KOCAKAN
air kolam menunjukkan ada orang yang sedang berenang di dalamnya. Ke hulu, ke hilir, ke hulu dan ke hilir
lagi. Irama renangnya yang laju seperti
sedang meluahkan rasa marah yang membuak di dada.
Dari
tingkat atas, Sameer hanya memerhati perenang itu. Dia teringat akan kejadian yang berlaku di
ruang tamu semalam. Teringat juga akan
pesan mama yang tiba-tiba datang ke biliknya malam tadi.
“Meer,
Fiq tu kan adik Meer. Meer beralahlah
sikit. Lagipun, mama tak sanggup
kehilangan Fiq lagi. Cukup sekali. Meer faham mama kan?”
Kata-kata
mama masih terngiang-ngiang di pendengarannya hingga kini. Tak sanggup kehilangan Fiq? Fiq seorang sahajakah anak mama? Meer? Meen? Huh! Kalaulah Meen tahu tentang perkara ini, pasti
Meen akan melenting. Meer percaya apa
yang Meer fikirkan ini akan berlaku.
Mama...
Sameer
meraup wajahnya berkali-kali. Keliru
dengan permainan hatinya ini. Dia sedar
dia tidak sepatutnya berkecil hati. Dia
juga sepatutnya faham akan situasi mama yang terlalu merindui Syafiq. Memang mama dambakan sejak dahulu lagi. Mama mahukan Syafiq sentiasa ada di sisi
mama, di hadapan mata mama. Sameer
termenung sendiri. Dia perlu menjaga
banyak hati. Termasuk hatinya sendiri.
Sameer
bangun dan melangkah ke ruang kerja yang suatu masa dahulu pernah menjadi
tempat untuk dia menelaah pelajaran.
Bingkai gambar di hujung bucu meja dicapai. Satu persatu wajah di dalam gambar itu
ditatapnya.
Sampai
ke satu wajah yang Shameena katakan persis wajahnya, air mata Sameer
bertakung. Pergi pula kepada wajah papa
yang sedang memangku Shameena, mama dan Syafiq yang ketika itu berusia lima
tahun. Gambar asal sebenarnya diambil
ketika mereka bercuti ke Ohio untuk menjenguk Syafiq. Saat itu Syafiq hampir tidak mengenali mereka
sebagai keluarga.
“Ma,
maafkan Meer. Meer tak mampu nak bohong
hati Meer. Meer sukakan dia, ma. Meer sayang dia. Maafkan Meer.”
Suara
Sameer perlahan. Air mata sudah tidak
mampu dibendung lagi. Semakin diseka
semakin deras alirannya. Sameer menutup
wajah dengan dua telapak tangan kasarnya.
Sedu
yang sekejap tadi kedengaran mulai perlahan.
Mungkin sudah reda rasa hatinya.
Sameer bangkit menuju ke bilik air.
Jam di dinding menunjukkan waktu 9 pagi.
Sameer mengambil keputusan untuk merendahkan dirinya terharap yang Maha
Esa.
+++
SHAMEENA
mengetuk pintu bilik Sameer perlahan.
Tidak mahu mengejutkan lelaki itu jika dia sedang tidur. Mendengar arahan Sameer dari dalam
membuatkankan Shameena menolak daun pintu dengan berhati-hati. Sameer sedang duduk menghadap buku-buku yang
Shameena belikan kelmarin. Shameena
tersenyum.
“Rasa
macam dekat ofis pula. Masuk!” Shameena menggonjak abangnya. Sameer tersenyum kelat. Senyumnya itu cuba untuk dimaniskan, tetapi
masih belum berdaya.
“Jom
turun makan. Mama masak lauk special hari ni. Jarang mama nak masak special macam hari ni tau.”
“Abang
tahu. Adik turun dulu. Nanti abang turun.” Sameer menjawab. Special? Untuk siapa?
Sameer memegang dadanya yang terasa perit dengan beban masalah ini.
Shameena
melangkah meninggalkan abangnya bersendiri.
Riak pelik terbit pada wajah gadis itu.
Kenapa dengan abang ya?
+++
“KENAPA
Meer tak turun breakfast pagi
tadi? Mama masakkan nasi lemak kegemaran
Meer.”
Sameer
senyum. Dia tahu soalan yang diajukan
oleh Puan Sri Saihah hanyalah untuk mencari fokusnya semata. Sejak duduk di meja makan, Sameer hanya
membisu. Wajahnya juga ditundukkan
seperti sedang menyembunyikan sesuatu.
Shameena
membatu diri. Dia sebenarnya tahu apa
yang bermain di minda abangnya. Dia ada
terdengar akan ‘amaran’ mama terhadap abangnya, cuma dia menyembunyikan diri.
“Meer
sakit kepala, ma. Maaf,” sebaris ayat dan kembali diam. Menundukkan wajahnya semula.
Tan
Sri Muhyiddin tidak berkata walau sepatah bicara pun. Dia faham benar dengan Sameer. Kadangkala sikap Puan Sri Saihah yang sering
melebihkan Syafiq berbanding Sameer dan Shameena langsung tidak menyenangkan
hatinya. Bukan dia tidak faham perasaan
seorang ibu yang sudah lama terpisah dengan anaknya, cuma tidak perlu terlalu berat
sebelah sehingga soal hati juga mahu dibicarakan.
Shameena
memandang Sameer yang duduk di sebelahnya.
Sameer menoleh apabila terkesan gerak adiknya. Shameena merenung Sameer dalam-dalam.
“Betul. Pernah ke abang tipu?” Shameena menggeleng. Sebak hatinya. Dalam sungguh luka yang terhiris di hati
lelaki kesayangannya itu. Sameer
jarang-jarang jatuh sakit. Kecuali
apabila dia benar-benar risaukan sesuatu.
