Yang Banyak Orang Reach..

e-Novel: Cinta Di Sebalik Purdah 14


IRIS mencapai telefon bimbitnya yang baru sekejap berdering.  Menandakan ada mesej masuk.

‘Izz okey.  Dia jumpa makanan semalam.  Dia jumpa juga nota yang ditinggalkan.  Dia misplaced handphone.  Tak jumpa lagi sampai pagi ni.  Kami temankan dia tidur di rumah ni.  Jangan risau ya.’ – Suraya.

Iris meraup wajahnya tanda syukur.

‘Terima kasih.  Saya belum dapat balik ke sana lagi. Kesihatan mak tak menentu.  Demam berulang.  Tengahari nanti saya nak bawa mak ke klinik sekali lagi.  Tolong sampaikan salam saya pada Abang Izz.  Terima kasih juga untuk Kak Sue dan Abang Saufi sekeluarga.  Saya tak tahu macam mana nak balas jasa baik tu.’ – Iris Qaireen.

‘Alah, belanja je kami makan Pizza Hut.  Langsai hutang. :D’

Iris tersengih dengan gonjakan itu.  Jasa begitu dibalas dengan Pizza Hut?  Langsung tidak setara.

‘Maaf.  Tadi tu Abang Saufi.  Mengada je dia tu.  Tak apa, Izz dan Iris bukan orang lain.  Dah macam keluarga kami.  Susah senang, Insya-Allah kami ada bersama.’ – Suraya. 
Patutlah! Saufi yang membalas rupanya.

‘Terima kasih sekali lagi kak.’ – Iris Qaireen.

Iris meletakkan telefon bimbitnya di bawah bantal.  Senyum Izz menerjah kotak fikirannya.  Rindu benar dia hendak melihat senyum lelaki itu.  Lelaki yang dia hormati, kasihi dan sayangi sebagai seorang suami.

‘Ayah, Ummi, kalau kalian masih ada, pasti kalian duduk di samping Iris saat Iris mencari kekuatan.  Betulkan?’  Iris senyum.

Sengaja Iris tidak menghubungi Izzah, Syarliena atau ahli keluarga Izz untuk memberi tahu yang dia kini berada di Melaka.  Bimbang sesuatu di luar jangka akan berlaku.  Dato’ Rahimi dan Datin Faridah tidak mahu Iris memandu bersendiri.  Mereka bimbang jika berlaku sesuatu.

Iris faham keprihatinan keluarga mertuanya itu, tetapi untuk kes-kes kecemasan seperti ini, Iris terpaksa mengendahkan permintaan mereka.  Dia perlu mengutamakan kesihatan Mak Temah berbanding keselamatan dirinya.

+++

IZZAH Durrani mengetuk pintu rumah perlahan.  Sengaja tidak mahu memberi salam.  Dia ingin membuat kejutan buat abang dan kakak iparnya.  Syarliena berdiri tegak di belakang adiknya.  Bungkusan makanan digenggam erat.

Suraya membuka pintu perlahan.  Dijengah sedikit kepalanya.

“Assalamualaikum, kak ...” suara Izzah dimatikan.  Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya sekarang.  Dahinya berkerut.  Suraya hanya senyum.

“Masuklah.  Abang Izz ada kat atas.  Tengah rehat.  Abang Saufi masak kat dapur tu.”

“Kak Iris mana?”  Syarliena bersuara.  Nadanya tidak setegang wajahnya sebentar tadi.

“Masuk dulu.  Kita cerita kat dalam.  Berdua je?”  Izzah mengangguk.  Syarliena mengekori langkah adiknya.  Bungkusan makanan terus dihantar ke dapur.

+++

SAUFI dan Suraya berusaha untuk tidak mengeruhkan keadaan.  Mereka terhimpit di celah tiga pihak.

“Jangan bagitahu kat Mum dan Dad ya?”

“Jadi betullah apa yang kami agak selama ni kan?  Abang Saufi dengan Kak Sue tahu tak siapa perempuan tu?” Bertalu-talu soalan dilemparkan oleh Izzah.

“Benda dah lepas, dik.  Jangan dibesarkan lagi.  Sekarang ni kita kena pujuk Abang Izz.  Abang rasa kita kena fokus pada dia je sebab abang tengok Iris okey je.”

“Bukan nak besarkan, bang.  At least, kita boleh berjaga-jaga.  Orang zaman sekarang ni sanggup buat apa sahaja demi cinta.”  Syarliena menepuk paha adiknya.  Saufi dan Suraya juga terkejut dengan apa yang dibicarakan.

“Jauh betul Acu fikir, kan?  Dulu beriya nasihat Kak Iris, kata jangan fikir negatif.  Ladang suburlah, mindalah.”

Izzah tersengih.  Saufi dan Suraya turut serta.  Ada juga terselit kebenaran dalam kata-kata Izzah.  Manusia sukar dijangka.  Lagi pula yang berduit seperti Herlina.  Bila-bila masa sahaja dia boleh mengupah orang untuk menghapuskan Iris.  Atau mungkin juga dia boleh mengupah mana-mana bomoh supaya Izz melupakan Iris.

Dunia sekarang, cinta menggelapkan mata hati.  Langsung tidak mampu lagi membezakan perkara yang baik dan yang buruk sehingga sanggup melakukan perkara yang diluar kewarasan.

+++

“SAUFI …,”  Saufi menoleh ke arah Izz yang sedang berbaring.  Menurut Izz, perutnya masih lagi terasa pedih sehingga menyukarkan dia untuk bergerak.

“Aku nak jumpa Iris.”  Saufi senyum.  Dia dapat mengagak apa yang bermain di minda teman baiknya itu.

“Aku tak rasa aku patut drive ke Melaka untuk bawa kau.”  Izz mencemberutkan wajahnya.  Dia tidak menjangka ayat itu yang keluar dari mulut Saufi.  Selalunya Saufi sentiasa ada untuk membantunya.  Tetapi kali ini, mengapa tidak?

Bro, jangan salah faham.  Sekarang ni, masalah ni between kau dengan isteri kau.  Jadi, aku tak rasa aku patut bawa kau ke sana jumpa dia.  Aku rasa, lagi elok kalau kau sendiri drive ke sana dan jumpa dia.”

“Tapi ...,”

“Kalau kau bersungguh nak selesaikan masalah ni, kau kena sihatkan diri kau tu dulu.  Lepas tu pergi sana.  Selesaikan.  Jangan risau, bro.  Aku sentiasa menyokong kau.”

Izz tersenyum.  Sejak akhir-akhir ini Saufi asyik sahaja memberikan reaksi yang menyentapkan hati Izz.  Saufi menghulurkan genggaman tangannya sebagai isyarat persahabatan yang biasa mereka gunakan sejak dahulu lagi.  Izz menyambut.  Senang.

+++

FORD Fiesta berwarna biru metalik yang menyusur masuk ke halaman rumah mengganggu fokus Irsyad.  Dia bangkit untuk meninjau dan mengenal pasti pemilik kereta tersebut.  Dia tersenyum sinis lantas langkah kakinya diatur ke arah pintu serambi yang terbuka luas.

Pemandu kereta berkenaan tersenyum melihat Irsyad.  Muka Irsyad kosong tidak beriak.  Izz keluar daripada perut kereta dan menghadiahkan sekali lagi sebuah senyum buat Irsyad.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumus salam.”  Huluran tangan Izz disambut.

“Kak Iris ada?”

“Ada dalam.”

“Abang masuk dulu ya?”  Izz yang sudah mula tidak enak rasa cuba melangkah.

“Eh, nanti dulu, bang.  Mari nak borak sikit.”  Izz hanya menurut.

Irsyad melangkah semula ke tangga serambi.  Dia menghulurkan punggungnya ke atas tangga Melaka yang masih teguh berdiri menghiasi rumah mereka.  Izz duduk tidak berapa jauh daripada Irsyad.  Lagak Irsyad seperti mahu membicarakan perkara yang mustahak.  Dia menanti penuh debar.  Berkaitan apakah?  Iris?  Atau mungkin Irsyad mahu bertanya tentang mengapa dia tidak turut pulang sekali dengan Iris beberapa hari lalu.

“Chad tak nak tanya banyak.  Nak tanya satu soalan je kat Abang Izz.” Izz menoleh sekilas ke arah Irsyad.  Irsyad serius.

“Apa dah jadi?”  Izz tersentak mendengar soalan Irsyad.  Apa yang berlaku?  Dia menyoal dirinya sendiri.

“Chad tahu Chad belum berpengalaman dalam berumah tangga.  Tapi Abang Izz kena ingat, Kak Iris tu amanah dari kami untuk Abang Izz.  Amanah dari Chad untuk Abang Izz.  Chad tak mahu dengar dan tak mahu tengok Kak Iris menangis sebab abang.  Chad percayakan abang sejak kali pertama Chad tengok abang.  Jadi, jangan hancurkan kepercayaan Chad pada abang.”

Irsyad menepuk bahu Izz.  Dia bangkit dengan hajat mahu menyambung tugasnya yang terganggu tadi.

“Kak Iris ada di dapur.  Pergilah masuk jumpa dia.”  Irsyad melangkah meninggalkan Izz.  Dia tidak terus duduk di bangkunya tadi.  Langkahya dilajakkan ke dapur untuk memberitahu kepada Iris dan Irdina akan kehadiran Izz, jadi tidaklah Irdina kalut mahu berlari mencari tudung bagi menutup auratnya.

+++

IRIS menyarung selipar, susunan langkah mengarah ke serambi.  Iris pelik apabila kelibat suaminya masih belum terlihat.  Dia mencari Izz.

“Assalamualaikum, abang.”  Izz tersentak.  Lamunannya terhenti seketika.

“Waalaikumus salam.”  Izz memaksa bibirnya untuk mengukir senyuman paling indah buat si cantik jelita di hadapannya.

“Sepatutnya abang yang beri salam kat sayang.  Ini tuan rumah pula yang beri salam ya?”  Izz cuba menggonjak.  Iris ketawa kecil.

“Sesekali abang bagilah pahala extra untuk tuan rumah.”  Iris menyahut dan sahutannya memecah tawa Izz.  Iris duduk di samping Izz.  Terasa tubuhnya didakap.  Dia merelakan.  Damai rasanya.  Kepalanya dilentokkan ke bahu Izz.  Izz mengucup lembut kepala isterinya yang bertudung itu.  Air matanya bertakung.  Hatinya sebak.  Irsyad hanya memerhati gelagat pasangan itu dari dalam.

‘Kalaulah Kak Iris tahu ...,’

+++

IRIS mengemas peralatan solat di dalam almari.  Tenang hatinya dapat berjemaah bersama suaminya.  Sudah terlalu rindu akan saat itu.

Izz duduk di birai katil.  Berkira-kira mahu tidur semula memandangkan cuaca yang agak sejuk.  Hujan mencurah sejak malam tadi.  Iris mendekati suaminya.  Tangan Izz disentuh lembut.  Genggamannya kian erat apabila disambut.

“Rasa macam tak mahu lepaskan tangan abang lagi.”  Iris bersuara.  Nada suaranya terketar-ketar menahan sebak.  Tidak terbayang jika tiba-tiba apa yang dia fikirkan menjadi kenyataan.

Genggaman dari tangan Izz juga semakin kuat.  Iris meletakkan kepalanya di atas dada suaminya yang bidang.  Izz kaku.  Hanya genggaman tangannya yang kian erat.

“Sayang, agak-agak, kalau sekarang ni tidur, ada orang peluk pula, syok tak?” Izz cuba mengubah suasana yang kian hambar.  Iris melepaskan kepalanya dari dada Izz.  Dia merenung tepat ke arah mata Izz.

“Memang seronok.  Tapi yang tak seronoknya, lepas Subuh tak elok tidur.  Nanti rezeki tak masuk.”  Iris mencuit pinggang Izz.  Izz menggeliat geli.  Dia menarik hidung Iris.

“Aduh!”  Iris menggosok batang hidungnya berkali-kali.  Memek manja jelas kelihatan pada wajahnya.  Izz tergelak.  Terlupa tentang perbualannya dengan Irsyad semalam yang hampir membingungkan dirinya.

“Jom tolong Iris siapkan sarapan.”  Mata Iris dikenyitkan sebelah.  Izz senang dnegan tingkah isterinya.  Hatinya bersih.  Langsung tiada dendam.  Sedikit sebanyak, hatinya tercuit dengan layanan Iris terhadapnya.

No comments: