Yang Banyak Orang Reach..

e-Novel: Cinta Di Sebalik Purdah 15


IZZAH Durani menolak daun pintu bilik kakaknya.  Beberapa hari kebelakangan ini kotak fikirannya semak.  Dia risau melihat perubahan abangnya.

“Assalamualaikum, kak.”  Syarliena menoleh.  Dia tersenyum melihat Izzah.

“Waalaikumus salam.  Ya?”  lembut suaranya.

“Boleh Acu masuk?”  Syarliena mengangkat kening.  “Ada benda yang Acu nak cakap.”

“Pasal Abang?”  Syarliena bangkit menuju ke arah sofa yang terletak di ruang hujung biliknya.  Tangannya mengisyaratkan Izzah untuk masuk dan duduk bersamanya.

“Acu risau pasal hubungan Abang dan Kak Iris.  Acu akan rasa bersalah dengan Kak Iris kalau jadi apa-apa nanti.”  Syarliena senyum.  Dia perlu mengawal situasi.  Api pada adiknya perlu disejukkan, bukan ditambah lagi kepanasannya walaupun dia sendiri sedang memikirkan soal pasangan itu.

“Tak perlu risau.  Insya-Allah, Kak Iris bukan calang-calang orang.  Kakak rasa Acu lebih kenal Kak Iris kan?”  Izzah mengangguk perlahan.  Dia senyum dalam paksa.  Terpaksa untuk menyenangkan hati kakaknya juga hatinya sendiri.

“Acu pun kenal Abang, kan?”

“Sebab terlalu kenallah Acu takut, kak.  Herlina tu, kekasih lama abang.  Kakak pun tahu, kan?”

“Itu Kakak tahu, sayang.”  Tangan Syarliena mengusap lembut rambut adiknya yang panjang mengurai.

“Abang sangat mengharapkan cinta dari budak tu.”

“Dia kan tunang orang?  Mungkin dah jadi isteri orang dah.  Takkan Abang nak kacau rumah tangga orang pula?”

“Abang Saufi kata, Herlina tak jadi kahwin.  Sebab tu dia kejar Abang semula.”

Syarliena diam.  Kerunsingannya kembali memuncak namun disembunyikan.  Risau juga jika terjadi apa-apa.  Bukan kerana apa, dia sebenarnya terlalu sayangkan Iris Qaireen.  Dia perlu lakukan sesuatu!

+++

IRIS menatang sebiji dulang yang dipenuhi dengan cawan-cawan dan seteko air.  Irdina di belakangnya membawa sepinggan kuih ketayap.  Hijaunya tampak menyelerakan.  Tidak sabar untuk menikmatinya bersama keluarga.

Izz menatap wajah isterinya yang tak pernah lekang dari senyuman.  Manis!  Mungkin kemanisan wajah itulah yang mendorong Iris untuk menutup wajahnya dengan niqab.  Irdina tidak seperti Iris.  Dia tidak berpurdah walaupun mereka dididik dan dibesarkan oleh orang yang sama.

Si kembar, Ibtihal dan Ibtihaj sudah tidak senang duduk menanti kuih ketayap kegemaran mereka.  Selalunya Mak Temah akan menyediakan kuih tersebut untuk mereka bawa bekal ke sekolah.

Irsyad tekun membelek buku pelajarannya.  Sesekali wajahnya berkerut-kerut.  Cuba untuk memahamkan setiap baris ayat yang tertulis di dada buku tersebut.  Kadang-kadang, pensil pada jarinya bergoyang seperti sedang menulis sesuatu di atas angin.

Air kopi panas dituang perlahan-lahan dan disusun di atas meja.  Mak Temah memandang redup anak-anaknya yang sedang sibuk menyiapkan minum pagi.  Sekejap lagi mereka akan bertungkus lumus untuk hidangan tengahari pula.

“Minum, bang.”  Iris memperlawa Izz yang sibuk dengan tabletnya.  Dia leka membaca surat khabar sebenarnya.

“Mak, Chad, mari minum.”  Irsyad hanya mengangguk.  Tidak memberi tanda dia akan bangun dengan cepat.

