![]() |
Karya Gabungan
Ilya Abdullah
&
SyaCha Abdullah
|
“NURIN! Tolong ambilkan fail
semalam, letakkan atas meja saya!” Hidayati sudah memberikan arahan sebaik saja
berada di depan meja Nurin.
Nurin, setiausahanya hanya
menurut perintah. Lambat pula ketuanya itu masuk ke pejabat hari ini. Dia
memandang Hidayati sehingga susuk tubuh gadis jelita itu lesap masuk ke
biliknya.
Nurin tersedar dari
lamunannya. Fail yang dipinta oleh Hidayati masih belum diberikan. Dia segera
mencari fail tersebut lalu dihantar kepada Hidayati. Nurin
mengaturkan langkah ke pantry. Dia
berhajat mahu menyediakan kopi untuk ketuanya itu. Kemudian Nurin kembali ke
bilik Hidayati dan melangkah masuk setelah pintu bilik itu diketuk.
“Cik Ida...pukul dua ini cik
ada appointment dengan Berjaya Holdings.”
Nurin bersuara sebaik
meletakkan kopi untuk ketuanya. Dia menyemak semula jadual temujanji Hidayati
di dalam buku catatannya.
Hidayati sekadar menganggukkan
kepala. Tekun ketuanya itu membelek fail di tangannya. Nurin mengukir senyuman
di hujung bibir. Orang gila kerja seperti Hidayati tiada masa untuk diri
sendiri.
“Nurin,” tiba-tiba Hidayati bersuara.
Nurin berhenti melangkah dan
segera berpaling. Dia mengangkatkan keningnya sedikit.
“Ya...Cik Ida,” balasnya
lembut.
“Ini saja ke fail calon untuk
temuduga kelmarin?”
Bernada perlahan tetapi sedikit
tegas. Dia pelik melihat senarai calon temuduga pengambilan pekerja untuk
syarikat itu terlalu sedikit. Masakan hanya lima calon sahaja.
“Ada lagi dua fail Cik Ida.
Kalau Cik Ida nak, saya boleh ambilkan.”
Hidayati hanya mengangguk.
Nurin faham dengan isyarat itu dan terus melangkah keluar.
Dia mengambil kesemua fail
senarai calon temuduga yang lain yang diingini oleh Hidayati. Syarikat sekarang
memerlukan pekerja baru untuk mengisi beberapa kekosongan jawatan.
Di sudut lain, sepasang mata
tekun memerhati tingkah-laku gadis itu. Gadis
yang adakala kalut dalam menjalankan tugasannya. Kalau tidak bersepah bilik
fail itu, memang tidak sah. Mujur sahaja gadis itu pandai mengaturkan semula
fail-fail tersebut setelah menyepahkannya.
Dia mengalihkan pandangan
matanya. Kakinya terus melangkah ke mesin fotostat untuk mencetak helaian
kertas kerja yang perlu diserahkan tengahari nanti. Niat asalnya hendak meminta
Nurin supaya mencetak helaian-helaian tersebut namun tidak sampai hati untuk
terus ‘mendera’ gadis yang sibuk dengan pelbagai tugasan itu. Ala bukannya dia
tidak tahu mengendalikan mesin itu. Sesekali kena juga urat sendinya bekerja.
Sekilas dia memandang Nurin
yang sudah mengangkut beberapa buah fail di tangan. Gadis itu kelihatan sedang
menggarukan kepalanya. Pasti masih ada yang tidak ditemui lagi. Usai mencetak,
dia masuk semula ke biliknya meletakkan salinan kertas kerja di atas meja. Dia
keluar semula dan mendapatkan Nurin. Nurin langsung tidak menyedari akan
kehadirannya.
“Cari apa Nurin? Ada tikus ke
di situ?” Suaranya yang sedikit garau membuatkan gadis kecil molek itu
terkejut. Akibatnya kepalanya terhantuk di meja fail. Mujur
saja tidak kuat. Kalau tidak mahu benjol kepala dia.
Lelaki itu memang mengejutkan
dia. Pakai main sergah sahaja. Nasib baik dia tidak ada penyakit lemah jantung
kalau tidak, mahu ‘berlepas’ dia di situ juga.
“Encik Anuar...lain kali bagi
salam dululah!”
Nurin sedikit menjengilkan
mata bulatnya. Dia tidak gemar Anuar menyergahnya dari belakang. Anuar adalah
pengurus kewangan syarikat.
Anuar tergelak kecil.
Dia suka melihat wajah Nurin yang sudah bertukar warna merah itu.
“Saya sedang mencari satu lagi
fail senarai nama calon temuduga kelmarin. Dari tadi mencari tak jumpa-jumpa.
Entah mana saya letakkan agaknya?”
Nurin menyambungkata untuk menjawab
soalan Anuar. Tangannya pantas
membelek-belek beberapa buah fail di depan matanya.
“Macam mana nak jumpa, kalau
fail itu berada di bilik saya. Letak di tempat lain, cari di tempat lain. Elok
sangatlah tu.”
Anuar bersuara dengan tawa
yang masih bersisa. Dia terus melangkah meninggalkan Nurin yang masih bingung.
“What?” Terkocoh-kocoh Nurin mengekori penggung Anuar. Macam mana
pula fail tersebut ada dengan lelaki ini? Nurin mengerut dahi.
“Nah! Ini failnya. Kelmarin
Cik Ida minta saya tapiskan sedikit nama-nama calon tersebut.” Anuar
menyerahkan fail itu kepada Nurin. Walaupun
luar daripada bidang tugas, Anuar tetap menurut arahan ketuanya demi untuk
memajukan syarikat.
Nurin menarik nafas lega
melihat fail yang sudah berada di dalam tangannya. Puas aku mencari rupanya dia
yang sorokkan. Sekali aku leku kepala dia baru tahu!
Nurin tersenyum sendiri dengan
omelannya. Dia menghadiahkan sebuah senyuman manis untuk Anuar. Senyuman ucapan
terima kasih.
“Jangan senyum sangat.
Sumbing.”
Anuar menyakat. Senang hati
melihat senyuman gadis itu. Dia merasa
lapang dan tenang berada di pejabat berbanding di rumah. Isteri dan
anak-anak selalu merimaskannya.
“Sibuklah Encik Anuar ni.
Lantaklah kalau senyuman saya sumbing. Banyak songeh betul,” gerutu Nurin. Laju
dia meninggalkan bilik Anuar.
Anuar gelengkan kepala. Suara
gemersik Nurin menyenang hati Anuar. Nurin bukan dari kalangan gadis ayu dan
jelita. Nurin tetap ada pakej untuk menawan hati lelaki sepertinya.

No comments:
Post a Comment