FAHRI duduk di
tepi tingkap. Pandangan matanya dicampak
ke arah laman nan kosong. Otaknya ligat
memikirkan tentang seseorang. Ah, letih
benar melayan karenahnya!
“Kenapa?” Fahri sedikit tersentak apabila bahunya
disentuh oleh seseorang. Farhan. Abang kembarnya. Fahri menggeleng. Farhan tersenyum sinis.
“Dari dalam perut
aku hidup dengan kau, nak tipu aku?”
“Entahlah. Dia dingin lagi.”
“Sebab?” Fahri mengangkat bahu sedikit. Bibir dijuihkan. Tampak kebosanan dalam melayani karenah
Zakiah, kekasih hatinya.
“Perempuan kalau
marah, takkan lama. Lagi pula kalau dia
sayang betul dengan kau. Tak payah
pening kepalalah.”
Farhan melepaskan
baris ayat terakhir sebelum melangkah ke pintu bilik Fahri.
“By the way, ibu ajak turun makan
sekali.” Fahri mengangguk. Mereka hanya tiga beradik. Farhan, Fahri dan Fauzan. Farhan sudah lama hampir dua tahun mendirikan
rumahtangga. Fauzan masih di sekolah
menengah dalam tingkatan dua.
Menurut katanya,
isterinya juga kerap merajuk dan kadang-kala dia sendiri bingung hendak menurut
segala kehendak wanita itu. Lagi pula
isterinya itu hanya dikenali selepas mereka sah bergelar suami isteri. Perkahwinan mereka diatur oleh keluarga.
Farhan jenis yang
mudah belajar dan mudah faham situasi orang di sekelilingnya berbanding dengan
Fahri yang mudah bosan. Fahri amat
jarang memberi peluang untuk dirinya mengenali dan memahami orang
sekeliling. Memiliki teman rapat juga
Fahri tidak pernah. Hanya Farhan tempat
dia berkongsi cerita selain daripada diari kecil pemberian abangnya itu.
Fahri menatap
gambar Zakiah. Perlahan-lahan senyuman
gadis itu tergambar di kotak fikirannya.
+++
DUA MINGGU
SEBELUM.
“Bila you nak datang jumpa family I?”
“I sibuk sikit
kebelakangan ni. Banyak benda I nak kena
uruskan. Kelmarin I kena pergi ke
sekolah adik I. Dia buat hal lagi.”
“Alah, alasan you je.
I bukan nak suruh you datang
meminang sekarang. Datang jumpa je
dengan family I, susah ke?”
“Bukan I tak nak,
sayang. I memang tak sempat. I risau kat adik I tu.”
“Abang you kan ada.” Zakiah membentak.
“Isteri dia kan
tengah pregnant. Alahan kuat.
Abang I kena jaga dia. Nanti bila
you dah kahwin dengan I, pregnant nanti macam tulah I jaga you.”
Fahri masih cuba memujuk.
“Kalau lambat sangat,
jangan beranganlah nak kahwin dengan I.
Dah hantar I balik. Malas nak
layan you. Hilang mood
I.” Fahri terpempan. Ah, merajuk lagi! Kenapalah dia tak faham?
Fahri menghirup
air yang masih bersisa dalam gelas.
Matanya dikerling ke arah Zakiah yang semakin cemberut wajahnya. Fahri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan
untuk dia terus bertahan dengan gadis ini.
Zakiah mencuri
pandang ke arah Fahri. Minta dipujuk
namun hampa. Fahri langsung tidak pernah
memujuknya setiap kali dia merajuk. Selalunya dia yang akan pulih sendiri. Mungkin kerana terlalu sayang dengan lelaki
di hadapannya itu.
+++
“AIK, awal pula
kamu balik hari ni.” Datin Aini menegur
anak gadisnya. Zakiah menghiraukan
teguran wanita separuh umur itu. Dia
terus melangkah ke dalam rumah. Datin
Aini dan Fahri hanya menghantarnya dengan ekor mata.
“Dah gaya orang
berkawad pula.” Kata-kata Datin Aini memecah tawa Fahri. Datin Aini mengangkat keningnya kepada Fahri
tanda menyoal perihal anaknya. Fahri
hanya mengangkat bahu sambil membuat memek muka, “Biasalah.”
“Dah tu, kenapa
tak ikutkan je?” Fahri senyum hambar.
“Dia ada calon
lain ke, aunty?”
“Yang aunty tahu, dia memang sayang kat kamu
seorang je. Tapi uncle kamu tu lah, tak sabar sangat nak bermenantu. Nak dicarikan yang lain kalau kamu lambat
sangat.”
“Owh.” Fahri senyum.
Dalam hatinya bimbang. Bimbang
jika dia perlu bernikah awal dengan Zakiah.
Dari arah mana pula nak dicari duit?
Nak pinang anak orang berada ni bukan boleh buat main. Berpuluh ribu dah tentu kena ada. Duit dalam simpanannya jangan kata puluh
ribu, lima ribu pun belum sampai!
“Tak apalah, aunty.
Saya balik dulu ya?”
“Jangan lambat
sangat, ya?” Fahri senyum.
“Assalamualaikum, aunty.”
“Waalaikumussalam.” Fahri melangkah meninggalkan perkarangan
rumah banglo itu. Pengera Proton
Prevenya dibunyikan. Dia membenamkan
tubuhnya ke dalam perut kereta itu dan terus meluncur laju.
+++
FAHRI duduk di
birai katil. Berat sungguh kepalanya
pagi ini. Jam di dinding menginjak ke
waktu 6 pagi. Azan Subuh sudah
berkumandang. Dia bergerak perlahan
menuju ke bilik air. Tangannya memegang
dinding untuk berpapah. Semakin dia
melangkah semakin hebat pusingan di kepala.
Fahri cuba mengira
baki langkah yang diperlukan untuk tiba ke bilik air. Ah, jauh pula! Fahri melangkah lagi. Dia tidak mahu lewat menunaikan solat Subuh. Langkahnya diusahakan lagi. Perlahan dan semakin perlahan.
Syuhadah membuka
pintu bilik. Dia mahu ke bilik air. Baru sahaja hendak melangkah,
“Abang!” Farhan yang masih berbaring terus bangkit dan
berlari mendapatkan isterinya. Pagi-pagi
buta sudah menjerit. Farhan memandang ke
arah sekujur tubuh yang terbaring di hadapan pintu biliknya.
“Ayie, Yie. Bangun wei!”
Farhan menepuk pipi Fahri berkali-kali.
Tiada respon.
“Adah pergi ambil
kunci kereta Abang. Cepat!” Encik Murad dan Puan Sarimah kalut melihat
tubuh anak kedua mereka yang longlai.
Syuhadah cepat berlari mengikut arahan suaminya. Farhan memapah tubuh Fahri, dibantu oleh
Encik Murad. Air mata Puan Sarimah sudah
berderai membasahi pipi.
‘Ya Allah,
selamatkanlah anakku ini.’
“Ibu tinggal di
rumah je ya. Along bawa Ayie ke hospital
sekejap. Adah duduk rumah dengan
ibu. Pergi solat. Doakan Ayie tak apa-apa.” Syuhadah mengangguk. Dia memeluk tubuh ibu mertuanya yang sedang
teresak-esak.
“Jangan risau,
bu. Insya-Allah, Ayie okey tu.”
+++
ZAKIAH panas hati
apabila panggilannya tidak berjawab.
Berkali-kali dia cuba menghubungi lelaki itu. Lagi panas hati apabila papa pagi-pagi lagi
dah mendesak mahu bertemu dengan Fahri.
Bukannya budak tu tak pernah datang!
Zakiah mencemberut wajah.
Tingkah Zakiah
diperhati oleh Dato’ Zakwan dan Datin Aini.
Ke hulu ke hilir. Penat mata
memandang. Cuba untuk diabaikan tetapi
pergerakan Zakiah memancing penglihatan mereka untuk memberi tumpuan.
“Kamu ni tak boleh
duduk diam ke, Zakiah? Penat papa tengok
kamu ni lah. Nak baca surat khabar ni
pun tak boleh fokus.” Zakiah muncung.
“Kenapa ni,
sayang?” Zakiah merapati tubuh Datin
Aini.
“Fahri ni. Zakiah call,
langsung tak berjawab. Dah banyak kali call.
Mesej pun tak dibalas.”
“Apa susah
sangat. Tinggalkan saja dia tu. Kahwin anak Tan Sri Shu’ib tu. Senang.
Budaknya pun handsome. Sesuailah dengan
kamu.”
“Alah papa ni. Tak
sudah-sudah! Kan orang dah cakap, orang
tak nak. Tak nak, tak nak, tak naklah!
Janganlah paksa-paksa!” Zakiah hilang kawalan. Marahnya diletuskan. Datin Aini dan Dato’ Zakwan terdiam. Tidak pernah Zakiah begini.
“Zakiah sayangkan
Fahri. Dia pun sayang kat Zakiah. Papa sabarlah sikit. Janganlah desak-desak.” Air mata Zakiah mengalir laju. Sakit kepalanya asyik memikirkan permintaan
papa.
“Kalau dia sayang
kamu takkanlah dia tak jawab call
kamu. Kan?” Zakiah diam.
Ada benarnya kata-kata papa.
Datin Aini mencubit lengan suaminya.
Anak dalam keadaan bingung, lagi ditambah dengan kebingungannya.
+++
FAHRI menyandar di
kepala katil. Jarum yang tertusuk pada
tangannya direnung. Farhan kata, ini
botol yang kedua. Suhu badannya terlalu
panas. Kepalanya masih berpinar. Sesekali berdenyut kuat. Dia teringat peristiwa pagi tadi, sebelum
Farhan dan abah meninggalkan dia sendiri.
“Kau nak aku
bagitahu Zakiah tak?” Fahri
menggeleng. Pandangannya dicampakkan ke
arah siling yang kosong. Tidak mahu
Farhan membaca fikirannya. Kembarnya
itu, segalanya tahu!
“Kau ada masalah
dengan dia, kan?”
“Tak lah.”
“Tipu!”
“Aku nak
rehat. Terima kasih tolong hantar aku ke
sini. Terima kasih juga tolong aku nak
solat tadi.” Farhan menghela
nafasnya. Perahsia sungguh!
“Kalau bukan aku,
siapa lagi yang nak tolong kau, kan.
Dah, rehatlah. Kami balik
dulu. Nanti kami datang lagi.” Farhan mengusap kepala adik kembarnya
itu. Sejak kecil lagi memang Farhan
gemar melakukan itu kepada Fahri. Fahri
senyum. Dia mencium tangan Encik Murad
yang sejak tadi senyum. Gembira agaknya
melihat anaknya sudah sedar.
“Abah balik dulu
ya?” Fahri mengangguk. Dia menghantar Encik Murad dan Farhan ke
pintu dengan pandangan sahaja. Sebaik
sahaja pintu dirapatkan, dia terus memejamkan matanya. Wajah Zakiah mula bertamu di ruangan
minda. Cuba diusir sekejap wajah itu
pergi, namun tidak berjaya. Kepalanya
kembali berdenyut dan dia kembali lupa pada apa yang berlaku.
+++
FARHAN merapati
Fahri yang termenung di tingkap. Fahri
langsung tidak sedar akan kehadirannya.
Sudah dua minggu Fahri keluar dari hospital tetapi keadaan dirinya masih
belum mengizinkan dia untuk bekerja. Dia
hanya berehat di rumah.
Farhan menyentuh
bahu Fahri.
“Kenapa?” Fahri sedikit tersentak apabila bahunya
disentuh oleh seseorang. Farhan. Abang kembarnya. Fahri menggeleng. Farhan tersenyum sinis.
“Dari dalam perut
aku hidup dengan kau, nak tipu aku?”
“Entahlah. Dia dingin lagi. Aku mesej pun dia tak reply. Call pun tak berjawab.”
“Sebab?” Fahri mengangkat bahu sedikit. Bibir dijuihkan. Tampak kebosanan dalam melayani karenah
Zakiah, kekasih hatinya.
“Marah kut aku tak
jawab call dan mesej dia masa aku warded.
Dia tak tahu lagi pun.” Farhan
menggeleng.
“Tak apa, perempuan
kalau marah, takkan lama. Lagi pula
kalau dia sayang betul dengan kau. Tak
payah pening kepalalah.”
Farhan melepaskan
baris ayat terakhir sebelum melangkah ke pintu bilik Fahri.
“By the way, ibu ajak turun makan
sekali.” Fahri mengangguk.
“An.” Fahri bersuara. Farhan menjengah semula ke dalam. Kening diangkat tanda menyoal.
“Dia mesej aku
semalam.” Farhan merapati Fahri. Fahri duduk di birai katil.
“Dato’ nak
kahwinkan dia dengan anak Tan Sri tu.”
Farhan diam. Dia menunggu
bait-bait seterusnya tetapi Fahri terus membisu.
“Dia macam mana?”
“Kalau dia tak
setuju, takkan dia mesej aku.”
“Tak apalah. Bunga bukan sekuntum.”
“Tapi bunga yang
seorang ni je yang mampu pikat kumbang teruna ni.”
“Amboi!” Farhan menolak bahu Fahri perlahan. Fahri senyum.
“Kau tahu
tak?” Farhan menyoal.
“Satu benda je aku
suka dengan kembar aku yang seorang ni.”
“Apa dia?”
“Makin stress,
makin gila!” Farhan menggonjak. Fahri gelak besar.
+++
BUNYI derapan kaki
memancing Fahri untuk menoleh.
Zakiah! Fahri bangkit mahu
meninggalkan meja itu.
“Fahri, wait!”
“You nak apa
lagi?”
“Kenapa dengan you
ni?”
“I tak mahu ganggu
bakal isteri orang.” Zakiah mengeluh.
“You give up?”
“I tak suka
berebut.”
“You tak sayang
I?”
“I tak layak
dengan you.” Suara Fahri perlahan tetapi
jelas di pendengaran Zakiah. Ada getaran
sebak pada nadanya.
“I sayang
you. Please. Don’t give up!” Fahri diam.
“Datang jumpa
papa. Itu saja yang I minta dari
you. Buktikan sayang you pada I.”
“I tak ada duit!
You faham tak?”
Zakiah terpempan.
“Nak jumpa dengan
papa kena ada duit ke?” Fahri diam.
“Sayang, you tak
kenal I lagi, kan?” Zakiah mencari anak mata Fahri. “I tak pandang harta. I cuma mahukan keikhlasan you. Kasih sayang you. Itu je.”
Air jernih mula bertakung di kolam mata Zakiah. Fahri merenung anak mata wanita itu. Ikhlas.
“Datang jumpa
papa. I tunggu.” Zakiah senyum lantas melangkah meninggalkan
Fahri. Fahri duduk semula. Dia terkedu dengan luahan Zakiah.
+++
“KAMU sayang anak
uncle?” Fahri angguk.
“Sayang ke
tidak?” Fahri merenung Dato’ Zakwan.
“Ya uncle. Saya sayangkan Zakiah.”
“Hampir sebulan
kamu hilangkan diri. Ke mana?” Fahri diam sekejap.
“Betul ke uncle
nak kahwinkan Zakiah dengan orang lain?”
“Dah kamu lambat
sangat, uncle carilah orang lain.”
“Saya belum cukup
duit nak langsungkan majlis.” Dato’
Zakwan menggeleng berkali-kali.
“Itu je
sebabnya?” Fahri mengangguk.. Farhan di
sebelahnya tergelak kecil. Fahri menyiku
Farhan. Dato’ Zakwan dan Datin Aini
menahan tawa.
“Jawab soalan
uncle.” Dato’ Zakwan kembali
serius. Fahri gelisah. Soalan apa pula yang hendak ditanya ni?
“Ke mana kamu
menghilang?”
“Dua minggu saya
warded. Lepas discharge, saya cuba
hubungi Zakiah, tapi tak berjawab.
Tiba-tiba Zakiah mesej beritahu tentang hajat uncle.” Dato’ Zakwan
terkejut. Datin Aini dan Zakiah turut
membulat matanya.
“You tak beritahu
I pun you sakit?”
“Macam mana nak
beritahu, you tak jawab panggilan I.”
Zakiah tunduk. Dia rasa bersalah.
“Itulah, selalu
sangat nak dingin dengan Fahri ni. Tak
bertanya khabar apa semua, main nak dingin je.”
Datin Aini bersuara.
“Fahri, I minta
maaf.”
“Tak apa. Benda dah jadi pun.”
“Fahri ni sayang
sangat kat kau. Merajuk macam mana pun,
dia tunggu kau okey. Sebab, satu benda
je yang kau patut tahu pasal dia.”
“Apa dia?”
“Langsung tak
pandai memujuk!” Farhan
menyuarakan. Fahri menyigungnya
lagi. Dato’ Zakwan, Datin Aini dan
Zakiah ketawa. Fahri tersipu. Mesra sungguh dua beradik kembar itu.
“Tapikan
...,” semua mata tertancap pada wajah
Zakiah yang tiba-tiba bersuara.
“Kan ke dingin itu
cool!” Zakiah bersuara selamba.
“Oh, jadi sebab
itulah you asyik dingin je?”
Zakiah tersengih
sedang yang lain sibuk mentertawakan mereka.
Fahri senyum. Dia lega apabila
tahu yang berita tentang perkahwinan Zakiah hanyalah ugutan semata-mata. Dia berterima kasih kepada Farhan yang tidak
jemu menyokongnya. Baginya, Farhanlah
abang, Farhanlah sahabatnya.

3 comments:
akak da kuar ke at pasaran,,??nk beli,,,
Cahaya Kegembiraan: akak masukkan dalam kompilasi akak je.. :)
best... uat la lgi cerpen...
Post a Comment