“Abang Chad, sudah-sudahlah conteng angin tu.  Dah penuh dah dengan tulisan abang.”  Ibtihaj menyakat.  Mak Temah dan anak-anaknya ketawa.  Izz turut tergelak kecil dengan usikan Ibtihaj.  Suaranya halus sahaja.  Comel bunyinya.

“Adik, cuba melatah sikit, macam semalam.  Abang Izz nak dengar sikit.”  Giliran Izz menyakat.  Ibtihaj tersengih.  Malu bila dia tahu yang abang iparnya itu terdengar latahannya.

Irsyad bangun dari tempat belajarnya.  Dia menuju tepat ke arah Ibtihaj yang menggonjaknya sebentar tadi.  Ibtihaj perasan dengan tingkah Irsyad terus berlari, cuba untuk menyelamatkan diri.

Irsyad terus mengagah Ibtihaj.  Suara Ibtihaj sudah memenuhi ruang rumah mereka.  Iris duduk di sebelah Izz.  Dia ketawa kecil melihat telatah adik-adiknya.  Tiba-tiba ... .

“Oh mak kau!”  Ibtihaj melatah apabila dia disergah Ibtihal.  Entah bila kembarnya itu menyorok, dia pun tidak tahu.  Tawa Izz menjadi  kuat mendengar latahan itu.  Comel!  Irsyad dan Ibtihal menekan-nekan perut mereka.  Sakit rasanya mentertawa Ibtihaj.

“Upss!”  Ibtihaj menekup mulutnya.  Matanya memandang ke arah Izz yang sedang sakan ketawa.  “Maluuu ...,” kedua-dua tapak tangannya ditekup ke muka.  Tawa mereka sekeluarga bergema melihat gelagat Ibtihaj.

“Sudah-sudah.  Mari makan ni.  Kejap lagi semua kena turun ke dapur.  Tolong Kak Iris.  Hari ni Kak Iris nak masak special sikit.  Okey?”

“Yes, madam!” serentak Irdina, Irsyad, Ibtihaj, Ibtihal dan Izz bersuara sambil tangan mereka tabik ke arah Iris.  Sekali lagi tawa mereka pecah.  Mak Temah senang melihat anak-anak dan menantu mereka yang semakin mesra.

+++

IRIS menyarung kasut untuk ke laman rumah.  Malas mahu memakai stokin.  Kain sarungnya dilabuhkan sedikit.  Baju T yang labuh menutup punggung.  Dia melangkah ke laman belakang rumah.  Izz dan adik-adiknya juga Mak Temah sudah berada di situ awal lagi.  Suara gelak tawa mereka kedengaran sehingga ke dalam rumah memanggil Iris untuk turut serta.

Kepalanya yang masih berpinar tidak diendahkan.  Digagahkan juga kakinya supaya mampu melangkah demi menyertai keluarganya.  Suara hilai tawa mereka sekeluarga semakin jelas di pendengaran Iris.  Sesekali terdengar juga suara Izz, Irdina dan Irsyad menggonjak si kembar.  Ada sahaja perkara yang dijadikan isu untuk ditertawakan.

“Wah, mempelam!”  enam pasang mata yang langsung tidak menyedari kehadiran Iris kini tertumpu kepadanya.  Iris terkedu.

“Erkkkk ...,”

“Kak Iris?”  Irdina mengangkat sedikit keningnya.  Memohon kepastian.

“Kenapa?”  Iris bingung.

“Kak Iris nak ke?  Chad petikkan untuk akak.”  Iris mengangguk laju.

“Dah lama tak makan mempelam.  Cicah dengan kicap campur gula.  Fuh, sedap!”

Izz terkebil-kebil.  Tiga tahun bersama, Iris tidak pernah menunjukkan keterujaan yang begini.  Dipandangnya ke arah buah mempelam yang dimaksudkan Iris.  Masih hijau.  Dia mula mengagak sendiri.  Senyum di bibirnya mula terukir.

+++

“KAT sini mana tempat yang syok jalan-jalan ya, sayang?”  surat khabar pada tangan Izz dilipat sebaik sahaja Iris duduk di sebelahnya.  Duduk dengan Iris membuatkan berat badannya semakin bertambah!  Sentiasa sahaja ada makanan yang terhidang.

