BUNYI deringan telefon bimbit mengganggu lena. Pagi masih samar. Nia Azlina terjaga. Hatinya sedikit sebal melihat adiknya masih lena dibuai mimpi, sedang dia terjaga dek kerana bunyi pengera telefon bimbit adiknya itu.
Dia bingkas bangun mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja sisi. Pengera dimatikan, kemudian dia bangkit mengatur langkah ke arah suis. Suis dipetik, beberapa ketika selepasnya, lampu menyala menerangi ruang bilik kecil itu.
Kelihatan Nina Azrin menarik bantal kesayangannya untuk menutup muka. Hati Nia Azlina mula bahang melihat gelagat gadis itu.
“Wei, bangunlah! Dah Subuh ni!”
Nia Azlina merampas bantal yang ditarik oleh Nina Azrin sebentar tadi. Dia memukul tubuh adiknya dengan bantal yang sudah lembik. Hampir tiada isi.
Nina Azrin terpisat-pisat.
“Awal lagilah!”
“Cantik sikit! Tengok jam dah pukul berapa? Sudahlah alarm memekak kat telinga orang!”
Nina Azrin tersengih.
‘Patutlah marah sangat,’ telahan nakal bermain di benak Nina Azrin.
+++
“NINA, persiapan untuk mendaftar semua sudah siap?” Encik Akhbar bertanya, nadanya sedikit tegas. Dia tahu Nina Azrin akan bersikap sambil lewa jika dia tidak bertegas.
“Sudah abah. Semuanya Nina dah settlekan malam tadi. Beres!”
Nina Azrin menjawab penuh yakin. Nia Azlina mencebik, tawa Khairul Azmin bagai diundang dengan riaknya itu.
“Yakin je. Nanti sampai sana, semua tinggal. Kalau hidung tu tak melekat, hidung pun tinggal agaknya,” suara Encik Akhbar sedikit perlahan kali ini.
“Itu dia, nada perli yang sedikit sinis di situ!”
Khairul Azmin memecahkan tawa mereka sekeluarga. Nina Azrin paling sakan ketawa.
+++
NIA Azlina memandang ke arah Nina Azrin. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas semula.
“Kenapa, kak?”
“Kau nak pakai macam ni, dik?”
Nina Azrin mengangguk. Dia menoleh ke arah Puan Rahayu yang sedang memandangnya. Encik Akhbar dan Khairul Azmin juga menoleh ke arahnya. Nina Azrin sedikit gusar.
‘Salah ke cara penampilan aku? Rasanya macam biasa sahaja,’ bisik hati kecilnya.
“Mari sini ikut aku,” Nia Azlina menarik lengan adiknya ke bilik. Nina Azrin hanya mengikut langkah kakaknya itu.
+++
NINA Azrin berdiri tegak di hadapan cermin. Umpama sedang menyanyikan lagu Negaraku sementara Nia Azlina sibuk mencari baju di dalam almari.
“Kak, tak okey ke baju ni?”
Soalan itu Nia Azlina biarkan berlalu. Dia masih leka mencari pakaian yang sesuai untuk adiknya. Bakal jurutera, jika berpenampilan seperti sekarang, sudah tentu adiknya itu sudah ditertawakan.
“Nah! Pakai baju ni.”
Terbeliak mata Nina Azrin melihat baju yang berada pada tangan kakaknya.
“Hoi! Tak ada ke yang simple sikit! Ni macam nak pergi dangdut dah aku tengok!”
“Ni lah yang paling simple!”
“Alah, baju Nina pun dah okey dah ni. T-shirt, slack, spec. Kejap lagi kat luar sarung sneakers je.”
“Kau nak pergi jalan ke mana?”
“Ala, okeylah ni!”
“Hoi makcik berdua, cepat sikit. Dah pukul berapa ni,” lantang suara Khairul Azmin.
“Dahlah, pakai macam ni je. Muktamad!”
Nina Azrin mengatur langkah. Malas mahu melayan karenah kakaknya itu. ‘Ada ke patut suruh aku pakai blouse tu! Hish, kalau simple tak apa, ini beropol-ropol! Menyusahkan aku!’
‘Lantak kau lah, dik. Kalau orang gelakkan kau, kau jangan menangis depan aku pula,’ getus hati Nia Azlin. Dia menyimpan semula baju yang dikeluarkan sebentar tadi. Kemudian melangkah mendapatkan keluarganya.
+++
SEBAIK kereta Encik Akhbar terparkir, Nina Azrin membatu diri. Langsung tidak ada tanda mahu keluar daripada kereta. Dia memandang ke arah khemah pendaftaran pelajar. Kemudian matanya dilarikan pula ke arah bangunan asrama yang gah berdiri. Di dalam surat tawaran bangunan itu dikenali sebagai Kamsis. Mungkin dipendekkan daripada Kampus Siswa, teka hati Nina sendiri.
Orang ramai yang lalu lalang di sebelah kereta dipandang. Sorotan matanya mengikuti langkah beberapa orang yang lalu secara bergilir.
“Hah, kenapa tak turun lagi. Turunlah,” arahan Encik Akhbar mematikan khayal Nina Azrin. Dia tersengih. Khairul Azmin yang duduk di tempat duduk sebelah pemandu memandang adiknya itu. Daripada sengihan Nina Azrin, dia dapat mengagak.
“Jom abang temankan,” pintu kereta dibuka dan dia keluar. Nina Azrin mengikut tindakan abangnya. Encik Akhbar menggeleng. Entah bila anak gadisnya itu hendak berdikari.
Langkah dua anaknya itu disoroti dengan ekor mata. Hilang sahaja dua susuk tubuh itu daripada pandangan, Encik Akhbar meletakkan pandangannya pada surat khabar yang dibeli ketika di dalam perjalanan tadi.
Nia Azlina pula sibuk membelek kuku yang baru dibersihkan sebelum dia melelapkan mata malam tadi. Kepalanya sedikit terangguk-angguk melayani rentak lagu yang berdendang daripada MP3 miliknya. Kewujudan orang sekeliling tidak diendahkan.

3 comments:
menarik! tak sabar nak jumpa heronya pula..hehehe.. =)
yup. betul kata kak afifah. hehe.. sambunglah lagi. =)
terima kasih Afifah dan Iman...bab 2 akan menyusul nanti ;)
Post a Comment