Shameena
tahu sebenarnya Sameer tidak berbohong.
Dia nampak wajah Sameer sedikit lesu.
Pucat. Sameer menghadiahkan
senyum untuk Shameena. Shameena
membalas, namun jauh di sudut hatinya, dia terasa pilu melihat keadaan
abangnya.
“Abang
...,” Sameer menoleh. “Kalau abang tak
sihat, tak payahlah temankan Meen. Abang
rehat je kat rumah. Meen boleh minta tolong
kawan Meen.”
“Abang
okey. Lagipun abang memang nak keluar
kejap lagi.”
“Ke
mana?” Sameer hanya menjawab dengan
senyuman.
“Fiq
nak ikut sekali?” Sameer mempelawa
Syafiq yang diam sejak perbualan mereka dicetuskan. Mungkin ada sekelumit rasa bersalah atau
mungkin juga Syafiq merasakan dia hampir meraih kemenangan.
“Pergilah,
Fiq. Ikut sekali abang dan kakak kamu
tu. Asyik menyendiri je. Sampai bila pun
takkan kenal saudara kalau begini.” Tan
Sri Muhyiddin membei arahan. Syafiq
tidak mampu membantah.
+++
FARA
mengoyakkan perlahan-lahan sampul surat pada tangannya. Dia musykil dengan isi kandungan sampul
itu. Tebal!
Sepucuk
surat rasmi dikeluarkan terlebih dahulu.
Surat itu diteliti. Seluruh ahli
keluarganya hanya memerhati. Debaran di
dada masing-masing kuat menggoncang.
Cikgu Azlina yang membawakan surat itu hingga ke tangan Fara. Dia turut merasai debaran walaupun dia
sebenarnya sudah boleh mengagak tentang isi kandungan sampul itu.
Fara
mengangkat wajah sebaik sahaja isi utama surat itu berjaya dimanipulasikan oleh
otaknya. Satu per satu wajah di
hadapannya direnung. Fara bangun
mendapatkan emak dan Abang Kamil. Ayah
duduk di antara mereka. Tangan mereka
dikucup lembut.
“Mak,
ayah, Abang Kamil ...,” Fara bangkit
sedikit untuk mendakap tubuh di hadapannya.
Seorang demi seorang. Sebak
dadanya menahan rasa.
“Terima
kasih atas doa semua.”
“Fara
dapat sambung belajar ya, nak?” Ayah
mengagak. Fara mengangguk untuk menjawab
telahan ayah.
“Tapi
...,”
“Tapi
apa lagi, Fara? Ini peluang awak. Ingat, peluang tak datang dua kali.” Fara tunduk mendengar hujah Cikgu
Azlina. Ya, peluang tidak datang dua
kali. Begitu juga dengan peluang untuk
dia berkhidmat kepada keluarganya. Tidak
akan datang untuk kali kedua jika dia pergi.
“Siapa
yang nak bantu ayah nanti? Fara rasa,
biarlah dulu dengan tawaran ni. Fara nak
bantu ayah uruskan mak dan Abang Kamil.
Paling kurang pun sampai mak betul-betul sihat.”
“Fara,
ini sahaja cara untuk awak bantu keluarga awak.
Bantu mereka ubah nasib keluarga awak.
Bantu mereka ubah masa depan.
Bukan terus duduk di sini tanpa usaha untuk berubah.”
Fara
tunduk. Sedikit sebanyak dia terkesan
dengan kata-kata Cikgu Azlina.
“Jangan
risaukan keluarga awak. Cikgu dan suami
cikgu boleh tolong tengok-tengokkan nanti.
Insya-Allah. Yang penting awak
kena pergi. Kejar cita-cita awak. Buktikan pada semua yang awak mampu lakukan
apa sahaja untuk keluarga.”
Fara
tersenyum. Penuh semangat Cikgu Azlina
memujuknya.
“Insya-Allah.”
+++
“ASSALAMUALAIKUM,
Mak Ngah.” Fara bersuara sebaik sahaja
panggilannya disambut.
“Waalaikumussalam,
sayang. Fara sihat?”
“Alhamdulillah. Mak Ngah dan Pak Ngah pun sihat kan? Fara tahu.”
Seloroh Fara.
“Makin
sihat kat sini ha.”
“Fara
nak bagitahu ni, Fara dapat tawaran untuk sambung belajar.”
“Alhamdulillah. Kat mana?”
“USM,
Pulau Pinang.”
“Pergi
ya. Jangan sia-siakan peluang.”
“Fara
risaukan mak dan Abang Kamil. Ayah dan
adik-adik pun sibuk. Siapa nak uruskan
mereka?”
“Selama
Fara duduk di kampung tu pun Fara sibuk cari duit nak bantu keluarga. Mana ada masa sangat nak uruskan semua tu
kan? Lepas adik-adik balik sekolah baru
Fara uruskan semua. Jadi, Fara tak perlu
risau. Pergi je. Insya-Allah, ikhlaskan hati, Allah akan
permudahkan segalanya. Banyakkan berdoa.”
“Insya-Allah. Terima kasih, Mak Ngah. Sampaikan salam Fara kepada Pak Ngah ya. Assalamualaikum.”
Talian
dimatikan. Fara duduk di sebelah emak
yang sedang lena. Wajah emak tampak
jelas cahaya kegembiraannya. Begitu juga
dengan ayah, Abang Kamil, Ayie, Airawani.
Yin juga tidak terkecuali.
Fara
tersenyum dengan sokongan yang diterima.
Terngiang-ngiang lagi pesan Cikgu Azlina, “Peluang tidak akan datang
untuk kali kedua.”

No comments:
Post a Comment