Iris mendongak memandang siling rumah.  Dia memikirkan sesuatu.  Riak wajahnya menunjukkan dia masih dalam keadaan loading.

“Hurm ...,”  Izz menjongket kening sebelah kiri.

“Kat kampung ni?”  Izz mengangguk.

“Jeti Nelayan Pantai Siring.  Tapi tak ada apa pun.  Bot-bot nelayan je.  Dulu sebelum kita kahwin, Iris suka pergi sana.  Kalau pergi mesti bawa adik-adik.  Tengok belacak main lumpur.  Kadang-kadang ketam yang kecil-kecil tu keluar.  Tengok laut.  Pak cik-pak cik nelayan lalu lalang.  Kalau nak ikan-ikan segar, kat sana ada.”

“Tak kisah la jeti nelayan ke mana-mana pun.  Yang penting abang nak jalan berdua dengan isteri abang.”  Izz memeluk tubuh Iris.  Iris senyum.

‘Ya Allah, terima kasih kerana maqbulkan doa hamba-Mu ini.’

“Waktu mana yang sesuai kita dating?” soalan Izz mematikan lamunan Iris yang baru sahaja hendak muncul.

“Kita pergi lepas Asar lah, ya?  Redup sikit.  Kepala Is pun macam berpinar lagi ni.  Panas sangat nanti takut pitam pula.”  Izz mengenyitkan sebelah matanya.  Setuju dengan cadangan wanita itu.

“Haa!”

“Kus semangat!  Terkejut abang.”  Iris ketawa melihat gelagat Izz terkejut.  Izz mencemberut wajahnya.  Dari tawa Iris, dia tahu Iris sengaja mahu menyakat.  Izz menarik Iris ke dalam pelukannya.  Rambut Iris dikucup lembut.  Damai.

+++

BERKALI-kali Izz mencuba, sehingga kini masih belum berjaya.  Irdina sudah tergelak-gelak dari dalam rumah.  Irsyad hanya berdiri tidak jauh dari Izz.  Ingin dibantu, tetapi Izz menolak.  Ibtihal dan Ibtihaj tersengih-sengih melihat gelagat abang ipar mereka.  Sejak Izz sampai, mereka berdualah orang yang paling banyak ketawa.

Iris melangkah ke arah suaminya.  Izz tersengih.  Peluh menitik dari hujung dahi.  Baju pun sudah lencun dek peluh.  Iris menggeleng.  Dia berdiri di sebelah Irsyad yang terus menjadi pemerhati.  Irsyad senyum ke arah Iris yang hampir meledakkan tawanya.

“Abang ...,” Iris memanggil.  “Ooo ... Abang.”

Izz menoleh ke arah Iris.  Iris menahan tawa.  Izz tersengih lagi.

“Sudah, sudahlah tu.  Biar Chad buatkan.  Motor ni motor lama.  Susah sikit.”

“Tak apa kalau Abang Izz nak buat, kak.” Irsyad mencelah.

“Ish, kesian kat abang.  Tengok ni, berpeluh-peluh dah.”  Iris mengelap peluh Izz dengan sapu tangannya.

“Chad nak tunjuk ni je.”  Irsyad memutarkan kunci motor ke arah start.

“Laaa ...,”  Iris menepuk bahu Izz perlahan.  Izz mentertawakan dirinya.  Ibtihal, Ibtihaj dan Irdina pun sudah pecah gelak.

“Manalah abang tahu.  Abang ingatkan Chad dah buat tadi.  Sebab tadi Chad duduk atas motor ni.”

“Itu yang Chad nak cakap dari tadi, tapi abang tak mahu.  Chad diam je la.”  Irsyad membuat muka selamba.  Izz turun dari motor dan terus mengejar Irsyad yang sudah jauh melarikan diri.  Iris ketawa apabila terlihat Irsyad sudah ditangkap oleh Izz.

“Kak Iris ingatkan Chad yang jaguh kampung ni lari dah laju macam Watson Nyambek dah.  Rupanya ada yang lagi laju ye?”  Iris menggonjak adiknya.

“Chad saja bagi chance.  Kang lari laju-laju, lambat pula Abang Izz bawa Kak Iris dating.”  Izz mengusap kepala adik iparnya.  Tak mahu kalah langsung!


No comments: