan tubuhnya, ingin memanjat semula anak tangga menuju ke bilik.


“Kau tak mahu tengok Juvana ke?”


“Dah kau tercongok depan TV tu, aku malaslah.”


“Nah,” bagai bermimpi. Nurin mencubit pipinya yang gebu itu. ‘Aduh, sakit!’. Langkah diatur ke arah Hafiz. Alat kawalan jauh dicapai. Kening dijungkitkan sedikit. Hafiz buat-buat tidak faham.


+++


“Yeay, menang! Teruja pula aku tengok budak-budak Juvana ni berdebat.”


Nurin bersorak. Walaupun dalam hatinya sudah mampu mengagak apa yang akan berlaku pada babak seterusnya. Hafiz turut gembira. Dia juga sudah terpengaruh dengan adiknya yang gemar menonton drama bersiri itu.


“Kedah memang terbaiklah!”


Hafiz menyokong adiknya.


“Itulah pasal. Bagus Cikgu Zakiah!”


+++


Tepat jam sepuluh. Drama bersiri Juvana tamat ditayangkan. Nurin bingkas bangun menuju ke bilik. Memang dia gemar duduk di dalam biliknya. Selalunya dia akan mencari artikel untuk dibaca secara atas talian.


Tiba-tiba pintu bilik dikuak.


“Yin dah tidur ke?” Puan Naimah menerjah masuk ke bilik anak gadisnya.


“Baru nak lelap, Bu.”


Puan Naimah merapati Nurin yang sedang berbaring di atas katil.


“Esok Kak Long balik. Macam biasalah ya, Kak Long tidur dengan Yin.”


“Lama ke?”


“Mungkin.”


“Okey!” Nurin melemparkan senyuman seikhlas hati kepada Puan Naimah. Wanita itu mengucup dahi anaknya dan mengisyaratkan supaya anaknya itu tidur.


+++


“Adik, Kak Long nak tanya sikit ni.” Auni bersuara, tiba-tiba. Hanya dia yang memanggil Nurin sebagai Adik. Mungkin kerana jarak usia mereka yang sedikit jauh. Nurin mengangkat kening tanda mahu mendengar soalan daripada Auni.


“Kak Long tengok, Adik asyik letak status pasal Juvana. Apa yang seronok sangat cerita tu?”


“Best!”


Hanya sepatah yang keluar dari mulut Nurin. Wajahnya menunjukkan keterujaannya yang melampau terhadap drama itu.


“Best macam mana?”


“Kak Long cuba tengok sendiri nanti.”


“Hari Isnin ya?”


“Ya. 9 malam. TV3!” jelas penerangan daripada Nurin. Auni hanya mengangguk. Pemanduannya diteruskan. Dia baru sahaja selesai membeli barangan dapur, ditemani oleh Nurin.


+++


“Macam mana Kak Long?”


“Macam mana apa?” berkerut seribu pada dahi Auni dengan soalan adiknya.


“Juvana?”


“Tak peliklah kenapa Adik suka sangat dengan cerita tu,” tangan Auni mengusap kepala adiknya yang bongsu itu. Dia faham benar dengan jiwa remaja itu.


Auni cuba menonton drama kegemaran Nurin sebentar tadi. Memang itu citarasa gadis itu. Nurin seorang gadis yang lasak.


Episod 11. Menurut kata Nurin, hanya tinggal dua episod sahaja lagi yang akan ditayangkan. Auni meminta adiknya itu untuk menceritakan secara lengkap mengenai jalan cerita itu. Nurin menceritakan dari satu episod ke satu episod. Semua watak di dalam cerita itu, Nurin tahu kisahnya.


“Fuh! Kalaulah Adik boleh hafal matapelajaran macam mana Adik hafal cerita ni, dah tentu Adik dapat Anugerah Dekan!”


Kata-kata Nurin membuatkan Auni tergelak. Hafiz yang mendengarnya hanya menggeleng. Dia malas untuk bertekak dengan Nurin jika Auni berada bersama mereka. Hafiz tahu, Auni pasti menyebelahi Nurin.


+++


Juvana last episode on TV!’ – Nurin Azmira.


Nurin tersenyum melihat paparan pada skrin komputer ribanya. Status Facebooknya kini sudah terpapar.


Nurin melihat pula pada paparan ‘News Feed’.


‘Wah, ramai juga yang letak status tentang Juvana.’


Nurin tersenyum. Dia mengalihkan komputer ribanya ke sisi. Dia berada di hadapan televisyen kini. Jarum panjang pada jam baru menginjak ke angka 11. Ada lima minit lagi sebelum tayangan dimulakan.


Nurin bangkit menuju ke bilik Hafiz. Pintu bilik diketuk. Hafiz membukanya daripada dalam.


“Jom tengok Juvana. Malam ni akhir.”


Hafiz mengangguk. Dia melangkah keluar daripada biliknya. Pintu bilik dirapatkan semula.


Sebaik tiba di ruang menonton, Nurin ternganga. Hafiz terkedu.


“Abah...” Encik Zaidi menoleh.


“Yin nak tengok Juvana. Please,” sedikit merayu.


“Malam ni episod akhir,” wajah Encik Zaidi semakin serius. Nurin takut untuk berbicara lagi. Hafiz juga diam. Mahu sahaja dia melangkah ke biliknya semula.


“Abah pun nak tengok juga!”


Lontaran ayat yang dikeluarkan oleh Encik Zaidi antara di dengari dengan tidak. Nurin terkejut. Mulutnya ternganga lagi.


“Mari duduk sini.”


Nurin dan Hafiz merapati ayahnya. Puan Naimah, Auni dan Ikha juga sudah berada di ruagan itu.


Sepanjang cerita ditayangkan, mulut Nurin paling bising. Dia sibuk mengulas dan mengagak tentang apa yang akan berlaku kemudiannya.


“Haa, kan dah kena tangkap! Tulah, curi lagi duit budak-budak tu. Tak amanah sungguh!”


Nurin mengulas babak akhir drama itu di mana Warden Sekolah Wira Bakti ditangkap oleh pihak polis kerana dilaporkan menyonglap duit yang Dato’ Wira salurkan kepada pelajar-pelajar di situ.


Usai menonton, Nurin naik semula ke biliknya. Komputer riba dibawa semula bersamanya. Dia mula melayari laman Facebook. Pelbagai ulasan yang ditulis oleh kenalannya di situ.


+++




Kini, bermula semester baru.  Nurin banyak mendapat motivasi daripada dialog-dialog dalam drama Juvana.  Terutama sekali dialog Cikgu Zakiah.  Hafiz pula sudah pulang ke kolejnya untuk meneruskan semester yang baru.

Kini, Nurin lebih yakin tentang frasa yang menyebut, ‘Orang yang pernah kecundang dalam hidupnya juga mampu membentuk dan membina hidup yang baharu, bahkan mereka juga boleh menjadi lebih berjaya daripada orang lain.’

Nurin juga sudah kurang merungut tentang hidupnya yang kadang kala dirasakan seperti tiada makna buatnya.  Banyak dialog di dalam drama bersiri Juvana ini mengajar Nurin erti kesabaran dan sedikit sebanyak memberi Nurin semangat baru untuk membina hidup yang baru.

‘Kalau awak selalu merungut tentang hidup awak, hidup awak akan tetap sengsara, Daim.  Sedangkan awak ada masa untuk ubah hidup awak tu.’ – Cikgu Zakiah.


8 comments:

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Bestlah kak cha! :D

-Moon Liya Zafrina-

Noraz Ikha said...

Part bapa dia tetiba ada kat depan tv tu... mmg x boleh tahanlah hehehe... buat lagi cerpen ya :-)

mia kaftiya said...

ini mesti pasal diri sndiri kan? huhuu...

SyaCha Abdullah said...

Moon: thanks dear!

Kak Ikha: ahaks...tu babak tetiba muncul dalam pale otak...wink2...thanks untuk support yer...

Mia: ahaks...gamaknya gitulah...thanks yer sudi luangkan masa untuk baca...

-credits to Kak Syamnuriezmil-
sebab awal2 dah tegur pasal ending yang asalnya tak ada kesimpulan...:D

Dya Ezlia said...

hee...bez sgt2 cerpen ney...thumbs up..:)

Nurfazzy said...

best..!

Anonymous said...

menarik...! ^_^
i like it..
singgah sini kejap....

SyaCha Abdullah said...

Dya Ezlia: terima kasih dear!

Nurfazila Suhaide: terima kasih!

iMah: salam singgah :) terima kasih...

maaf, sungguh! saya tak perasan ada komen...tadi check stats baru jumpa :)